Peringkat-peringkat Perkembangan Al-Asya'irah & al-Maturidiah
Peringkat-peringkat Al-Asya'irah:
1- Kullabiah:
Sebagaimana yang telah kita jelaskan terdahulu bahawa Abul Hasan al-Asy'ari r.h selepas beliau meninggalkan ajaran al-Muktazilah, beliau mengikut ajaran Abdullah bin Sa'id al-Qattan al-Kullab.
Maka ajaran al-Asya'irah pada peringkat awal merupakan Ajaran al-Kullabiah yang diasaskan oleh Abdullah bin Sa'id al-Qattan al-Basri al-Kullabi (wafat sekitar selepas 240 H).
Ibn Kullab terkenal dengan bantahan-bantahan terhadap al-Muktazilah namun menggunakan Ilmu Kalam untuk membina akidahnya. Kata al-Zahabi r.h:
Maksudnya: "Pemilik karangan yang banyak dalam membantah Muktazilah dan kadang-kadang dia menyetujui mereka". [al-Siyar,11/174].
Kata Al-Syahrastani al-Asy'ari (wafat 548 H):
"dan adapun al-Salaf yang tidak melakukan Takwil dan Tidak pula melakukan Tasybih antara mereka adalah Malik bin Anas r.h di mana beliau berkata: "alIstiwa' itu diketahui (maknanya), Kaifiatnya Tidak diketahui, beriman dengannya wajib dan bertanya (tentang Kaifiat) adalah Bidaah". Demikian juga seumpama Ahmad bin Hanbal r.h, Sufian al-Tsaury dan Daud bin Ali al-Asfahani.
Sehinggalah datang zaman Abdullah bin Sa'id al-Kullabi, Abul 'Abbas al-Qalanisi, dan al-Haris bin Asad al-Muhasibi, mereka ini adalah daripada kalangan Salaf (atas Manhaj Salaf dalam menetapkan Sifat Tanpa Takwil dan Tasybih) tetapi mereka mengikut Ilmu Kalam dan menguatkan Akidah Salaf dengan hujah-hujah Kalamiah serta dalil-dalil Usuliah, ada antara yang mengarang kitab dan ada yang mengajar sehinggalah berlaku perdebatan antara Abul Hasan al-Asy'ari dengan Ustaznya dalam beberapa masalah daripada masalah (al-Solah) dan (al-Aslah)
lalu keduanya berdebat dan Al-Asy'ari condong kepada golongan ini (al-Kullabiah) lalu dia menguatkan akidah-akidah mereka dengan manhaj Ilmu Kalam …" [AlMilal wan Nihal, 1/93].
Pernyataan ini amat jelas daripada seorang pembesar al-Asya'irah bahawa ajaran mereka merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Kullabiah dan para pembesar al-Asya'irah sendiri menyebut Abdullah bin Sa'id al-Kullabi sebagai "Syeikh" mereka sebagaimana kata al-Syahrastani sendiri:
Maksudnya: "Berkata al-Asy'ariah: Syeikh kami al-Kullabi Abdullah bin Said berpendapat …" (Nihayatul Iqdam, Kaedah ke-13)
Al-Subki (Taj al-Din) berkata dalam Tabaqat al-Syafiiah al-Kubra dalam terjemah Ibn Kullab selepas membentangkan akidah Ibn Kullab dalam masalah Kalam al-Nafsi:
Maksudnya: "Inilah maqalah (mazhab) Ibn Kullab yang diikuti oleh para Ashab kita (al-Asya'irah)". [2/300].
Kata Imam al-Zahabi r.h:
Maksudnya: "dan para pengikutnya dinamakan al-Kullabiah, Abul Hasan alAsy'ari ada bertemu dengan sebahagian mereka ketika dia membantah Jahmiah (yakni setelah keluar dari Muktazilah)". [al-Siyar, 11/174].
Maka, semua bukti menunjukkan mazhab al-Asya'irah merupakan kesinambungan dan sambungan bagi mazhab al-Kullabiah yang diasaskan oleh Ibn Kullab.
Al-Asya'irah yang melazimi Manhaj Ibn Kullab akan terserlah pada mereka:
Menetapkan Sifat Khabariyyah Zatiyyah Tanpa Takwil
Menetapkan Kalam al-Nafsi yang tidak berhuruf dan bersuara bagi ALLAH
Menafikan sama sekali Hulul al-Hawadis
pada ALLAH.
Antara tokoh-tokoh al-Asya'irah al-Kullabiah adalah:
o Abu Bakr al-Baqilani, Muhammad bin al-Tayyib al-Qadhi, w.403 H
o Abul Hasan al-Tabari Abdul Aziz bin Muhammad bin Ishaq, w. 380 H
o Ibn 'Asakir, Abul Qasim Ali bin al-Hasan bin Hibatullah, w.571 H
2- Al-Jahmiah:
Al-Asya'irah al-Kullabiah amat menyerlah dalam akidah mereka yang beriman dengan sifat-sifat Zatiah seperti Tangan, Mata, Kaki, dan Sifat al-Uluww serta alIstiwa'.
Kemudian datang selepas itu sekumpulan al-Asya'irah yang memilih jalan alMuktazilah dalam memahami nas-nas Sifat ALLAH Ta'ala lalu mereka melakukan Takwil terhadap Sifat-sifat Khabariah seperti: al-Istiwa', al-Nuzul, Tangan, Mata, Wajah dan lain-lainnya.
Perkembangan ini adalah sesuatu yang dapat dijangka berlaku kerana Mazhab alAsya'irah dibina atas dasar Ilmu Kalam dan Falsafah yang kedua-duanya adalah "anak kandung" al-Muktazilah maka lambat laun mereka yang mengambil dua jalan ini sebagai sandaran akidah akan kembali kepada ibu asal mereka iaitu: al-Muktazilah.
Antara Ulama al-Asya'irah yang terawal dikesan memasukkan aliran Takwil ke dalam al-Asya'irah adalah: Muhammad bin al-Husain bin Furak (terkenal sebagai: Ibn Furak) wafat pada tahun: 406 H.
Kemudian, Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadi (w.429 H) mengarang kitabnya, Usuluddin di mana dia menzahirkan Takwil terhadap semua sifat-sifat Khabariah dan menyatakan bahawa Hadis Ahad tidak memberikan faedah Ilmu (yakin).
Fahaman Takwil mendapat sambutan hangat dalam kalangan Mutaakhirin alAsya'irah dan mencapai kemuncak yang tertinggi di tangan: Fakhruddin al-Razi Muhammad bin Umar bin Hasan bin Husein al-Taimi al-Bakri Ibn Khatib al-Ray (w.606 H), melalui kitabnya Asas al-Taqdis, al-Matalib al-'Aliyah dan lain-lain.
3- Al-Tafwid
Beberapa para pembesar al-Asya'irah di akhir hayat mereka cuba untuk kembali kepada manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam menetapkan sifat ALLAH Ta'ala atau sekurang-kurangnya kembali kepada manhaj Mutaqaddimin al-Asya'irah (AlKullabiah) namun ada antara mereka yang tersasar lalu terjebak dalam akidah yang dinamakan Tafwid atau disebut (Ahlu Tajhil) yakni menurut mereka; Sifat-sifat Khabriah seperti Istiwa', Nuzul. Yad, Wajh dll ditetapkan bagi ALLAH lafaznya namun makna dan kaifiat diserahkan kepada ALLAH dengan iktiqad setiap lafaz ini mempunyai makna yang menyalahi zahirnya yang hanya diketahui ALLAH.
Tokoh yang dikenali membawa Manhaj Tafwid ini adalah Abul Ma'ali al-Juwaini Imamul Haramain (w.478 H) [Lihat: Tabaqat al-Syafiiah al-Kubara, Taj al-Din alSubki, 5/191].
4- Al-Sufiah
Selain aliran Jahmiah, turut memberi kesan dalam mengubah haluan Manhaj alAsya'irah adalah ajaran Tasawuf Falsafi dan kesan ajaran ini juga boleh dijangka akan menguasai aliran al-Asya'irah kerana kedua-dua aliran: al-Asya'irah dan Tasawuf ini terbit dari satu punca iaitu: Falsafah dan Ilmu Kalam. (rujuk: Al-Tasawuf; al-Mansya' wal Masdar oleh Syeikh Ihsan Ilahi Zahir).
Kemasukan Tasawuf ke dalam al-Asya'irah adalah beriringan dengan masuknya Takwil apabila dibawa oleh Abul Qasim Abdul Karim al-Qusyairi (w.465 H) dan dia merupakan anak murid kepada Ibn Furak.
Al-Qusyairi dan anaknya Abdul Rahim, mempunyai peranan utama dalam menzahirkan Akidah Tajahhum (Jahmiah) dalam aliran al-Asya'irah melalui peristiwa fitnah yang masyhur berlaku antara Al-Asya'irah dan Ahlus Sunnah wal Jamaah (yang diwakili ketika itu oleh al-Hanabilah) di mana al-Asya'irah mula mencela alHanabilah dan menuduh mereka sebagai Mujassimah dan Musyabbihah.
Tuduhan ini sudah dijangka akan terpacul keluar daripada mulut al-Asya'irah kerana sudah menjadi simbol yang jelas mereka yang melazimi jalan Tajahhum dan Ta'thil
menamakan mereka yang menetapkan sifat sebagai musyabbihah seperti mana yang dilakukan oleh al-Muktazilah terhadap Ahlus Sunnah wal Jamaah bahkan kepada alAsya'irah al-Kullabiah.
Demikian juga kemasukan Tasawuf ke dalam aliran ini merupakan kelaziman yang hampir pasti berdasarkan hubungannya dengan aliran al-Kullabiah di mana salah seorang Ulama besar al-Kullabiah (al-Haris bin Asad al-Muhasibi) merupakan antara orang terawal yang berbicara berkenaan Tasawuf dan menulis kitab berkenaannya sehingga ada para pengkaji menyenaraikan al-Haris adalah Sufi terawal dalam Islam.
Kemuncak Tasawuf Asya'irah berada di tangan seorang lelaki yang diberi gelaran sebagai "Hujjatul Islam" iaitu al-Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h (w. 505 H) dan karya agung beliau adalah: Kitab Ihya' Ulumiddin.
Apa yang dibawa oleh al-Ghazali dengan nama Tasawuf ini sebenarnya adalah Ilmu Falsafah Yunani Greek yang lebih tinggi sehingga membawa kepada Hulul (bersatu Tuhan dengan Makhluk) sedangkan al-Asya'irah pada dasarnya mengingkari keberadaan Tuhan pada tempat.
Aliran Tasawuf merupakan aliran yang mendapat sambutan meluas dalam kalangan pengikut Asya'irah dewasa ini dan kemuncak Tasawuf al-Asya'irah adalah mereka menjadi para penyembah kubur sebagaimana fenomena ini disaksikan semua terutama di "Bandar suci" al-Asya'irah; Mesir.
Rosaknya Tauhid al-Uluhiyah adalah natijah yang pasti bagi setiap mereka yang menyeleweng daripada kebenaran dalam Tauhid al-Asma' was Sifat kerana punca rosaknya Tauhid al-Uluhiyah/ al-Ibadah seseorang; rasa kurang hormatnya pada ALLAH dan rasa kurang hormat ini timbul dari kegagalan memahami nama-nama dan sifat-sifat ALLAH yang Agung dan Mulia.
Demikian juga penyelewengan dalam mentafsirkan makna (ILAH) di sisi Ulama Kalam membawa kepada kerosakan ini yang kita akan bahaskan insya-ALLAH dalam perbahasan berkenaan pandangan al-Asya'irah terhadap Tauhid al-Uluhiyah nanti.