BAB SATU: SEJARAH RINGKAS HIDUPKU
Aku dilahirkan pada tahun 1344H/1894M di kampung Unsu di Wilayah Antakiyah. Sebuah kampung yang cantik, udaranya nyaman dipenuhi oleh bermacam-macam tumbuhan seperti zaitun, anggur dan lain-lain. Di sana terdapat seorang Syaikh yang mengajar membaca dan menulis al-Qur'an kepada kanak-kanak. Bapaku meletakkanku di sisinya supaya aku belajar membaca dan menulis al-Qur'an. Selepas aku selesai membaca dan menulis, bapaku mengambilku supaya aku menolong sebahagian daripada kerja-kerjanya.
Apabila umurku meningkat remaja, aku mulai mencintai ilmu pengetahun dan para ulama. Lantaran itu apabila aku melihat sahaja seorang ulama, aku dengan segera melakukan khidmatku kepadanya menurut kemampuanku.
Kemudian terbenam dihatiku perasaan cinta kepada ilmu dan ianya makin memuncak. Pada masa itu seorang syaikh bernama Syaikh Rajab adalah seorang alim tinggal berhampiran dengan kampung kami. Maka di sanalah aku dan saudaraku Ahmad belajar darinya hampir tiga tahun. Kemudian kami berpindah ke bandar Antakiyyah dan kami memasuki madrasah melalui Syaikh Nazif. Kami belajar darinya dan bapanya Syaikh Ahmad Afandi al-Tawil hampir tujuh tahun. Pada masa itu juga datang seorang alim yang dihormati bernama Syaikh Muhammad Sa'id al-'Urfiyy dari daerah Dair al-Zur. Dia telah dibuang daerah oleh pihak kerajaan Perancis sepanjang penjajahan negara Syria selepas tamatnya peperangan dunia yang pertama pada tahun 1919M. Kami sempat belajar darinya semasa dia berada di Antakiyyah.
Di Universiti al-Azhar
Kemudian aku sampai juga di Mesir sekalipun saudaraku Ahmad telah sampai lebih awal daripadaku. Hampir sebulan kami belajar di Universiti al-Azhar, Syaikh Sai;d al-'Urfiyy pun datang. Dan kedatangannya ke Mesir banyak memberi faedah kepada kami. Dan di Universiti al-Azharlah kami menuntut berbagai-bagai ilmu pengetahun daripada Syaikh -syaikh al-Azhar yang termasyhur.
Guru-guruku di Universiti al-Azhar
1. al-Allamah al-Akbar Syaikh Mustafa al-Maraghi, Rektor Universiti al-Azhar dan Ketua Majlis Islam.
2. al-Allamah al-Kabir Syaikh Muhammad Abu Taha al-Mihniyy.
3. al-Allamah al-Kabir Syaikh Rahim dan syaikh-syaikh al-Azhar yang lain.
Pencapaian Ijazah dari Universiti al-Azhar
Manakalah kami tamat belajar, kami telah memperolehi beberapa ijazah yang tinggi dari Universiti al-Azhar. Dan apabila kami ingin pulang ke tanah air, beberapa orang yang terkemuka di Mesir meminta supaya kami menjadi Pensyarah di Universiti al-Azhar. Tetapi disebabkan negara kami lebih memerlukan kami apatah lagi Mesir sebuah negara ilmu yang mempunyai para ulama yang masyhur, tidak begitu memerlukan kami sedangkan negara kami hampir tidak mempunyai ulama yang berwibawa di dalam ilmu Fiqh, Tafsir dan Hadith.
Kembalinya kami ke tanah air
Kami kembali ke negara kami dan bertugas sebagai imam sembahyang jama'ah dan juma'at, mengajar, memberi fatwa dan syarahan selama lima belas tahun.
Perselisihan di kalangan mazhab empat
Selama lima belas tahun kami mengkaji tentang perselisihan (Khilaff) di kalangan empat mazhab. Aku dan saudaraku Ahmad merasai suatu kepelikan kerana kami dapati perselisihan berlaku di dalam satu masalah di dalam mazhab yang sama. Lebih-lebih lagi perselisihan yang berlaku di antara satu mazhab dengan tiga mazhab yang lain. Sehingga kami dapati satu mazhab menghalalkan satu masalah sementara mazhab yang lain pula mengharamkannya. Begitu juga satu mazhab mengatakan ianya makruh sementara mazhab yang lain pula mengatakan ianya sunnat. Begitulah seterusnya. Sebagai contoh Syafi'i berpendapat bahawa menyentuhi perempuan ajnabi membatalkan wudhuk sementara Hanafi berpendapat ianya tidak membatalkan wudhuk.
Malik pula berpendapat bahawa sentuhan jika dengan syahwat atau sengaja membatalkan wudhuk. Jika tidak maka ia tidak membatalkan wudhuk.
Syafi'i mengharuskan seseorang mengahwini anak perempuan zinanya, sementara Abu Hanifah, Malik dan Ahmad bin Hanbal mengharamkannya.
Hanafi berpendapat bahawa sedikit darah yang keluar dari tubuh badan adalah membatalkan wudhuk. Sementara yang tiga lagi berpendapat bahawa ianya tidak membatalkannya.
Hanafi berpendapat bahawa wudhuk harus dilakukan dengan Nabidh (air kurma umpamanya) dan susu yang bercampur dengan air. Sementara tiga lagi berpendapat ianya tidak harus.
Malik berpendapat bahawa memakan daging anjing adalah harus. Sementara yang tiga lagi berpendapat bahawa ianya tidak harus.
Syafi'i berpendapat bahawa memakan daging serigala (Tha'lab), daging musang (dhab') dan daging belut (jar'y) adalah harus. Sementara Abu Hanifah berpendapat bahawa memakannya adalah haram.
Syafi'i berpendapat bahawa landak (qunfuz) adalah halal sementara yang tiga lagi berpendapat ianya haram. Dan banyak lagi perselisihan-perselisihan yang berlaku di kalangan mereka bermula dari bab fiqh hinggalah ke akhirnya.
Subhanallah! Adakah syariat Islam itu tidak lengkap sehingga mereka melengkapinya dengan perselisihan di kalangan mereka? Satu mazhab menghalalkannya, dan satu lagi mengharamkannya. Sementara yang lain pula mengharuskannya dan yang lain pula berpendapat sebaliknya.
Perhatikanlah bagaimana Syafi'i telah menyusun mazhabnya yang lama (Qadim) dan menyebarkannnya di kalangan kaum Muslimin di Iraq, Hijaz, Yaman, dan Syria. Kemudian dia berpindah ke Mesir kerana sebab-sebab tertentu. Di sana dia bergaul dengan orang Maghribi dan mengambil ilmu daripada mereka. Lalu dia berpindah dari mazhabnya yang lama dengan menyusun mazhabnya yang dia menamakannya dengan mazhab jadid (baru). Sehingga beberapa masalah sahaja tinggal pada mazhabnya yang pertama.
Aku berkata: Sekiranya mazhab pertamanya betul kenapa dia mencipta mazhab yang kedua dan sebaliknya. Begitu juga kita perhatikan Abu Hanifah memberi pendapatnya di dalam satu-satu masalah, murid-muridnya, Abu Yusuf, Muhammad dan Zufar menyalahinya. Kadangkala seorang daripada mereka sependapat dengannya. Sementara dua lagi menyalahinya. Atau ketiga-tiga menyalahinya atau bersetuju dengannya. Begitu juga Malik dan Ahmad bin Hanbal, perselisihan berlaku di kalangan mereka dalam semua masalah dan ia tentu sekali membuatkan kita berada di dalam keraguan.
Fahaman Wahabi1
Kami mendengar daripada orang Wahabi bahawa mereka melaksanakan hukum hudud dan hukum-hukum syarak yang lain dengan sepenuhnya.
Akhirnya kami berpindah ke Hijaz dan bersahabat dengan mereka beberapa kali. Tetapi sayangnya kami dapati berita-berita yang telah sampai kepada kami dahulu dari Hijaz adalah bertentangan dengan hakikat sebenar. Kerana Wahabi adalah lebih membahayakan Islam daripada yang lain. Mereka telah mengkaburkan imej Islam dengan perbuatan-perbuatan dan fatwa-fatwa ulama mereka serta layanan mereka yang jahat terhadap itrah tahirah dengan merosakkan makam-makam mereka. Malah mereka telah mencuba untuk merosakkan makam Nabi yang suci SAWAW. Tetapi ianya ditentang oleh kebanyakan Mukminin di Timur dan di Barat. Justeru itu mereka tidak melaksanakannya kerana takut fitnah dan pemberontakan. Perhatikanlah fatwa-fatwa mereka yang pelik. Wahabi berkata:
"Apabila seorang haj atau seorang meletakkan tangannya di atas kubur, maka dia adalah musyrik (Dia dihampiri oleh seoran gpolis Saudi seraya berkata: Angkatlah tangan anda wahai musyrik). Dan apabila seorang memegang kubur atau mengucupnya, atau mengambil berkat dengannya, maka dia adalah seorang musyrik (polis akan memukulnya dan menengkingnya sambil berkata kepadanya: Jangan anda melakukannya wahai musyrik).
Demikianlah di antara fikiran-fikiran cetek yang tidak sejajar dengan syariat Islam yang mulia malah ianya mentertawakan. Di dalam khutbah-khutbah, mereka mengkeji amalan suci tersebut dengan perkataan: Wahai musyrik, wahai kafir, itu adalah pada peringkat pertama jika tidak, darahnya halal dan ia wajib dibunuh sebagaimana yang telah dilakukan oleh Wahabi di Hijaz, di Iraq, dan lain-lain. Apakah pendapat kalian wahai kaum Muslimin di Timur dan di Barat tentang mazhab kotor yang baru direka yang menentang Islam hakiki dan Muslimin selain daripada mereka? Maka kepada Engkaulah wahai Tuhan rayuan kami terhadap mereka.
Ringkasnya, apabila kami telah melihat perlakuan-perlakuan mereka, maka kamipun kembali ke negara kami. Dan meneruskan kerja kami dahulu. Maka berpanjanganlah keadaan kami sehingga bila wahai Tuhanku?
Disebabkan kami sentiasa di dalam keadaan syak kepada apa yang kami lihat tentang perselisihan-perselisihan yang berlaku di kalangan mazhab empat bersama mereka sendiri. Kemungkinan ia adalah di antara sebab-sebab yang membawa kepada terjalinnya hubungan kami dengan golongan Syi'ah.
Siapakah Syi'ah?
Mereka itulah golongan yang benar dan yang terpilih daripada makhluk Allah. Golongan yang berjaya yang berpegang kepada wila' Allah, RasulNya dan para imam yang suci daripada Ahlu l-Baitnya SAWAW. Mereka mengetahui hak para imam mereka dengan sebenar-benarnya; mengetahui orang yang memusuhi mereka. Lalu memberikan setiap mereka hak mereka pula. Mereka menyembah Allah yang satu, tidak ada sekutu dan tidak ada sesuatupun yang menyerupaiNya.
Mereka beriman dengan risalah Nabi yang teragong Muhammad bin 'Abdullah SAWAW. Mereka beriman dengan:
1. Imam Amiru l-Mukminin Abu l-Hasan Ali bin Abi Talib, al-Murtadha. (Lahir 23 tahun sebelum Hijrah, wafat 40H./601-661M)
2. Abu Muhammad Hasan bin 'Ali, al-Mujtaba (3-50H/625-670M)
3. Abu 'Abdullah Husain bin Ali, Saiyyidu sy-Syuhada' (4-61H/626-680M).
4. Abu l-Hasan 'Ali bin Husain, Zaina l-'Abidin (38-95H/658-713M)
5. Abu Ja'far Muhammad bin 'Ali, al-Baqir (57-114H/478-732M)
6. Abu 'Abdillah J'afar bin Muhammad, al-Sadiq (83-148H/702-765M)
7. Abu l-Hasan Musa bin Ja'far, al-Kazim (128-183H/745-799M)
8. Abu l-Hasan 'Ali bin Musa, al-Ridha (148-203H/732-818M)
9. Abu Ja'far Muhammad bin 'Ali, al-Taqiyy al-Jawad (195-220H/810-835M)
10. Abu l-Hasan 'Ali bin Muhammad, al-Hadi al-Naqiyy (212-254H/827-868M)
11. Abu Muhammad Hasan bin 'Ali, al-Zakiyy al-'Askari (232-260H/846-870M)
12. Abu l-Qasim Muhammad bin Hasan, al-Mahdi al-Muntazar (256H/870M)
Syi'ah mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, khums, mengerjakan haji, berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka sebagaimana diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak takut kerana Allah (di atas) celaan orang yang mencela. Menyuruh perkara baik dan menegah kemungkaran. Bersegera kepada kebaikan, melakukan kewajipan dan menegah segala yang diharamkan.
Syi'ah adalah golongan yang berjaya
Sebab kejayaan golongan ini di samping apa yang telah disebutkan, ialah keistimewaannya daripada semua golongan Islam sebagaimana sabda Nabi SAWAW yang bermaksud:"Umatku akan berpecah kepada 73 golongan semuanya ke neraka melainkan satu golongan sahaja."
Kita dapati bahawa umat Islam semuanya mengucap: La-illaha illa lah Muhammadun Rasulullah. Sekiranya kita berkata: Semuanya berjaya, nescaya kita membohongi hadith ini. Dan jika kita berkata: Semuanya binasa, nescaya kita membohongi hadith tersebut. Lantaran itu golongan yang berjaya ialah golongan yang berpegang kepada Ahlu l-Bait Rasulullah SAWAW. Dan dalil kejayaannya ialah wujudnya dalil-dalil daripada al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW dikedua-dua pihak Sunnah dan Syi'ah.
Lantaran itu golongan yang berjaya mesti mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh semua golongan iaitu al-Wila' (mewalikan Ahlu l-Bait AS) dan al-Bara' (membersihkan diri dari musuh Ahlu l-Bait AS). Mereka juga percaya kemaksuman para imam mereka.
Dengan nama Tuhan wahai pembaca yang insaf, mulia dan mukmin. Adakah dikatakan kepada orang seperti itu kafir, musyrik, murtad dan halal darah mereka? Dikaitkan kepada mereka dengan segala tohmahan yang penuh dengan kebatilan,pembohongan yang diciptakan dan kata-kata yang bohong dan keji sebagaimana yang telah dilakukan oleh Ibn Taimiyyah, Ibn Hajr al-Haithami, al-Qusaimi, al-Hafnawi, Musa Jarullah, Ahmad Amin, al-Jabhani dan lain-lain.
Begitu juga dengan Syaikh Nuh yang telah memberi fatwa kekafiran Syi'ah, pembunuhan mereka, perampasan harta mereka dan lain-lain. Dia mengakhiri fatwanya yang panjang dengan kata-katanya: Sama ada mereka bertaubat ataupun tidak. Lihatlah fatwanya yang ditulis oleh Imam Syarafuddin di dalam bukunya Fusul al-Muhimmah2 bab sembilan.
Tidakkah anda mengetahui wahai pembaca yang budiman apakah dosa Syi'ah? Adakah disebabkan mereka tidak mengiktiraf khilafah selain dari para imam mereka atau kerana mereka berkata: Khilafah adalah untuk mereka dari awal kerasulan Muhammad SAWAW hinggalah keakhirnya dunia. Maka dengan nama Tuhan kalian katakanlah: Adakah dosa ini menyebabkan kekafiran dan kemurtadan? La haula wala Quwwata illa bi llah.
Selepas kajian yang mendalam, kami dapati bahawa bilangan Syi'ah hari ini lebih daripada seratus juta. Dan jikalaulah mereka tidak menghadapi pembunuhan, permusuhan daripada musuh-musuh mereka, serta berbagai-bagai kezaliman dan tekanan sepanjang abad-abad yang lalu, nescaya bilangan mereka hari ini sekurang-kurangnya seribu juta. Mereka berkembang di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, utara dan selatan.
Kebanyakan mereka berada di dalam negara-negara Islam. Mereka menyebarkan dakwah Islam menurut mazhab mereka. Mereka telah melakukan perkhidmatan yang besar di mana orang-orang Islam bermegah dengan khidmat mereka. Buku-buku mereka melimpahi dunia sehingga tidak terhitung banyaknya. Untuk tujuan ini lihatlah buku al-Dahri'ah ila Tasanif al-Syi'ah karangan Syaikh Bazrak al-Tahrani. Dan ini merupakan sebahagian kecil daripada senarai buku-buku tersebut.
Di kalangan Syi'ah terdapat para ulama Islam, Fuqaha', Failasuf dan ahli-ahli fikir. Sultan-sultan, menteri-menteri, sasterawan-sasterawan, penyair-penyair, penulis-penulis, pakar-pakar ilmu bintang, matematik, falak, arkitek-arkitek, doktor-doktor, ahli-ahli seni dan lain-lain. Mereka memenuhi bumi Allah yang luas dengan ilmu dan amal. Mereka mempunyai pusat-pusat pengajian tinggi, masjid-masjid yang besar yang dipenuhi oleh orang-orang yang datang bersembahyang, baik di Timur mahupun di Barat. Sebagai contoh Imam al-Akbar al-Sayyid Abu l-Hasan al-Musawi al-Asfahani (RH) telah membina masjid-masjid dan madrasah-madrasah di merata tempat di dunia. Begitu juga al-Imam al-Burujurdi (RH) telah menghantar pendakwah-pendakwah ke seluruh dunia dan membina masjid-masjid di Amerika, Jerman, London dan Paris. Adakah anda benar-benar mengenali Syi'ah wahai pencaci?
Apa yang mendukacitakan ialah kami tidak dapati di dalam buku-buku sirah, dan sejarah di kalangan Ahlus Sunnah selain daripada cacian, malah pengkafiran terhadap Syi'ah secara terang-terangan. Kenapa? Sebabnya kerana mereka (Syi'ah) adalah Musyrikin! Begitulah ditulis di dalam buku al-Sawa'iq am-Muhriqah (petir-petir yang membakar) oleh Ibn Hajr al-Haithami. Semoga Allah membakar penulisnya di akhirat kelak.
Jika dikatakan kerana mereka tidak hadir sembahyang juma'at dan jama'ah, ini adalah tuduhan yang besar. Adakah harus mengkafirkan muslim yang meninggalkan juma'at dan jama'ah wahai Muslimun?
Sebab-sebab yang mendorong kami berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS.
1. Aku fikir beramal dengan mazhab Ahlu l-Bait AS diberi ganjaran yang sewajarnya di samping mendapat kebersihan jiwa tanpa sebarang syak. Apatah lagi ramai di kalangan ulama Ahlus Sunnah yang terdahulu dan sekarang telah memberi fatwa-fatwa mereka tentang keharusan berpegang kepada mazhab Syi'ah Ja'fariyyah seperti sahabat kami Syaikh al-Akbar, Syaikh Mahmud Syaltut. Dia telah mengeluarkan fatwanya yang disiarkan pada tahun 1959M, di majalah Risalatu l-Islam yang diterbitkan oleh Darul al-Taqrib baina l-Madhahib al-Islamiyyah atau Lembaga Pendekatan antara Mazhab-mazhab dalam Islam, yang berpusat di Kairo, Mesir, nombor 3 tahun 11 halaman 227 sebagai berikut:
"Agama Islam tidak mewajibkan suatu mazhab tertentu atas siapapun di antara pengikutnya. Setiap muslim berhak sepenuhnya untukmengikuti salah satu mazhab yang manajua yang telah sampai kepadanya dengan cara yang benar dan menyakinkan. Dan hukum-hukum yang berlaku di dalamnya telah dicatat dengan teliti dan sempurna dalam kitab-kitab mazhab yang bersangkutan, yang memang dikhususkan untuknya. Begitu pula, setiap orang yang telah mengikuti salah satu di antara mazhab-mazhab itu , diperbolehkan pula untuk berpindah ke mazhab yang lain - yang manapun juga - dan dia tidak berdosa sedikitpun dalam perbuatannya itu....."
Kemudian dia berkata lagi:"Sesungguhnya mazhab Ja'fariyyah yang dikenali dengan sebutan mazhab Syi'ah Imamiyyah Ithna Asy'ariyah adalah satu mazhab yang setiap orang boleh beribadah dengan berpegang kepada aturan-aturannya seperti jgua mazhab-mazhab yang lain...."
"Kaum Muslimin sayugia mengerti tentang hal ini, dan berusaha melepaskan diri dari kongkongan 'Asabiyyah (fanatik) dalam membela sesuatu mazhab tertentu tanpa berasaskan kebenaran...."
2. Dalil-dalil yang kuat dan hujah-hujah yang kukuh dan terang seperti matahari di waktu siang tanpa dilindungi awan, telah menyakinkan kami bahawa mazhab Ahlu l-Bait AS adalah mazhab yang benar yang telah diambil oleh Syi'ah daripada para imam Ahlu l-Bait AS dasn daripada datuk mereka Rasulullah SAWAW daripada Jibrail AS daripada Allah SWT. Mereka tidak akan menukarkannya dengan yang lain sehingga mereka berjumpa dengan Allah SWT.
3. Wahyu telah diturunkan di rumah mereka dan Ahlul l-Bait (isi rumah) lebih mengetahui dengan apa yang ada dalam rumah daripada orang lain. Lantaran itu orang yang berfikiran waras tidak akan meninggalkan dalil-dalil dari Ahlu l-Bait AS dengan mengambil dalil-dalil dari orang-orang asing (di luar rumah).
4. Banyak ayat-ayat al-Qur'an yang menyokong dakwaan kami dan kami akan menerangkannya kepada kalian nanti.
5. Banyak hadith-hadith yang sahih daripada Nabi SAWAW yang menunjukkan kebenaran Ahlu l-Bait AS di dalam buku-buku Ahlus Sunnah dan Syi'ah. Sila lihat buku kami Syi'ah Wa Hujjahtu-hum al-Tasyayyu' (Syi'ah dan hujah mereka tentang Tasyayyu') dan juga buku al-Muruja'at (Dialog Sunnah - Syi'ah) khususnya dialog keempat. Ianya akan memuaskan hati anda jika anda orang yang insaf. Jiika tidak, keuzuran anda adalah disebabkan kejahilan anda sendiri.
Dialog di antaraku dan para ulama Syi'ah
Ianya juga merupakan sebahagian daripada sebab-sebab yang mendorongku menjadi seorang Syi'ah. Manakala berdialog dengan mereka, aku dapati diriku dikalahkan oleh hujah-hujah mereka, tetapi aku tetap berdegil. Aku cuba mempertahankan hujah-hujahku yang lemah walhal aku mempunyai keilmuan yang tinggi di dalam mazhab Syafi'i dan mazhab lain. Kerana aku telah menuntut di universiti al-Azhar sehingga aku memperolehi ijazah yang tinggi sebagaimana aku telah menyebutkannya.
Dialog kami mengambil masa tidak kurang daripada tiga tahun. Kemudian aku mula mengsyaki mazhab empat kerana perselisihan sesama sendiri begitu ketara sekali.3
Mengkaji buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah - Syi'ah)
Akhirnya aku mengkaji buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah - Syi'ah) karangan Ayatullah al-'Uzma Sayyid Syarafuddin. Aku mengkajinya dengan teliti. Gaya bahasa dan kemanisan lafaznya mengkagumkanku dan membuatkan aku berfikir bagaiman dia dapat memberi hujah-hujah yang kuat di dalam dialognya dengan Syaikh al-Akbar Syaikh Salim al-Busyra, Rektor Universiti al-Azhar ketika itu.
Aku dapati pengarangnya ketika berhujah tidak berpegang kepada buku-buku Syi'ah, malah dia berpegang kepada buku-buku Sunnah wal-Jama'ah. Lantaran itu ianya menjadi sukar bagi lawannya untuk menolaknya. Pada malam itu aku tidak dapat tidur sehingga aku puas hati bahawa kebenaran adalah bersama Syi'ah. Mereka berada di atas mazhab yang benar sabit daripada Rasulullah SAWAW dan Ahlu l-Baitnya AS. Tidak ada syubhat sedikitpun padaku. Aku percaya bahawa mereka tidaklah sebagaimana apa yang diperkatakan kepada mereka oleh tuduhan, celaan, dan kata-kata batil yang diciptakan.
Buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah Syi'ah) untuk saudaraku
Pada keesokannya, aku memberi buku tersebut kepada saudaraku Ahmad. Dia berkata kepadaku: Apakah ini? Aku menjawab kitab Syi'ah oleh pengarang Syi'ah. Lantas dia berkata kepadaku: Jauhkanlah buku itu dariku, sebanyak tiga kali. Ia adalah daripada buku-buku yang sesat, aku tidak perlu kepadanya. Aku benci kepada Syi'ah dan perkara yang berkaitan dengan Syi'ah. Aku berkata: Ambillah dan bacalah sahaja kerana kita tidak perlu beramal dengannya. Ia tidak akan merosakkan anda jika anda membacanya. Lalu diapun mengambil buku tersebut, mengkajinya dengan teliti. Dan akhirnya dia mengakui kebenaran mazhab Syi'ah. Dia berkata: Syi'ah di atas kebenaran. Selain daripada mereka adalah bersalah (Khati'un).
Kemudian aku dan saudaraku meninggalkan mazhab Syafi'i dan kami berpegang kepada mazhab Syi'ah Ja'fariyyah. Ini disebabkan oleh dalil-dalil yang banyak dan terang. Hati kecilku menikmati ketenangan dengan berpegang kepada mazhab Ja'fari, mazhab Ahlu l-Bait Rasulullah SAWAW kerana aku mengetahui bahawa aku telah sampai kepada matlamat yang paling jauh iaitu berpegang kepada mazhab yang paling suci iaitu berpegang kepada mazhab keluarga suci (al-Itrah al-Tahirah).
Justeru itu aku mempercayai suatu keyakinan yang tidak dicampuri syak bahawa aku telah berjaya daripada siksaan Allah SWT. Aku bersyukur kepada Allah SWT di atas kejayaan semua keluargaku dan kebanyakan kaum kerabatku, sahabat-sahabatku dan lain-lain. Ini adalah satu kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT yang tidak dapat dinilainya selain daripada Dia; Wilayah keluarga Rasul SAWAW kerana tidak ada kejayaan kecuali dengan mengangkat mereka sebagai auliya'. Sebuah hadith Rasul SAWAW yang dipersetujui oleh Sunnah dan Syi'ah yang bermaksud:"Umpama keluargaku sepertilah bahtera Nuh, sesiapa yang menaikinya ia akan berjaya dan sesiapa yang tidak menaikinya akan tenggelam dan binasa." Aku memohon kepada Allah SWT agar merestui kami kerana mengangkat wilayah Ahlu l-Bait AS dan mencintai mereka.
Beberapa kumpulan menjadi Syi'ah bersama-sama kami
Sebilangan besar daripada saudara-saudara kami Ahlus Sunnah dari Syria, Lubnan, Turkey dan lain-lain telah turut menjadi Syi'ah bersama kami. Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayat kepada kami dan kami tidak akan mendapat hidayah sekiranya Allah tidak memberi hidayah kepada kami.
Apabila tersebarnya berita mengenai kami, orang ramai berpusu-pusu datang kepada kami, bertanya kami sebab-sebab yang mendorong kami berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait dan meninggalkan mazhab Syafi'i. Kami memberikan jawapan kepada mereka bahawa dalil-dalil yang kuat bersama kami. Maka sesiapa yang ingin supaya kami menerangkan kepadanya mazhab al-Haqq, maka hendaklah ia datang kepada kami.
Orang ramai membuat rujukan kepada kami
Dalam masa yang singkat saja, orang ramai telah datang kepada kami. Mereka terdiri daripada para ulama, guru, pegawai, peniaga dan lain-lain. Kami menjelaskan kepada mereka kebenaran mazhab Ahlu l-Bait AS berdasarkan rujukan Ahlu s-Sunnah yang muktabar. Di kalangan mereka ada yang mendengar dan berpuas hati, kemudian berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS, dengan meninggalkan mazhab yang terdahulu. Di kalangan mereka ada yang fanatik, dan terus berpegang kepada mazhabnya. Keuzurannya adalah kejahilannya, dan fanatiknya adalah kesedarannya bahawa dia tidak mampu mempertahankan mazhabnya. Demikianlah berlalunya hari-hari, kami terus berdakwah sehingga ramai orang berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS di Syria, dan di Turkey, al-Hamdu Lillah.
Muzakarah di antaraku dan saudaraku
Untuk menambahkan keyakinan, aku dan saudaraku bermuzakarah tentang mazhab Ja'fari. Kadang-kadang dia jadikan dirinya sebagai seorang Syi'ah dan aku menjadikan diriku seorang Sunnah. Kemudian kami memulakan perbincangan. Aku mengemukakan kepadanya beberapa persoalan, maka dia memberi jawapan kepadaku mengenainya berdasarkan al-Qur'an dan Sunnah. Di dalam perbincangan itu, aku melihat diriku dikalahkan olehnya, lalu aku melihat kebenaran bersama Syi'ah. Dan pada masa yang lain aku jadikan diriku sebagai seorang Syi'ah dan saudaraku sebagai seorang Sunnah, maka kami pun bermuzakarah di dalam beberapa masalah. Dia ketawa dan melihat dirinya dikalahkan dan berkata: Kebenaran adalah bersama Syi'ah. Demikianlah berulangnya muzakarah di antara kami. Dan dengan cara ini kami dapati bahawa sesungguhnya kebenaran bersama Syi'ah kerana kebenaran adalah tinggi dan tidak ada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya.
Sebagai contoh manakala dia jadikan dirinya sebagai seorang Syi'ah, dia meminta dalil daripadaku kerana berpegang kepada salah satu daripada mazhab yang empat seraya berkata:"Apakah dalil anda berpegang kepada mazhab Syafi'i atau Hanafi, Maliki atau Hanbali? Adakah anda dapati dalil daripada ayat al-Qur'an seperti maksud firmanNya (di dalam Surah al-An'am (6): 153 yang bermaksud:" dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanku yang lurus,maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan (yang lain) kerana jalan itu menceraiberaikan kami dari jalanNya." Lihatlah bagaimana Allah SWT menyuruh orang-orang Mukminin supaya berpegang kepada jalanNya yang lurus, dan melarang kami daripada mengambil jalan-jalan (Subul) yang bermacam-macam supaya kami tidak sesat daripada jalanNya.
Dia bertanya lagi: Adakah anda mendapati hadith Sahih yang menyokong pegangan anda kepada salah satu daripada empat mazhab?
Aku menjawab: Ijmak. Maka dia berkata kepadaku: Tidak ada ijmak, kerana mereka berselisih faham pada mazhab-mazhab tersebut bagaimana pula ijmak dapat dilakukan.
Apabila dia bertanya kepadaku, aku jadikan diriku sebagai seorang Ja'fari, aku memberikan dalil-dalil daripada al-Qur'an dan Sunnah RasulNya. Aku berkata: Sebuah hadith Rasulullah SAWAW yang bermaksud:"Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga, kitab Allah dan Itrah Ahlu l-Baitku selama kalian berpegang kepada kedua-duanya, kalian tidak akan sesat selepasku selama-lamanya. Kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh. Justeru itu jagalah baik-baik, bagaimana kalian memperlakukan kedua peninggalanku itu." Dan sabda Rasulullah SAWAW yang bermaksud:"Umpama Ahlu l-Baitku pada kalian sepertilah bahtera Nuh, sesiapa yang menaikinya berjaya, dan sesiapa yang tidak menaikinya tenggelam." Dia menyerah kalah dan berkata kepadaku: Kebenaran bersama anda.
Begitulah kami melihat kebenaran itu tetap di samping Ahlu l-Bait 4 Rasulullah SAWAW.
Pengisytiharan Sebagai Syi'ah
Sebagaimana kalian telah mengetahui bahawa dalil-dalil yang kuat dan hujah-hujah yang terang terdapat di dalam buku-buku Ahlus Sunnah dan Syi'ah tentang kebenaran berpegang kepada mazhab Ja'fari kerana ianya merupakan salsilah keemasan yang tersusun rapi dan tidak dapat dipisahkan sebagaimana firmanNya dalam (Surah al-Baqarah (2): 256 yang bermaksud:"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus."
Sebagaimana sebuah hadith muktabar yang diriwayatkan oleh Ali AS daripada Nabi SAWAW bersabda:"Kamilah al-Urwah al-Wusthqa (buhul tali yang amat kuat)."
Di dalam riwayat yang lain beliau bersabda:"Kamilah al-Sirat al-Mustaqim kamilah subul jalan-jalan kepada Allah." Contoh-contoh hadith seperti ini adalah banyak. Semuanya menjelaskan kepada kita sabil (jalan) untuk berpegang kepada mazhab Syi'ah. Maka kami menerimanya dengan penuh kegembiraan kerana inginkan kejayaan dan kemenangan di akhirat kelak. Semoga Allah juga memberi petunjuk kepada kalian.
Sebagaimana seorang penyair bernama al-Kumait berkata dalam puisinya:
"Aku adalah Syi'ah Ahmad dan mazhabku adalah mazhab al-Haqq.
Imam Syafi'i berkata: Manakala aku melihat manusia berpegang kepada mazhab yang bermacam-macam di lautan kebodohan dan kejahilan.
Aku menaiki dengan nama Allah bahtera kejayaan mereka adalah Ahlu l-Bait al-Mustafa.
dan penamat segala Rasul
Aku berpegang kepada tali Allah dengan mewalikan mereka sebagaimana Dia memerintahkan kita berpegang kepada taliNya.
Telah berpecah di dalam agama tujuh puluh golongan lebih sebagaimana tercatat di dalam hadith.
Semuanya tidak berjaya kecuali satu golongan maka katakanlah kepadaku mengenainya wahai orang yang mempunyai fikiran dan akal.
Adakah golongan yang binasa itu Ali Muhammad?
atau golongan lain yang berjaya? Katakanlah kepadaku.
Sekiranya anda berkat mengenai orang-orang yang berjaya, maka jawapannya ialah satu (keluarga Muhammad dan pengikut-pengikutnya).
Dan sekiranya anda berkata tentang golongan yang binasa nescaya anda tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Dan sekiranya maula mereka adalah daripada mereka (Ahlu l-Bait AS) maka sesungguhnya aku telah meredhai mereka dan sentiasa berteduh di bayangan mereka.
Kalian tinggallah Ali untukku sebagai Wali dan Keturunannya.
Dan kalian termasuk orang-orang yang tinggal di dalam kesenangan (abadi di akhirat kelak).
Dan dia berkata lagi:
Jikalau anda ingin mencari untuk diri anda satu mazhab yang akan menyelamatkan anda di hari kiamat daripada jilatan api
Maka tinggallah pendapat Syafi'i dan Malik dan Ahmad dan apa yang diriwayatkan oleh Ka'ab Ahbar
Maka perwalikanlah orang-orang dimana kata-kata dan percakapan mereka telah diriwayatkan oleh datuk kami daripada Jibra'il daripada Allah SWT."
Dan aku akan kemukakan kepada anda kelebihan-kelebihan al-itrah al-Tahirah dari buku-buku rujukan saudara-saudara kami Ahlus Sunnah di dalam buku ini nanti Insya Allah.
Rancangan-rancangan jahat bagi menentang kami
Apabila kami mengisytiharkan bahawa kami telah berpegang kepada mazhab Syi'ah, maka ianya tersebar cepat ke seluruh negara. Orang ramai mulai berpegang kepada Syi'ah, secara kumpulan dan ada yang secara individu. Pada masa itu beberapa kumpulan yang menentang mazhab Ahlu l-Bait AS kerana kejahilan mereka mengenai mazhab tersebut, menjadi musuh kepada apa yang mereka tidak tahu. Lantaran itu mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan serta layanan yang keji terhadap kami di mana kami merasa mahu untuk menyatakannya disebabkan kekejiannya.
Sesungguhnya kebanyakan daripada mereka menghukum kami dengan kekafiran, dan kemurtadan.5 Lantaran itu kami menentang tuduhan mereka. Lalu mereka menggalakkan orang-orang yang bodoh mereka Sufaha'u-hum menentang kami. Mereka juga menggalakkan kanak-kanak mereka supaya menyakiti kami dengan kata-kata keji dan melontar kami dengan batu seraya berkata kepada kami: Wahai penyembah al-Qarmidah. Mereka maksudkan: Wahai penyembah turbah Husainiyyah. Mereka mulai mengingatkan orang ramai melalui mimbar-mimbar masjid tentang "pergaulan kami" dengan tuduhan kekufuran dan kemurtadan. Mereka memotong mata pencarian kami. Sekiranya kami mahu menyewa rumah untuk didiami, mereka akan datang kepada tuannya dan mengugutnya pula seraya berkata: Mereka itu adalah Musyrikun. Mereka mencaci sahabat. Jangan sekali-kali anda menyewakan rumah anda kepada mereka. Dan jikalau anda menyewakannya, nescaya kami akan menyakiti anda."
Ianya sungguh menghairankan seolah-olah kami telah keluar dari agama Islam dengan berpegang kepada mazhab ahlu l-Bait AS. Begitu juga dengan sekumpulan syaikh-syaikh di Halab, mereka telah menubuhkan persatuan yang mereka namakan "Persatuan dakwah Muhammadiyyah ke jalan yang lurus." Seorang daripada mereka bernama Amin Airudh telah mengarang sebuah buku dengan nama persatuan tersebut. Dia menulis di dalam kata-kata yang keji bagi menentang kami di antaranya:" Tasyayyu' telah berkembang di seluruh Halab di tahap yang menakutkan. Justeru itu kami menentang golongan tersebut." Ia telah menjadi riuh rendah kemudian ia padam kerana suara kebenaran menjadi tinggi menjulang dan suaranya sentiasa kedengaran sehingga ia berkembang dengan pesat, sehingga tidak boleh didiamkannya oleh gegaran.
Walau apapun terjadi kami tetap cekal seperti gunung yang kukuh, tidak dapat digerakkan oleh ribut taufan. Kerana kami berpegang kepada kebenaran. Kami menyeru kepada jalan Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbincang dengan cara yang lebih baik dan perkataaan siapakah yang lebih baik daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal salih dan berkata:"Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam."Sesungguhnya Allah telah menolong kami menghadapi mereka dengan berkat Ahlu l-Bait AS. Sebenarnya merekalah yang gagal dan rugi, malah "perbuatan" mereka di hari kiamat nanti akan dibalas.
Suatu keluhan
Terlintas di hatiku untuk menulis satu tajuk yang mendukacita dan memalukan tentang ahli agama yang sentiasa mencari keaiban Muslimin salihin terutamanya mengenai keaiban Syi'ah yang baik, pengikut Ahlu l-Bait AS. Mereka adalah kuman kejahatan yang berusaha untuk melakukan kerosakan di bumi. Mereka tidak hidup dengan jiwa yang bersih bersama golongan-golongan Islam, dan menjamin hak-hak mereka.
Malah mereka menaburkan fitnah di kalangan barisan Muslimin untuk menyebarkan sebab-sebab kefasadan bagi menangguk di air yang keruh bagi mengecapi kesenangan duniawi sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang sebelum mereka. Seolah-olah berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS menurut pandangan mereka yang jahat, telah terkeluar daripada agama Islam. Darahku pada masa itu menjadi halal dan penghormatan tidak ada lagi untukku.
Jikalau mereka kembali kepada pendapat yang betul dan berdiri di atas mazhab Ahlu l-Bait AS, nescaya mereka mengetahui sesungguhnya Syi'ah berada di pihak yang benar. Sesungguhnya orang yang memperkuatkan mazhab ini adalah Nabi Muhammad SAWAW sendiri. Dan orang yang menetapkan tiang-tiangnya ialah Ali dan anak-anaknya yang disucikan oleh Allah daripada kekotoran dosa. Dialah yang menjaga mereka dari melakukan dosa kecil ataupun besar. Lantaran itu hadith mereka ialah hadith anak daripada bapanya daripada datuknya daripada Rasulullah SAWAW daripada Jibra'il daripada Allah SWT.
Begitulah Syi'ah telah mengambilnya dari tangan ke tangan, kebenaran dari kebenaran dan yang akhir mereka tidak membelakangi yang awal mereka. Adalah menghairankan sekali, orang yang benar itu dibunuh dan orang yang batil itu dilepaskan? Adakah orang yang berpegang kepada mazhab ini dicela? Dan orang yang beribada menurut cara mereka dianggap sesat, ia dikafir dan dilontarkan dengan batu?
Adakah hartanya dirampas, anak-anaknya dibunuh dan semua manfaat ditegah untuknya? Adakah dikatakan kepadanya wahai penyembah berhala sedangkan dia menyembah Allah SWT dengan kebenaran dan keyakinan. Hatinya tersimpul kepada wilayah Allah, RasulNya dan para imam yang suci dan siapa yang mewalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya parti Allah yang mendapat kemenangan (Surah al-Maidah (5): 56). Tetapi sudah menjadi lumrah bahawa pendusta dimuliakan sementara orang yang benar dihina.
Lihatlah apa yang dlakukan oleh Bani Umaiyyah terhadap Rasul SAWAW, itrahnya AS dan Syi'ah mereka yang terpilih. Abu Sufyan telah menentang Rasul SAWAW, Muawiyah menentang Amiru l-Mukminin Ali AS, Yazid menentang Sayyid Syuhuda Husayn AS, Bani Marwan menentang Syi'ah yang baik. Begitulah keadaannya sehingga Allah memotong belakang mereka.. Begitulah keadaannya di hari kami memilih mazhab Syi'ah dan meninggalkan mazhab Syafi'i. Berlakulah 'kiamat" dan penentangan mereka terhadap kami.
Kami tidak mencela orang yang mempunyai akhlak seperti ini. Kerana itulah cara mereka dididik. Mereka menjadi talibarut Bani Umaiyyah dan kuncu Bani Marwan. Pertalian yang rapat di antara satu sama lain di mana tidak ada perbezaan di antara akhir mereka dengan yang awal mereka sehingga tiba suatu hari orang yang zalim diberikan balasan dan orang yang dizalimi diselamatkan. Kezaliman lebih dikenali oleh orang yang cekal menghadapinya.
Sikap Imam Akbar Ayatullah al-Burujurdi terhadap kami
Apabila berita kesulitan hidup kami sampai kepada Sayyid Syarafuddin RH, dia mengutus surat kepada Ayatullah al-'Uzma Sayyid al-Husain al-Tabataba'i RH menerangkan keadaan kami. Lalu Ayatullah Burujurdi menolong kami. Pada hakikatnya dialah yang menyokong kami di dalam menyampaikan mazhab yang benar daripada Allah, Rasul dan itrahnya yang disucikan AS. Begitulah juga Sayyid Syarafuddin RH yang telah memainkan peranan yang tidak kurang juga pentingnya. Lantaran itu kami membuat keputusan untuk melawat Iraq dan Iran kerana sebab-sebab tertentu.
Lawatanku ke Iraq
Pada tahun 1370H/1950M, dengan taufik Allah SWT aku dapat menziarahi makam-makam yang suci di Iraq. Aku juga diberi kesempatan untuk bertemu dengan para ulama dan para mujtahid yang mulia, dengan penuh kemesraan yang aku tidak dapat membayangkannya.
Bandar Baghdad
Di Baghdad aku menjadi tetamu kepada Sayyid al-Sadr, Perdana Menteri Iraq. Sepanjang aku di Baghdad, aku berjumpa dengan kebanyakan ulama di Baghdad seperti Allamah Sayyid Hibat al-Din al-Syarastani, Sayyid Ali Naqiyy al-Hadiri, Ustaz Ahmad Amin, pengarang buku al-Takamul fi l-Islam dan lain-lain.
Bandar Kazimiyyah yang mulia
Aku juga berjumpa dengan para ulama di Kazimiyyah seperti al-'Allamah Ahmad al-Kisywan, al-'Allamah al-Sayyid 'Ali al-Sadr, al-'Allamah al-Sayyid Muhammasd al-Mahdi al-Isfahani al-Kazimi, al-'Allamah Syaikh Marzah Ali Zanjani dan lain-lain.
Bandar Karbala al-Muqaddasah
Di bandar ini aku menjadi tetami kepada al-'Allamah al-Sayyid al-'Abbas al-Kasyani. Aku juga sempat berjumpa mujtahid Sayyid Mirza Hadi al-Khurasani, Mujtahid al-Sayyid al-Hasan Aghamar, Mujtahid Syaikh Muhammad al-Khatib, Mujtahid Mahdi Syirazi, Mujtahid Muhammad Ridha al-Asfahani al-Hai'ri, Mujtahid Sayyid Muhammad al-Tahir al-Bahrani, Sayyid Murtadha daripada keluarga Tabataba'i, al-'Allamah Syaikh Muhammad 'Ali daripada keluarga Sibawaih, Sayyid al-Milani, Syaikh Ja'far al-Rasyti dan lain-lain.
Bandar Najaf al-Asyraf
Di Najaf aku menjadi tetamu kepada Ayatullah al-'Uzma Sayyid al-Muhsin al-Hakim al-Tabataba'i. Semasa di Najaf aku berjumpa para mujtahid yang masyhur seperti Ayatullah al-'Uzma Sayyid Mirzah 'Abdu l-Hadi Syirazi, Ayatullah al-'Uzma Sayyid Mahmud al-Syahrudi, Ayatullah al-'Uzma Sayyid Abu l-Qasim al-Khu'i.6Ayatullah Sayyid al-Husain al-Hamami, Ayatullah Sayyid Mirzah Agha al-Istahbanani, Ayatullah al-'Uzma Syaikh Muhammad al-Hasan al-Muzaffar, Ayatullah Syaikh Muhammad al-Baghdadi, Ayatullah Agha Bazrak al-Tahrani, Al-'Allamah 'Abdu l-Muhsin Ahmad al-Amini, Syaikh Nasrullah al-Khalkhali dan lain-lain lagi. Mereka menghormatiku sesuai dengan kedudukanku. Kemudian aku pulang dengan penuh kegembiraan.
Lawatanku ke Iran
Aku meninggalkan Iraq menuju ke Iran untuk menziarahi malam imam Ridha AS dan bertemu dengan Marja' Taqlid Ayatullah al-'Uzma Sayyid Agha Husain al-Tabataba'i al-Burujurdi. Aku berjumpa dengannya di bandar Qom al-Muqaddasah. Aku mendapatinya seorang yang tenang, mempunyai kehebatan dan keistimewaan tertentu. Dia menghormatiku sejajar dengan kedudukanku. Dan aku kembali dengan senang hati. Aku menyedari bahawa kebanyakan pemimpin-pemimpin dunia Islam dan individu-individu yang masyhur datang menziarahinya. Walaupun begitu mereka tidak dibenarkan berjumpa dengannya secara terus. Ini disebabkan kesibukannya melayani urusan Muslimin. Dia telah memberi kepadaku hadiah yang sesuai dengan kedudukannya dan kedudukanku. Selamat sejahtera di hari dia dilahirkan dan selamat sejahtera di hari dia dimatikan dan selamat sejahtera di hari dia dibangkitkan.
Bandar Qom al-Muqaddasah
Sepanjang aku berada di sini, aku sempat berjumpa dengan para mujtahid yang masyhur seperti Ayatullah Sayyid Muhammad al-Hujjah, marja' taqlid Ayatullah Sayyid Sadr al-Din Sadr, Ayatullah Sayyid Muhammad Taqi al-Khunsari, Ayatullah Sayyid Syahabuddin Najafi al-Mar'asyi, Ayatullah Sayyid Kazim Syariat Madari, Ayatullah Sayyid Muhammad Ridha Gulpaigani, Ayatullah al-'Uzma Sayyid Ruhullah al-Musawi al-Khumaini.7Ayatullah Syaikh Mirzah Ahmad Isytiani, Ayatillah Syaikh Muhammad al-Ghurawi Kasyani dan lain-lain.
Bandar Khurasan
Di Khurasan aku menziarahi makam imam Ridha AS. Aku berjumpa marja' taqlid yang termasyhur Ayatullah al-'Uzma Muhammad al-Hadi al-Milani dan lain-lain. Aku begitu gembira dengan layanan dan sambutan mereka yang begitu mesra yang layak dengan kedudukanku. Aku meneruskan khidmatku untuk menyebarkan mazhab Ahlu l-Bait AS. Meskipun aku menghadapi berbagai-bagai ugutan dan tekanan yang menyedihkan. Aku menyerahkan urusanku kepada Allah SWT. kerana Dia sebaik-baik wakil, sebaik-baik maula dan sebaik-baik pembantu. La haula wala Quuwata illabillahi l-'Azim.
Nota Kaki:
1. Wahabi adalah golongan yang dinisbahkan kepada Muhammad bin 'Abdu l-Wahab yang lahir pada 1111H. Di antara ajarannya ialah pengharaman perayaan terhadap orang yang telah meninggal dunia termasuk para Nabi dan para imam. Pengharaman pembinaan di atas kubur, tawasul, syafa'at melalui para Nabi dan para wali. Untuk mengetahui aqidah-aqidah Wahabi yang menyalahi nas, lihat Tauhid dan Syirik oleh Syaikh Ja'far Subhani, Mizan, 1987.
2. Telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia dengan jodol Isu-isu Penting Ikhtilaf Sunnah Syi'ah.
3. Sila lihat lampiran D
4. Untuk mengetahui dialog Imam Ridha AS dengan para ulama Baghdad dan Khurasan mengenai Ahlu l-Bait AS, sila lihat Lampiran A.
5. Untuk mengetahui aqidah Syi'ah tentang al-Qur'an, sila lihat lampiran C.
6. Ayatullah al-'Uzma Sayyid Abu l-Qasim al-Musawi al-Khu'i adalah seorang Marja' Taqlid yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia. Beliau adalah dari keturuan Imam Musa al-Kazim AS, Imam Ketujuh Mazhab Ahlu l-Bait (wafat pada 8hb. Ogos 1992). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya yang mulia.
7. Ayatullah al-'Uzma Imam al-Khomaini adalah pengasas Republik Islam Iran. Pemimpin yang begitu unik di abad ini. Beliau adalah dari keturunan Imam Musa al-Kazim AS (wafat pada 3hb. Jun 1989). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya yang mulia.