PELAJARAN 14
Sunnah: Sumber Pemikiran dan Syari'ah Islam
Syari'ah Islam adalah satu kumpulan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT supaya manusia dapat mengatur kehidupan mereka.
Pemikiran Islam: adalah satu kumpulan ilmu pengetahuan dan pengajaran yang diambil daripada ajaran Islam, misalnya dalam bidang ekonomi dan politik, falsafah, prinsip-prinsip perundangan, akhlak, tafsir dan sebagainya dan al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW menjadi dua sumber kepada pemikiran dan perundangan Islam. Malahan al-Qur'an dalam banyak tempat menyajikan dengan terang benderang kedudukan Sunnah dalam perkara ini, firman Allah SWT: "Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)." (An-Najm [53]:3-5)
Firman Allah SWT: "Katakanlah; "Tidaklah patut bagiku menggantinya dari pihak diriku sendiri. Aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku." (Yunus [10]: 15)
"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah." (al-Ahzab [33]: 21)
"Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri di antara kamu Kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul...." (an-Nisa [4]: 59)
"Katakanlah: Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (Nur [24]: 54)
"Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka." (Ibrahim [14]: 4)
Justeru, dengan ini al-Qur'an menerangkan dan menjelaskan peranan Sunnah dan apa yang datang daripada Nabi SAWAW sebagai sebagai sebahagian dariapada wahyu Allah SWT (ajaran Islam).
Maka menurut garis panduan yang ditentukan oleh al-Qur'an, pengertian Sunnah menurut para Imam AS adalah sebagai sumber kedua dalam Syariah Islam dan ajaran-ajarannya. Berkenaan dengan hal ini, Imam Ja'far al-Sadiq AS, cicit kepada Nabi SAWAW berkata:
"Tidak ada sesuatu yang tiada melainkan telah diterangkan dalam Kitab Allah dan Sunnah.'[9]
Dan juga diriwayatkan daripada beliau AS, bahawa: "Segala sesuatu kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah, tetapi hadith-hadith yang bercanggah dengan Kitab Allah adalah sesuatu yang diada-adakan (maudhuk)."[10]
Dan juga diriwayatkan daripada Imam Musa al-Kadzim AS ketika menjawab pertanyaan salah seorang pengikutnya; "Adakah segala sesuatu ada dalam Kitab Allah dan Sunnah Nabi?" Beliau AS menjawab: "Sudah tentu, segala sesuatu ada dalam Kitab Allah dan Sunnah Nabi."[11]
Dan juga diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir AS bahawa: "Segala sesuatu melewati sunnah adalah kembali kepada Sunnah." [12]
Walau bagaimanapun, ketika membaca kitab-kitab fiqh dan ahkam, kita mendapati Sunnah menjadi sumber yang lazim digunakan. Hal ini disebabkan al-Qur'an tidak menjelaskan secara terperinci setiap hukum-hukum dan peraturan Syariah kecuali asas-asasnya sahaja, justeru Nabi SAWAW sebagai Rasulullah dan orang yang paling mengetahui al-Qur'an daripada orang lain, mengambil tanggungjawab menjelaskan setiap sudut ajaran dan peraturan-peraturan yang terkandung dalam al-Qur'an.
Sebagai contoh, al-Qur'an menerangkan tentang pengeluaran zakat:
"Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka..." (Al-Taubah [9]: 103)
Apabila ayat ini diturunkan, Nabi SAWAW menjelaskan hukum-hukum tentang zakat dan juga tentang benda-benda yang diwajibkan zakat, jumlah, jangka masa wajib dikeluarkan zakat, hukum-hukum tentang pengurusan berkaitan dengan zakat dan sebagainya.
Dan juga tentang Haji apabila ianya diwajibkan ke atas umat Islam, maka Nabi SAWAW yang menjelaskan kepada umat Islam tatacara mengerjakannya dengan bersabda: "Pelajari Haji kalian daripadaku."
Dan begitu juga ketika Nabi SAWAW menerangkan tentang hukum-hukum puasa, solat, perniagaan, pernikahan, urusan bank, perjanjian-perjanjian, peraturan dalam peperangan, undang-undang tanah, syarikat, sewaan, pinjaman dan sebagainya. Malahan sesiapa yang mengkaji hubungan yang wujud di antara Kitab Allah dan Sunnah akan mendapati kedua sumber itu tidak akan dapat dipisahkan samasekali.
Sebagai contoh, undang-undang yang menjadi pegangan masyarakat adalah asas perlembagaan kepada masyarakat tersebut, tetapi undang-undang awam yang digubal akan dianggap sebagai perincian kepada perlembagaan Undang-undang awam yang digubal itu pada hakikatnya berada dalam kerangka perlembagaan yang menjadi pegangan dalam masyarakat tersebut. Maka menjadi tugas kepada penggubal undang-undang untuk menjelaskan atau memberikan perincian tentang undang-undang tersebut agar selaras dengan perlembagaan yang menjadi asas kepada perundangan dalam masyarakat tersebut.
Walau bagaimanapun, Nabi SAWAW yang menjadi orang yang ditarbiyyah oleh Allah SWT, tidak menggubal undang-undangnya sendiri atau menerangkan setiap hukum-hakam dan undang-undang kehidupan kecuali apa yang telah diajarkan atau diperintah oleh Allah SWT. Maka apa sahaja yang datang daripada beliau SAWAW sebenarnya merupakan perkara yang beliau perolehi daripada Allah SWT. Kesimpulannya, sumber Sunnah adalah:
Sama ada isi kandungannya itu daripada Kitab Allah, ajaran tersebut diwahyukan kepada Nabi SAWAW dan beliau SAWAW amat memahaminya isi kandungannya. Atau beliau SAWA akan diajar oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril AS.
Para ulama Islam telah menerima hukum-hakam dan undang-undang Syariah yang ditetapkan oleh Nabi SAWAW iaitu hasil daripada istinbat Nabi daripada apa yang diwahyukan oleh Allah SWT. Istinbat ini menurut mazhab Sunni sebagai Ijtihad al-Rasul SAWAW. Namun jika kita menerima istilah ini, maka ijtihad Nabi SAWAW tidak sama dengan ijtihad Fuqaha yang mungkin boleh menjurus kepada dua kemungkinan iaitu betul atau salah. Ijtihad Nabi SAWAW adalah benar semata-mata tanpa sebarang keraguan sekalipun iaitu "Hukmu Allah a-Waqi'i." Segala undang-undang yang diistinbatkan oleh Nabi SAWAW adalah pengambilan daripada asas Syariah dan sumbernya telah diwahyukan kepadanya dan beliau SAWAW adalah orang yang paling mengetahui tentang hal tersebut.
Muhaqqiq Hilli telah menyatakan dengan panjang lebar tentang sahnya undang-undang yang diistinbatkan oleh Nabi SAWAW melalui proses "Ijtihad" dan tida melalui proses "Qiyas", dengan berkata: "Kami tidak membenarkannya (Qiyas) walaupun kami tidak mengetahui kejadiannya." Berhubung dengan hal ini (Qiyas), adalah mungkin baginya melakukan kesalahan dalam itjihadnya. Namun demikian, ijtihad Nabi SAWAW adalah diterima berdasarkan kepada: Pertama; dia adalah maksum dari melakukan kesalahan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Kedua, kita diperintahkan patuh kepadanya, maka jika berlaku kesalahan itu datang daripadanya maka kita akan dipaksa mengamalkan dengan kesalahan tersebut. Ketiga, jika hal itu mungkin, maka tidak ada lagi keyakinan dalam perintah dan larangannya yang akan mengakibatkan kita hilang kepercayaan kepadanya."[13]
Apabila kita meneliti akan istilah-istilah Sunnah, kita pasti dapati banyak contoh Nabi SAWAW mengistinbatkan hukum-hukum daripada al-Qur'an. Sebagai contoh Hadith "Raf" yang menjadi satu formula dalam Syariah Islam. Diriwayatkan bahawa Nabi SAWAW bersabda:
"Sembilan perkara dimaafkan daripada umatku: kesilapan, lupa, perkara yang mereka tidak sedari, perkara yang mereka tidak mampu melakukan, apa yang menjadi wajib kepada mereka, perkara yang mereka dipaksa melakukan, keraguan tentang penciptaan melainkan…"
Jika kita mengkaji prinsip undang-undang, kita akan dapati bahawa asasnya adalah diambil daripada Kitab Allah, sama ada secara langsung atau melalui prinsipnya sahaja. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman:
"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Ahzab
[33]: 5)
"Kami tidak akan mengazabkan sebelum Kami mengutus seorang rasul." (al-Israa [17]: 12)
"Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum sesudah Allah memberikan petunjuk kepada mereka hingga dijelaskanNya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (at-Taubah [33]: 115)
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (al-Baqarah [2]: 286)
"Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan apa yang Allah berikan kepadanya." (at-Thalaq {65]: 7)
"Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa sedang ia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah [2]: 173)
"Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman, kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman…." (an-Nahl [16]: 106)
Imam Sadiq AS ketika menerangkan bimbingan yang perolehi oleh Nabi SAWAW daripada Ruhul Qudus (Jibril) berkata:
"Nabi yang suci dibimbing oleh Ruhul Qudus, justeru dia tidak mungkin melakukan kesalahan dalam segala perkara daripada bisikan(oleh Iblis)."[14]
Sunnah Sahabah
Istilah Sahabah atau Ashab digunakan oleh umat Islam sebagai satu penghormatan kepada orang-orang Islam yang hidup bersama dan bersahabat dengan Nabi SAWAW. Mazhab-mazhab Islam berbeza pendapat tentang syarat-syarat untuk dikategorikan seseorang itu sebagai sahabat. Ada yang berpendapat setiap orang Islam yang melihat Nabi SAWAW pada masa hidupnya adalah seorang sahabi (sahabat). Ada yang menetapkan syarat bahawa seseorang itu hendaklah hidup bersama-sama Nabi SAWA dalam jangka masa yang panjang sebagai sahabat. Majoriti dari kalangan mereka, berpendapat setiap kumpulan orang Islam yang hidup bersama-sama Nabi SAWAW untuk sesuatu ketika boleh dikategorikan sebagai sahabat. Kerabat terdekat, teman-teman rapatnya, pembantu-pembantunya, juga orang-orang Islam lainnya yang melihatnya walaupun hanya sekali lazimnya termasuk dalam golongan Sahabah. Sahabat-sahabatlah yang meriwayatkan hadith-hadith daripada Nabi Muhammad SAWAW. Hadith-hadith disandarkan kepada mereka melalui golongan Tabi'un, pengikut-pengikut dan teman-teman mereka yang meriwayatkan hadith-hadith. Kesahihan hadith-hadith yang dikumpulkan oleh ulama Islam pada generasi terkemudian bergantung kepada peribadi mereka (sahabat) yang tsiqah (dipercayai).[15]
Semua mazhab Islam bersetuju bahawa Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAWAW merupakan dua sumber kepada Syariah Islam dan ajarannya.
Malahan, keyakinan ini adalah di antara keyakinan yang tidak boleh dipersoalkan lagi dalam agama Islam dan perkara yang menjadi pegangan umat Islam sejak dari zaman Nabi SAWAW.
Tetapi selepas kewafatan Nabi SAWAW dan terjadinya perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa baru di mana nas tidak menyatakannya secara langsung, umat Islam berasa perlu untuk memahami hukum-hakam yang berkaitan dengan hal-hal tersebut.
Umat Islam pada masa itu merujuk kepada ulama di kalangan sahabat. Mereka memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan dan kadang-kadang jawapan yang diberikan adalah betul dan kadang-kadang disebaliknya. Lantaran itu ia dipanggil Madhab Sahabi.
Kadang-kadang mereka mengikuti cara-cara ibadah, amalan politik dan kewangan sahabat-sahabat. Ini dipanggil "Sunnah Para Sahabat."
Tetapi kemudian, umat Islam berpecah kepada Hujjiyah "Madhab Sahabi" dan Sunnah mereka. Kita dapat menyusun asas-asas kepada pembahagian ini sebagai berikut:
1. definisi Sahabat.
2. Ruang lingkup Hujjiyah Sunnah Sahabat dan mazhab mereka
dan menganggapnya sebagai sumber Syariah.
3. Hujjiyah bergantung kepad ilmu pengetahun dan sifat adil,maka dialog dan kontrovesi timbul berkenaan dengan dua idea ini.
Malahan, berkenaan hal ini, terjadi sebuah dialog di antara dua kumpulan ini. Kumpulan yang mengambil Hujjiyah "Sunat Sahabi" dan kumpulan yang berpendapat bahawa perbuatan sahabat bukanlah sumber kepada Syari'ah, apatah lagi jika menjadikan mereka sebagai penghurai kepada Sunnah Nabi SAWAW.
Definisi istilah seorang "Sahabi" bermaksud: Seseorang yang menjadi sahabat kepada seseorang yang lain atau seekor haiwan atau tempat atau pada jangka masa tertentu. Tidak ada perbezaan sama ada persahabatan itu dalam bentuk dirinya atau dengan niat tertentu tetapi lazimnya seorang sahabat itu adalah orang yang paling dekat kepada seseorang itu.
Maka daripda definisi ini, kita memahami bahawa pengertian sahabat lazimnya merujuk kepada seseorang yang hidup lama bersama Nabi SAWAW.
Dan inilah definisi yang diambil oleh mazhab Ahlul Bait AS. Apabila Ibn Hajr Asqalani al-Shafie memberikan definisi Sahabi sebagai berikut: "Seseorang yang berjumpa Nabi SAWAW yang beriman kepadanya dan meninggal dalam keadaan Islam, dan ini termasuklah seseorang yang hidup dalam jangka masa yang lama dengan beliau SAWAW atau sekurang-kurangnya pada jangka masa yang singkat, sama ada beliau meriwayatkan hadith atau tidak, berperang bersamanya SAWAW atau tidak, dan bagi mereka yang melihat beliau SAWAW dan tidak hidup bersama-sama dengannya, dan juga bagi mereka yang tidak melihat beliau SAWAW disebabkan cacat penglihatan."[17]
Ibn Hajr Sharn Burhan meriwayatkan definisi lain daripada Mazari, dia berkata: "Apabila kita berkata Sahabat yang adil kita tidak bermaksud seseorang yang melihat Nabi SAWAW dalam satu hari, atau yang sering menziarahi beliau SAWAW, atau yang menemui beliau SAWAW untuk sesuatu tujuan dan kemudian meninggalkan beliau SAWAW tetapi apa yang kami maksudkan adalah mereka yang hidup bersama beliau SAWAW, memuliakan beliau SAWAW, membantu beliau SAWAW, mengikuti cahaya petunjuk yang diturunkan kepada beliau SAWAW."[18]
Lantaran itu, definisi Mazari ini secocok dengan definisi yang diberikan oleh Ahlul Bait. Bukanlah definisi sahabat itu orang yang sekadar melihat Nabi SAWAW atau menziarahi beliau pada satu masa. Tetapi seorang Sahabai adalah orang yang tinggal bersama beliau SAWAW, membantu beliau SAWAW, hidup bersama beliau pada suatu jangka masa yang panjang, mengamalkan Sunnah, dan mengikuti jalan beliau yang lurus dan diredhai Allah SWT.
Walau bagaimanapun ulama mazhab telah berbeza pendapat tentang definisi Sahabat, seperti juga mereka berselisih pendapat tentang Hujiyyah Sunnah Sahabat. Ulama dari Mazhab Imamiyyah Ahlul Bait iaitu pengikut Imam Ali dan itrah Nabi SAWAW berpendapat kelemahan "Hujiyyah" Sunnah Sahabat dan mazhab yang mengikutinya.
Hal ini disebabkan terdapat banyak percanggahan dalam perbuatan dan amalan Sahabat-sahabat. Setiap seorang daripada mereka mempunyai jalan dan mazhabnya sendiri, dan di kalangan mereka tidak mahu mengikuti Sunnah sesama mereka (seorang sahabat tidak mahu mengikuti Sunnah sahabat yang lain).
Sebagai contoh, Imam Ali AS menolak untuk mengikut jalan yang dibawa oleh Shaikhain iaitu Abu Bakar dan Umar. Ahli sejarah meriwayatkan bahawa selepas kewafatan Umar bin Khattab, Abdul Rahman bin Auf menemui Imam Ali bin Abi Talib AS, berkata: "Kami memerintahkan anda demi Allah, jika kami melantik anda sebagai khalifah, anda hendaklah mengikuti Kitab Allah, Sunnah Nabi dan sunnah Abu Bakar dan Umar. Kemudian Ali AS menjawab: "Aku akan memerintah mengikut Kitab Allah dan Sunnah Nabinya mengikut kemampuanku."[19]
Kemudian Abdul Rahman bin Auf datang menemui beliau AS kali kedua untuk tujuan yang sama tetapi Ali AS menjawab sebagaimana jawapan yang diberikan pada kali pertama. Kemudian dia menemui beliau AS buat kali ketiga dan mengemukakan permintaan yang sama darinya, dan beliau AS menjawab:
"Sudah pasti Kitab Allah dan Sunnah Nabi tidak memerlukan sokongan daripada (pendapat) orang lain. Tolong jauhkan perkara ini daripadaku."[20]
Apabila Ali AS menolak tawaran ini, Uthman menerimanya dan menjadi khalifah, tetapi beliau sendiri tidak juga mengikuti Sunnah Umar.
Imam Ali AS pada ketika beliau AS menjadi khalifah, banyak merubah Sunnah Uthman….dan sebagainya.
Adalah jelas kepada kita semua peristiwa yang menolak Sunnah para sahabat sesama mereka, disebabkan mereka tidak menyakini sesama mereka adalah golongan yang maksum. Bahkan perbuatan seorang Sahabat boleh jadi betul atau salah.
Sesungguhnya sejarah menjadi saksi kepada semua peristiwa yang telah kami kemukakan tadi, khususnya apa yang diriwayatkan kepada kita tentang pertumpahan darah dan peperangan yang dahsyat yang berlaku di antara mereka disebabkan kesalahfahaman yang berlaku di antara Sahabat.
Walau bagaimanapun pada ketika umat Islam bercanggah pendapat tentang hujjiyah Sunnah Sahabi, mereka turut bercanggah pendapat tentang hujjiyah dari mazhab mereka, misalnya tindakan dan fatwa yang datang daripada mereka yang mana sumbernya tidak diketahui. Ada di kalangan ulama dan Imam mazhab berpandangan ia sebagai
hujjah dan di kalangan ulama yang menolaknya.
Di antara mereka yang menolak hujjiyah ialah al-Ghazali, yang berkata: "Kata-kata orang-orang yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan lupa, dan tidak mempunyai sifat maksum tidak boleh menjadi hujjah. Bagaimana mungkin kata-katanya menjadi hujjah sedangkan dia tidak bebas daripada melakukan kesalahan? Bagaimana mungkin dia bebas daripada melakukan kesalahan jika tidak ada hujah yang menyokong dalil tersebut. Bagaimana mungkin diri seseorang itu suci (bebas dari kesalahan) tetapi bercanggah sesama mereka? Bagaimana mungkin dua orang yang suci bertentangan di antara mereka?
Bagaimanakah seorang sahabat menerima keputusan yang menentang sahabat yang lain? Hal ini kerana Abu Bakar dan Umar tidak menentang orang-orang yang bertentangan dengan mereka dalam Ijtihad tetapi mereka menerima setiap orang mempunyai hak untuk mengikut Ijtihadnya sendiri.
Justeru, disebabkan mereka tidak mempunyai sifat maksum, terjadinya pertentangan dan perpecahan di antara mereka, dan perisytiharan mereka membuat penentangan sesama sendiri adalah tiga bukti yang jelas kelemahan hujjiyah Mazhab Sahabi.[21]
Setelah kita membaca pendapat al-Ghazali berkenaan Mazhab Sahabi, marilah kita melihat pandangan al-Amadi, seorang Hanbali dan pandangan-pandangan lain berkenaan perkara tersebut. Beliau berkata:
"Semua bersetuju bahawa pandanga Mazhab Sahabi tentang Ijtihad tidaklah menjadi hujah kepada ulama lain sama ada dia seorang ketua, hakim atau mufti. Tetapi mereka bercanggah pendapat sama ada ia menjadi hujah kepada para pengikut mereka. Ada yang berpendapat ia sebagai hujah sedangkan yang lain seperti golongan Asyai'rah, Mu'tazilah, Ahmad bin Hanbal dan Karkhi bersetuju bahawa ia tidaklah menjadi hujah…dan secara luas diterima bahawa ia mempunyai kelemahan hujjiyyah…"[22]
"Jika sudah diterima bahawa Mazhab Sahabi tidak menjadi hujah yang wajib dikuti, maka sama ada diizinkan kepada orang lain mengikutinya atau tidak; pendapat yang luas diterima ialah tidak sahnya hal tersebut."[23]
Sunnah Ahlul Bait AS
Pengikut Ahlul Bait AS berpendapat Sunnah Imam Ali bin Abi Talib AS, kedua puteranya, Hasan dan Husayn AS dan para Imam daripada keturunan Husayn AS merupakan satu kesinambungan Sunnah Nabi SAWAW dan ucapan mereka, adalah sumber Syari'ah selepas Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAWAW.
Ulama dari Mazhab Ahlul Bait AS telah menetapkan asas ini disebabkan sifat maksum mereka AS sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW. Kedudukan mereka tidak dapat dipisahkan dari al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW dan Nabi SAWAW telah memerintahkan umat supaya taat kepada mereka selepas beliau SAWAW. Di antara hujah-hujah ini ialah firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah hendak mengeluarkan kekotoran daripada kalian wahai Ahlul Bait dan membersikan kalian dengan sebersih-bersihnya." (al-Ahzab [33]; 33)
Berkenaan dengan ayat ini, terdapat banyak riwayat hadith dan tafsir menunjukkan bahawa ayat ini diturunkan kepada Ahlul Bait AS, iaitu Ali, Fatimah, Hasan dan Husayn AS.
Al-Suyuti, dalam kitabnya Dur al-Manthur berkata:
"Tabrani telah meriwayatkannya daripada Umm Salamah bahawa Nabi SAWAW berkata kepada Fatimah: Bawakan suami kamu dan kedua orang puteranya, dan dia (Fatimah) memanggil mereka. Kemudian beliau SAWAW menyelimutkan jubah ke atas mereka dan meletakkan tangannya ke atas mereka: "Wahai Allah, mereka adalah Ahlul Bait Muhammad (Ahl Muhammad) - dan dalam kata-kata lain Al Muhammad - maka anugerahi barkahMu kepada keluarga Muhammad, sebagai Engkau memberikan keberkatan kepada keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Agong dan Maha Suci."
Kemudian Ummu Salamah berkata: "Aku mengangkat jubah itu supaya dapat bersama dengan mereka tetapi dia (Nabi) menjauhkannya daripada tanganku dan berkata: "Kamu berada dalam kebaikan."
Dan Tirmidhi meriwayatkan: "Ayat al-Tathir telah diriwayatkan di rumah Ummu Salamah. Apabila ayat ini diturunkan, Nabi SAWAW memanggil Fatimah, Hasan dan Husayn dan Ali dan menyelimutkan mereka dengan jubah dan bersabda: "Wahai Allah mereka adalah Ahlul Baitku maka bersihkanlah mereka daripada kekotoran dan sucikan mereka dengan sebersih-bersihnya."
Ummu Salamah berkata: "Dan adakah aku bersama mereka wahai Rasulullah? Beliau SAWAW berkata: "Kamu berada di dalam kebaikan."
Dan pandangan mereka ini disokong dengan hadith Nabi SAWAW. Ahmad bin Hanbal dan Abu Ya'la telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Nabi SAWAW telah bersabda pada Haji Wida': "Wahai manusia aku seakan dipanggil (oleh Allah) dan saatnya telah semakin hampir untukku menjawab panggilan, aku tinggalkan kepada kalian dua perkara berat (tsaqalain): Kitab Allah dan itrahku, Ahlul Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui
telah memberitahu kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan berpisah sehinggalah menemuiku di telaga. Maka perhatikan apa yang kalian lakukan kepada mereka selepas peninggalanku."[24]
Imam Ja'far al-Sadiq AS telah menggariskan sumber Syari'ah pada pandangan Imam-Imam Ahlul Bait AS sebagai berikut: "Sura bin Kulaib berkata: "Aku bertanya kepada Abu Abdullah dengan apakah Imam memberikan fatwa? Dia menjawab: "Dengan Kitab Allah." Aku berkata, "jika tidak ada dalam Kitab Allah? Dia berkata: "Dengan Sunnah." Aku mengulangi soalan tersebut dua atau tiga kali dan dia berkata, "tetapi kamu berfikir tidak sedemikian." [25]
Dan telah diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir AS bahawa dia berkata kepada Jabir, salah seorang sahabat Nabi SAWAW: "Wahai Jabir, jika dikatakan kami memberikan fatwa kepada orang ramai dengan pendapat kami sendiri demi kepentingan diri sendiri, maka kami akan menjadi salah satu daripada golongan yang sesat, tetapi kami memberikan fatwa dengan Sunnah Rasulullah SAWAW dan asas ilmu pengetahuan kami adalah kami warisi daripadanya.
Kami menyimpannya seperti mana orang menyimpan emas dan perak." [26]
Lantaran itu, daripada perbincangan ini, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa apa yang datang daripada para Imam AS tidak bercanggah dengan Kitab Allah. Malahan ia adalah penjelasan kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Justeru, ia menjadi asas kepada Syari'ah dan merupakan sumbernya yang penting.