PELAJARAN 14
Hadith-hadith Palsu
Tidak dapat dinafikanWahyu Allah SWT turut mengalami penyelewengan dan pemalsuan. Orang-orang Yahudi telah menyelewengkan Kitab Taurat manakala orang-orang Nasara telah menyelewengkan Kitab Injil. Walau bagaimanapun Kitab Suci al-Qur'an merupakan satu-satunya Kitab Suci yang Allah SWT memberikan jaminanNya perlindunganNya bebas daripada sebarang penyelewengan. Firman Allah SWT:
"Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Qur'an) dan bagi Kamilah yang memeliharanya (daripada penyelewengan)." (al-Hijr [15] :9)
"Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkan (di dadamu) dan (membuatmu) membacanya." (al-Qiyamah [75]: 17)
Sesungguhnya Ummah, sejak dari generasi ke satu generasi, telah bertungkus-lumus membaca, menghafal dan mempelajari dan menulis Kitab Agung ini. Malahan Allah SWT telah menjanjikan untuk melindungi dan memelihara Kitab al-Qur'an ini daripada sebarang penyelewengan tetapi hal ini berlainan pula dengan Sunnah Nabi SAWAW. Sunnah Nabi SAWAW merupakan penghuraian kepada pengertian-pengertian al-Qur'an dan ia merupakan sumber kedua dalam Syari'ah Islam. Hal ini disebabkan terdapat golongan pembuat hadith palsu yang mempuyai tujuan kebendaan dan politik telah memainkan peranan dengan memalsukan hadith-hadith sama ada dengan cara menambah bahagian-bahagian yang memberikan keuntungan kepada mereka atau membuang bahagian-bahagian yang bertentangan dengan kepentingan mereka.
Nabi SAWAW telah memberikan amarannya pada Haji Wida' tentang bahayanya perbuatan tersebut. Beliau SAWAW bersabda:
"Sesungguhnya orang-orang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu yang disandarkan kepadaku adalah ramai dan akan bertambah ramai sepeninggalanku, maka barang siapa yang menyandarkan sesuatu yang palsu kepadaku dengan sengaja, tempatnya adalah di neraka. Jika sebarang hadith datang kepadamu, bawakan ia kepada Kitab Allah dan Sunnahku. Sebarang hadith yang selaras dengan Kitab Allah dan Sunnahku, ambillah, dan apa sahaja yang bertentangan dengan Kitab Allah dan Sunnahku, tinggalkanlah." [27]
Pembohongan yang paling berbahaya sekali ialah memalsukan hadith, iaitu menciptakan hadith, menimbulkan pembohongan dan menyandarkannya kepada Nabi SAWAW dan Imam-Imam AS.
Shahid Thani telah mendefinisikan hadith palsu sebagai sesuatu yang dicipta dan diada-adakan; hadith yang paling berbahaya iaitu yang yang lemah, dan meriwayatkannya tidak dizinkan kecuali dengan tujuan untuk menunjukkan kelemahan hadith tersebut." [28]
Terdapat banyak kitab dan penghafal hadith telah menggariskan beribu-biru hadith sebagai Hadith maudhu', khususnya yang berkaitan dengan kelebihan-kelebihan sesetengah orang. Hal ini disebabkan faktor-faktor politik, lebih-lebih lagi pada zaman awal pemerintahan Bani Umaiyyah selepas tahun ke-40 Hijrah.
Factor lain yang membantu meningkatkan bilangan hadith-hadith palsu adalah perbuatan beberapa orang yang mendakwa diri mereka sebagai penyelamat Sunnah telah memalsukan hadith-hadith dengan tujuan supaya orang ramai mengikuti perbuatan tersebut.
Kita akan dapat memahami kepalsuan hadith-hadith tersebut jika kita meneliti bahawa Bukhari telah memilih judul kitabnya sebagai "Sahih" yang mengandungi empat ribu daripada enam ribu hadith. Ahmad bin Hanbal telah memilih Musnadnya daripada tujuh ratus lima puluh ribu hadith sebagaimana yang diterangkan di atas."[29]
Sayyid Murtadha dalam kitabnya "Ghurar wa Durar", Jilid I, hlm. 127 berkenaan golongan "Ghullat" dan apa yang mereka lakukan dalam hubungannya dengan hadith-hadith palsu, dia berkata:
"Diriwayat bahawa apabila Abdul Karim bin Abi Awja' ditangkap oleh Muhammad bin Sulaiman, gabenor Kufah pada zaman Khalifah Mansur, apabila dia hampir dibunuh, dia berkata: "Andainya kalian membunuhku pun, aku telah memasukkan 4,000 hadith-hadith palsu ke dalam hadith-hadith kalian."[30]
Malahan, fitnah yang paling besar dan berbahaya yang menimpa kepada umat Islam adalah hadith-hadith palsu yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan Imam-Imam AS. Hal ini disebabkan tanpa hadith-hadith palsu ini, kita tidak akan menemui perpecahan umat Islam di serata dunia.
Contoh-contoh Hadith-hadith Palsu
Salah satu daripada contoh Hadith palsu ialah, "Sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang di langit. Siapa sahaja yang kamu ikuti, kamu akan mendapat petunjuk", adalah merupakan hadith yang direka untuk membentuk satu pemikiran supaya mengikut Sunnah Sahabat.
Ulama dari kalangan Ilmu Hadith, di antaranya Ibn Qaim Jawziyyah telah menyatakan bahawa Hadith ini adalah hadith palsu[31].
Al-Dhazabi menyatakan Hadith ini adalah hadith yang lemah, dan selepas beliau menerangkan pendapat-pendapat ulama Rijal berkenaan kelemahan dan sifat perawi yang tidak tsiqah iaitu Ja'far bin Abdul Wahid Hashimi. Beliau berkata:
"Dan di antara fitnahnya ialah Hadith 'sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang di langit." [32]
Dan Ibn Taimiyyah berkata: "Para ulama Hadith berpendapat Hadith 'sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang di langit adalah hadith yang lemah lantaran itu tidak perlu ada hujah lain baginya."
Dan contoh laing hadith palsu ialah Hadith: "Aku memerintahkan kalian berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafa' Rasyidin, gigitlah kuat-kuat dengan gigi kalian" [33].
Dengan membuat kajian tentang sanad Hadith, akan jelas kepada kita bahawa Hadith ini adalah palsu dan bukanlah Hadith daripada Nabi SAWAW.
Ulama Rijal berkata: "Hadith ini diriwayatkan daripada Ali bin Hajr daripada Baqiyyah bin Walid daripada Jubair bin Sa'ad daripada Khalid bin Ma'adan daripada Abdul Rahman bin Amru Silmi daripada Hurbah bin Sariyyah, bahawa dia berkata: "Pada suatu hari Nabi SAWAW berkata kepada kami…..kemudian dia memetik Hadith yang disebutkan di atas.
Dengan mengkaji sanad Hadith, kita akan dapati Baqiyyah bin Khalid bukanlah orang yang tsiqah pada pandangan Ulama Rijal. Di sini kami akan menjelaskan apa yang dikatakan oleh ulama berkenaan dengan beliau: Ibn Ayyina diriwayatkan telah berkata: "Jangan kamu mendengar Baqiyyah. (Apa yang diriwayatkan daripadanya bukanlah Sunnah)."
Yahya bin Muin berkata tentang Baqiyyah bin Walid: "Jika dia meriwayatkannya daripada orang yang tsiqah seperti Safwan bin Umar dan lain-lain terimalah, tetapi jika meriwayatkan daripada orang-orang yang tidak kenali, janganlah kalian mengambilnya. Dan jika dia menggunakan nama panggilan tanpa menyatakan nama orang-orang itu, ia langsung tidak ada nilai…."
Dan Abu Mashar berkata: "Hadith Baqiyyah tidak asli. Layanlah ia dengan "Taqiyyah" [34].
Dan Ibn Hajr berkata: "Baihaqi berkata dalam Khilafiyat bahawa semua bersetuju bahawa Baqiyyah adalah orang yang tidak tsiqah" [35].
Berkenaan dengan Abdul Rahman bin Amru Silmi, Ibn Hajr berkata: "Fattan Fasi menyatakan bahawa dia orang yang tidak tsiqah kerana keadaan dirinya tidak diketahui" [36].
Pengumpulan Dan Pembukuan Hadith-hadith
Nabi SAWAW mempunyi beberapa lembaran tulisan yang dipanggil Kuttab al-Wahyi. Ia merupakan himpunan tulisan wahyu yang ditulisa di atas kulit haiwan, daun-daun kurma atau tulang-tulang dan sebagainya. Ia merupakan satu usaha untuk menghafal dan mengajarkannya kepada orang ramai oleh mereka yang menghafalnya daripada sahabat-sahabat Nabi SAWAW.
Tetapi berhubung dengan Hadith Nabi SAWAW, tidak ada orang tertentu yang menyusun dan menghimpunnya pada zaman Nabi SAWAW. Jika tidak sudah tentu ada riwayat yang menunjukkan Nabi SAWAW memerintahkan sahabat-sahabat menulis Hadith misalnya:
"Apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Hakim dan lain-lain daripada Abdullah bin Amru bin Aas: 'Aku berkata wahai Nabi Allah, bolehkan aku menuliskan apa yang aku dengar daripadamu?' Beliau SAWAW menjawab: 'Boleh.' Aku berkata: 'Dalam kemarahan atau ketika tenang?' Beliau SAWAW berkata: 'Boleh,' kerana apa yang aku katakana dalam kedua-dua keadaan itu adalah perkara yang benar"[37].
Abu Hurairah berkata: "Tidak ada seorang sahabat Nabi SAWAW yang meriwayatkan Hadith lebih daripadaku kecuali Abdullah bin Amru kerana dia sering menuliskannya sementara aku tidak. Ini telah diriwayatkan oleh Bukhari"[38].
Tirmidzi juga meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dia berkata: "Seorang lelaki Ansar sedang duduk dekat Nabi SAWAW, mendengar apa yang beliau SAWAW katakan tetapi dia tidak dapat mengingatinya. Kemudian dia mengadu kepada Nabi SAWAW, dan beliau berkata: "Bantulah dengan tangan kananmu dan tulislah [39]".
Dan juga diriwayatkan daripada Nabi SAWAW: "Peliharalah ilmu pengetahuan kalian dengan tulisan."[40]
Dan juga diriwayatkan daripada Rafi' bin Khadij bahawa: 'Aku berkata: "Wahai Nabi Allah, kami mendengar perkara-perkara daripada anda; bolehkah kami menulisnnya?" Beliau SAWAW menjawab: "Silakan. Kalian boleh menulisnya." [41]
Malahan semua ini menunjukkan keizinan Nabi SAWAW dalam hal menulis dan menghimpunkan Hadith. Ada beberapa Hadith lain yang menyeru orang ramai menghafal Hadith dan menyebarkannya di kalangan umat Islam.
Sebagai contoh, beliau SAWAW bersabda:
"Semoga Allah memberikan keberkatan kepada orang yang mendengar kata-kataku, mengingatnya, memahaminya dan memberitahu kepada orang lain apa yang dia dengar, penyebar ilmu pengetahuan tidak semestinya seorang berilmu dan barangkali seseorang akan menyebarkan ilmu kepada orang yang lebih berilmu." [42]
Dan:
"Barang siapa yang menghafal dan memelihara empat puluh hadith di kalangan umatku berkenaan dengan agam mereka dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah di akhirat nanti, Allah akan bangkitkannya pada Hari Pembalasan di kalangan ulama-ulama agama." [43]
Adalah jelas salah satu cara menghafal dan menyebarkan hadith ialah melalui tulisan, maka arahan supaya menghafal Hadith mengandungi maksud memberi keizinan ke arah keperluan untuk melakukan perkara tersebut. Malahan ia menjadi suatu kewajipan sekiranya jaminan keselamatan Sunnah bergantung kepadanya.
Sesungguhnya Nabi SAWAW yang suci telah menulis surat-surat kepada beberapa pemimpin negara dan juga raja-raja pada zamannya begitu juga perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh beliau SAWAW bagi pihak umat Islam masih lagi disimpan dan dipelihara dengan baik.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa beliau berkata:
"Apabila sakit Nabi SAWAW semakin bertambah keras, beliau SAWAW berkata: 'Bawakan aku kertas dan kalan untukku tuliskan sesuatu yang akan mengelakkan kalian daripada kesesatan daripada jalan yang betul selepasku', Umar berkata: 'Nabi sedang dalam keadaan sakit yang tenat. Kita ada Kitab Allah dan cukuplah bagi kita'. Mereka berselisih sesama mereka, dan apabila suara-suara mereka bertambah kuat, Nabi SAWAW berkata: 'Beredarlah kalian dari sisiku, tidak harus bagi kalian berbalah di sisiku.' Ibn Abbas berkata: 'Apakah malangnya melanda umat ini. Perselisihan di kalangan sahabat telah menghalang Nabi SAWAW daripada menuliskan sesuatu." [44]
Daripada kajian berhubung dengan percanggahan di antara Hadith, kita membuat rumusan bahawa pandangan Nabi SAWAW menyokong menghimpun dan menulis Hadith, kerana inilah apa yang dilakukan oleh sebahagian daripada sahabat misalnya Imam Ali AS dan puteranya Hasan AS, memahami daripada kata-kata Nabi SAWAW itu melakukannya. Diriwayatkan daripada Imam Ali AS berkata: "Jika kamu menulis Hadith, tulislah dengan rantaian perawi-perawi yang meriwayatkan Hadith-hadith tersebut." [46]
Walau bagaimanapun pendapat ini bukanlah pendapat mereka sahaja, malahan disokong oleh semu Imam-Imam Ahlul Bait AS dan golongan tabi'en dan generasi selepas Rasul SAWAW dan inilah pandangan ulama; lantaran itu mereka menulis dan menghimpun Hadith-hadith Nabi SAWAW. Jika tidak kerana kegiatan menghimpun dan menulis Hadith, Sunnah Nabi sudah tentu akan lenyap dan umat akan kehilangan perwarisan harta yang amat berharga ini.
Ibn Salah telah menggariskan hal ini dalam salah satu daripada kata-katanya: "Jika tidak kerana penulisan dan pengumpulan Hadith, ia pasti akan lenyap." [47]
Keadaan inilah yang menyebabkan Umar bin Abdul Aziz (RA) mengarahkan supaya Hadith-hadith dikumpulkan pada zaman pemerintahannya (99-101) Hijrah. [48]
Diriwayatkan pada zaman sahabat, bahawa Abu Bakr, Umar dan Uthman diikuti oleh khalifah Bani Umaiyyah, sehingga sejurus pada zaman Umar bin Abdul Aziz, telah melarang penulisan Hadith.
Contoh larangan ini kata-kata Abu Bakr selepas kewafatan Nabi SAWAW. Beliau berkata: "Kalian membawa Hadith-hadith Nabi yang kalian berelisih sesama kalian, dan orang ramai selepas kalian juga akan berselisih tentangnya lebih daripada apa yang kalian perselisihkan, justeru, janganlah kalian berkata sesuatu daripada Nabi SAWAW. Jika ada sesiapa yang bertanya kalian, katakan kepadanya di antara kami dan anda adalah Kitab Allah; ikutilah apa yang halal dan tinggalkan apa yang haram." [49]
Ibn Sa'ad telah menyebutkan dalam kitabnya 'Tabaqat' bahawa:
"Pada zaman Umar bin Khattab, bilangan hadith-hadith bertambah, maka beliau memanggil orang ramai membawakan hadith-hadith tersebut kepadanya. Apabila mereka datang, beliau mengarahkan hadith-hadith tersebut dibakar." [50]
Pada zaman Uthman bin Affan, dalah salah satu daripada khutbahnya beliau mengumumkan larangan penulisan dan periwayatan Hadith kecuali apa yang telah dikumpulkan pada zaman Abu Bakr dan Umar.
Dalam salah satu daripada khutbahnya, beliau berkata: "Tidak diizinkan kepada sesiapa menyampaikan sebarang Hadith yang tidak disampaikan pada zaman Abu Bakr dan Umar." [51]
Seterusnya, Muawiyah ketika beliau menjadi khalifah selepas perjanjian damai dengan Imam Hasan bin Ali AS mengambil peluang ini untuk mengharamkan penulisan Hadith demi untuk menyerang Imam Ali AS dan Ahlul Bait yang suci. Beliau mengisytiharkan larangan periwayatan Hadith-hadith yang menyebut tentang kelebihan-kelebihan Imam Ali AS.
Mada'ini dalam kitabnya 'Ahadath', memetik peristiwa berikut:
"Muawiyah menulis surat kepada gabenor-gabenornya bahawa beliau melarang sesiapa yang menulis tentang kelebihan-kelebihan Imam Ali (Abu Turab) dan keluarganya….."[52]
Maka dengan cara ini, Hadith-hadith Nabi SAWAW melalui zaman larangan dan akhirnya membawa kepada penyisipan Hadith-hadith palsu ke dalam Hadith-hadith Nabi SAWAW.
Bid'ah
Kita telah mengetahui dari segi bahasa dan istilah 'Sunnah', maka kini kita patut mengetahui makna perkataan bid'ah yang menjadi istilah yang sering digunakan oleh orang Islam.
Bid'ah dari segi bahasa bermaksud menokok-tambah kepada sesuatu, memulakan dan menciptakan. Bid'ah: ciptaan baru, apa yang ditokok-tambah dalam agama selepas ianya sempurna.[53]
Maka kita harus mengetahui maksud sebenar istilah Bid'ah. Bid'ah: "Adalah sesuatu ciptaan yang dimasukkan kepada agama yang tidak mempunyai asas dalam Qur'an dan Sunnah Nabi. Ia dipanggil Bid'ah kerana ia sesuatu yang ditokok-tambah….."[54]
Maka, bid'ah adalah sesuatu yang dibawa ke dalam agama yang tidak mempunyai asas sama sekali.
Malahan, Nabi SAWAW telah memberi amaran kepada sebarang bentuk bid'ah ke dalam agama dan dalam salah satu daripada khutbahnya, beliau SAWAW berkata: "Amma ba'd, sesungguhnya ucapan yang paling baik ialah Kitab Allah, dan petunjuk yang terbaik ialah petunjuk Muhammad, perkara yang paling buruk ialah bid'ah dan sebarang bid'ah adalah sesat." [55]
Oleh yang demikian dapatlah kita fahami bahawa Bid'ah adalah bertentangan dengan Sunnah, dan maksud Bid'ah ialah mencipta dan membawa masuk sesuatu ke dalam agama yang tidak mempunyai asas dalam Kitab Suci dan Sunnah Nabi dan menganggapnya sebagai sebagai sebahagian daripada ajaran agama dan Syari'ah.
Bid'ah adalah satu usaha untuk merosakkan agama Islam, dengan membawa masuk buah fikiran dan ideologi baru ke dalamnya dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam.
Adalah diketahui bahawa generasi yang lalu telah memasukkan perkara baru ke dalam agama mereka lalu merosakkannya; Kitab Suci al-Qur'an telah memberi amaran terhadap sebarang Bid'ah dalam bentuk moral dan ideologi seperti berikut:
"Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi mereka sendirilah yang mengada-adakannya untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang yang fasik." (al-Hadid [57]: 27)
Bagi memelihara kesucian Islam dan ideologinya daripada sebarang Bid'ah dan kerosakan, Islam telah mewajibkan ke atas semua umat Islam, secara umum dan kepada para ulama secara khusus supaya memerangi segala bentuk Bid'ah yang mengancam kesucian Islam, sama ada dalam bentuk fikiran atau dalam bentuk amalan dan tatasusila.
Kewajipan ini datang daripada Hadith-hadith Nabi SAWAW dan Imam-Imam yang suci AS. Telah diriwayatkan daripada Ahlul Bait AS bahawa: "Apabila sesuatu Bid'ah timbul di kalangan umatku, adalah menjadi kewajipan ke atas seorang Alim untuk mengisytiharkan ilmunya (tentang perkara tersebut). Dan sesiapa yang menolaknya, maka laknat Allah ke atasnya." [56]
Dalam hubungan ini, Amirul Mu'minin Imam Ali AS memberi amaran kepada orang ramai supaya menentang Bid'ah, katanya:
"Wahai manusia! Asas yang berlakunya keburukan adalah keinginan untuk menokok-tambah terhadap sesuatu yang telah diperintahkan dan jadilah segala perintah tersebut ditokok-tambah. Mereka sebenarnya bercanggah dengan Kitab Allah. Orang ramai saling tolong-menolong terhadapnya walaupun ianya bercanggah dengan agama Allah. Jika kebatilan tidak bercampur-aduk dengan kebenaran , ia tidak akan tersembunyi kepada orang yang mencarinya. Dan jika kebenaran adalah asli dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan, mereka yang membencinya akan mendiamkan diri. Namun, apa yang berlaku ialah sesuatu telah diambil dari sebelah sini dan sana dan kedua-duanya bercampur-aduk! Pada peringkat ini Syaitan menguasai sekutu-sekutunya." [57]
Diriwayatkan daripada Imam-Imam yang suci AS:
"Orang yang menghormati orang yang memasukkan dan menerima Bid'ah (dalam agama) telah sebenarnya berusaha untuk memusnahkan (agama) Islam." [58]
Dan diriwayatkan daripada Zurarah bahawa beliau berkata:
"Aku bertanya Ja'far al-Sadiq AS tentang halal dan haram, beliau menjawab: Apa yang dihalalkan oleh Muhammad kekal halal sehingga Hari Pembalasan, dan seperti itu juga apa yang diharamkan oleh beliau kekal haram sehingga Hari Pembalasan, tidak ada seorangpun yang melakukan sesuatu yang melebihi (sebagaimana wahyu Allah) atau seseorang datang (dengan perintah yang melebihi perintah Allah)."
Dan beliau berkata: Ali AS berkata:
"Tidak ada sesuatu yang baru dimasukkan ke dalam agama tanpa mengenepikan Sunnah."[60]
Selepas pengertian Bid'ah dan Sunnah jelas kepada kita, maka kita membuat kesimpulan bahawa jika seorang Muslim mencipta sesuatu yang baru, ini tidak dinamakan Bid'ah, yang bertentangan dengan Sunnah, ia tidaklah menjadi sesuatu perbuatan yang diharamkan kecuali ia memasukkan perbuatan tersebut ke dalam agama dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama, disamping perbuatan tersebut juga bercanggah dengan al-Qur'an dan Sunnah.
Sebagai contoh, Mawlud Nabi SAWAW bukanlah sesuatu Bid'ah dan haram, walaupun ia sesuatu yang amalan yang baru kerana Nabi SAWAW tidak melakukannya atau tidak juga menjadi amalan sahabat-sahabat Nabi SAWAW yang hidup bersama beliau SAWAW.
Dan juga perbuatan menghias al-Qu'ran dan masjid-masjid juga bukanlah perbuatan yang haram, walaupun Nabi SAWAW tidak pernah melakukannya. Justeru, tanggapan pengertian Bid'ah ialah memasukkan sesuatu ke dalam agama yang pada asalnya tidak wujud, dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama dan Syari'ah.