PELAJARAN 14
Hubungan Di antara Sunnah dan al-Qur'an
Terdapat hubungan yang rapat dari sudut undang-undang dan penafsiran di antara Sunnah Nabi dan Kitab Suci al-Qur'an, yang dapat dibuat kesimpulan seperti berikut:
1. Sunnah Nabi SAWAW menghuraikan perkara umum yang dinyatakan dalam al-Qur'an:
Terdapat beberapa ayat Qur'an yang menyatakan secara umum, justeru arahannya adalah umum kepada semua orang di bawah kaedah Sighat Umum, maka dalam hal ini Sunnah Nabi SAWAW bertanggungjawab menetapkan keadaan-keadaan atau syarat-syarat umum tersebut dan mengangkat beberapa orang di kalangan umat daripada tanggungjawab melaksanakan arahan umum tersebut disebabkan beberapa sebab yang dilihat oleh Nabi SAWAW melalui wahyu suci.
2. Sunnah Nabi SAWAW menghadkan perintah mutlak dalam al-Qur'an:
Pertama, kita harus mengetahui maksud mutlaq dan muqayyad (terkait) sebelum kita bercakap tentang tentang kesahihan Sunnah dalam hubungan membataskan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh al-Qur'an.
Justeru perintah mutlaq adalah adalah satu kenyataan yang bebas daripada syarat dan keadaan, seperti syarat masa, tempat dan kuantiti…dan sebagainya. Umpamanya kita berkata: berilah zakat kepada orang miskin. Di sini perkataan miskin digunakan dengan maksud yang mutlak tanpa sebarang had atau syarat; justeru arahan memberikan zakat kepada golongan miskin di sini ditujukan kepada semua orang miskin. Contoh lain seperti, "Pencuri sama ada lelaki dan perempuan hendaklah dipotong tangannya."(al-Maidah [5]: 38)
Dalam ayat ini tidak disebut kadar barang dicuri yang boleh menyebabkan pencuri dipotong tangan. Dalam hal ini Nabi SAWAW yang menjelaskan kadarnya.
Kenyataan yang bersifat terhad (terkait) kepada sesuatu perkara (Muqayyad) adalah kenyataan yang menetapkan sesuatu dengan syarat-syarat di dalam lingkungan Mutlaq. Seperti kata-kata: berikan zakat kepada seorang Mukmin yang miskin, maka perkataan Mukmin adalah had atau syarat kepada kata-kata orang miskin. Lantaran itu dengan syarat ini, arahan memberikan zakat itu ditujukan kepada orang miskin yang Mukmin sahaja.
Selepas definisi ini, kita akan memahami beberapa ayat-ayat Qur'an yang diturunkan secara umum manakala ayat-ayat yang lain diturunkan secara khusus dengan syarat-syarat tertentu.
Adalah jelas, pada pandangan ulama adalah jelas bahawa Sunnah mempunyai hak ke atas huraian tentang penetapan syarat-syarat yang terkandung dalam ayat Qur'an yang bersifat umum.
Di antara contoh-contoh ayat tersebut ialah firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Ulil Amri di kalangan kalian…" (an-Nisa [4]; 59)
Perkataan Ulil Amri dalam ayat ini diturunkan secara umum tanpa sebarang had tertentu. Sekali pandang dalam ayat ini, jelas mewajibkan ketaatan kepada pemimpin sama ada orang itu seorang yang adil atau zalim. Tetapi Nabi SAWAW bertanggungjawab menerangkan al-Qur'an, menghadkan ketaatan kepada seorang pemimpin yang taat kepada hukum-hukum Allah. Di riwayatkan bahawa beliau SAWAW bersabda:
"Ketaatan kepada setiap makhluk merendahkan Penciptanya." [61]
Malahan penetapan tertentu dalam Sunnah Nabi SAWAW hanyalah menghuraikan pelbagai maksud dalam ayat-ayat yang menyeru kepada keadilan, larangan kepada kezaliman, kejahatan dan keburukan.
3.Sunnah menerangkan perkara Mujmal dalam al-Qur'an:
Dalam Qur'an terdapat banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang peraturan-peraturan Syari'ah demikian juga ayat-ayat tentang ideologi yang diturunkan dalam bentuk Mujmal (perintah umum misalnya, "dirikanlah solat....") maka Nabi SAWAW mengambil tanggungjawab menerangkan kepada umatnya dalam bentuk dan kaedah yang berbeza, di antaranya ialah:
a. Penjelasan lisan: Kebanyakan ayat Qur'an yang 'mujmal' dijelaskan oleh Nabi SAWAW melalui kata-kata beliau SAWAW tentang pengertiannya kepada umat Islam.
b. Penjelasan bertulis: Nabi SAWAW sering menerima surat-surat daripada wakil-wakilnya dan pemimpin-pemimpin dunia pada waktu itu. Beliau turut menulis surat-surat perjanjian dengan pemimpin-pemimpin kabilah Arab pada masa itu. Di antara surat-surat perjanjian itu mengandungi penjelasan tentang ayat-ayat Qur'an yang bersifat 'mujmal'.
c. Penjelasan dalam bentuk perbuatan: Nabi SAWAW telah menerangkan tentang ayat-ayat mujmal ini melalui perbuatannya seperti solat, wudhuk, haji dan sebagainya, kerana arahan tentang ibadat ini dalam bentuk 'mujmal' dalam Kitab Allah tanpa sebarang penjelasan, umpamanya cara-cara mengerjakan solat, haji dan sebagainya. Walau bagaimanapun Nabi SAWAW mengambil tanggungjawab menjelaskan pengertian ibadat-ibadat ini secara praktikal.
Ulama telah menjelaskan bahawa perbuatan Nabi SAWAW tidak boleh menjadi huraian kecuali dalam dua cara:
1. Jika diketahui daripada niat dan tujuan beliau untuk menerangkan ayat 'mujmal' tersebut, umpamanya beliau SAWAW berkata: "Solatlah mengikut bagaimana aku bersolat."
2. Jika beliau SAWAW diketahui melakukan sesuatu dengan bertujuan untuk menerangkan ayat Qur'an Qur'an. Maka perbuatan beliau SAWAW akan menjadi penjelasan kepada ayat tersebut.
d. Penjelasan yang bersifat penunjuk: Kadang-kadang Nabi SAWAW akan menerangkan sesuatu 'mujmal' dengan 'Isharah', sebagaimana jelas dalam kata-katanya: "Satu bulan adalah seperti ini,dan seperti ini," menjelaskan dengan sepuluh jarinya, kemudian beliau SAWAW menutup jejarinya pada kali ketiga [62]. Dengan cara ini, beliau SAWAW menjelaskan bulan-bulan dalam system kiraan adalah dua puluh sembilan hari, sebagai tambahan kepada tiga puluh hari yang difahami ramai.
e. Pencegahan: Cara lain Nabi SAWAW menerangkan peraturan-peraturan dan undang-undang dalam al-Qur'an adalah dengan menjauhikan diri daripada melakukan perbuatan dengan sengaja yang berkemungkinan nanti akan di anggap wajib ke atasnya dan umatnya selepas beliau SAWAW melakukannya. Dari sini dibuat kesimpulan bahawa ia merupakan perkara umum. [64].
4. Sunnah Membatalkan al-Qur'an
Istilah "nasakh" diketahui umum di kalangan orang-orang Islam. Ia merupakan pembatalan perintah tentang perkara tertentu dan menggantikan dengan perkara lain mengikut kepentingan umat. Hal ini berlaku dalam al-Qur'an walaupun amat sedikit.
Terdapat di kalangan ulama Islam mengizinkan Sunnah menasakhkan ayat Qur'an sepertimana ayat Qur'an menasakhkan ayat Qur'an. Walau bagaimanapun ulama Islam berpendapat teori ini hanya sebagai teori sahaja dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Tidak ada ayat-ayat Qur'an yang dinasakhkan oleh Sunnah. Mereka membuat kesimpulan bahawa jika bukti diperolehi, ia tidak dapat diterima melainkan dengan bukti yang jelas melalui berbagai kaedah. Hal ini disebabkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh seseorang hanyalah kenyataan yang bersifat kemungkinan; tidak diizinkan untuk bergantung kepadanya untuk membuktikan berlakunya nasakh sebarang ayat-ayat Qur'an kerana ayat-ayat Qur'an adalah sesuatu kenyataan yang bersifat pasti (penuh diyakini) daripada Allah dan dengan ini sesuatu kemungkian tidak boleh memansuhkan sesuatu yang bersifat pasti (keyakinan).
Walau bagaimanapun, kita haruslah mengetahui bahawa ketetapan Sunnah menerangkan tentang ayat-ayat Qur'an berasas tiga prinsip asas:
1. Nabi SAWAW memahami firman Allah SWT, justeru beliau SAWAW mengetahui had-had tertentu yang terkandung dalam ayat-ayat yang bersifat mutlak atau muqayyad.
2. Penjelasan Sunnah terhadap al-Qur'an bergantung kepada asas wahyu sama ada secara ideologi dan syari'ah yang dihuraikan oleh Nabi SAWAW.
3. Penjelasan tentang had-had tertentu tentang ayat-ayat Qur'an berasaskan keputusan Nabi SAWAW sebagai 'Hakim al- Syari'ah.' Hal ini memberikan beliau SAWAW hak untuk menentukan batas tertentu dalam hukum yang terkandung dalam ayat tersebut. Walau bagaimanapun batas-batas tertentu ini berasaskan kepada keadaan yang menjadi latar kepada pembatasan itu.
Lantaran itu, batas-batas tertentu, kawalan dan penjelasan tentang ayat-ayat mujmal dalam al-Qur'an oleh Sunnah adalah berasaskan kepada asas dalam tindakan Nabi SAWAW sebagai pemimpin yang dilantik oleh Allah bagi umat Islam.
Kajian Ilmu Hadith
Kajian Ilmu hadith adalah satu kajian yang berkaitan dengan rantaian perawi hadith dan teks hadith untuk membezakan hadith sahih dan hadith palsu.
Sunnah Nabi SAWAW adalah rujukan kedua kepada sumber dan ajaran Syari'ah. Lantaran itu, semua orang Islam bertanggungjawab mengikuti semua perintah dan ajarannya walaupun ada batas zaman di antara zaman Nabi SAWAW dan genarasi yang mengikutinya, begitu juga kejadian-kejadian yang berlaku pada jangka masa itu yang menjadi batu penghalang di antara orang ramai dan Nabi SAWAW khasnya dalam mengambil hadith-hadith secara langsung daripada beliau SAWAW.
Orang ramai yang tidak mampu mengambil Sunnah secara langsung melainkan melalui riwayat beberapa orang. Dan kaedah menyampaikan hadith pada zaman Nabi SAWAW melalui dua cara:
1. Mengingati apa yang didengar, dilihat atau penegasan daripada beliau SAWAW secara langsung melalui lisannya SAWAW.
2. Penulisan dan pengumpulan hadith-hadith Nabi SAWAW, sama ada perbuatannya, penegasannya dan kemudian periwayatan kepada orang lain yang tidak menerimanya daripada beliau SAWAW secara langsung. Malahan kita tidak boleh berpendapat semua hadith yang sampai kepada kita adalah sahih, tetapi ada di antaranya yang sudah menerima perubahan dan pemalsuan.
Terdapat banyak pemalsuan hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW pada zaman hidupnya dan selepas wafatnya SAWAW. Para pemalsu hadith telah mempergunakan sunnahnya di mana mereka telah memasukkan unsur-unsur pembohongan dan mengaitkannya kepada Nabi SAWAW, merubah kata-katanya yang asal dan menukarkannya kepada perkara-perkara yang mereka sukai sesuai dengan pemikiran dan kepentingan mereka.
Tambahan pula terdapat kemungkinan masalah tidak mengingati terhadap sesuatu hadith (misalnya tidak mengingati sebahagian hadith dan hanya mengingati sebahagian sahaja daripada sesuatu hadith dan sebagainya), kemungkinan hadith-hadith hilang dan sebagainya menyebabkan ulama hadith menggariskan ilmu hadith untuk mengkaji para perawi dan isi kandungan hadith yang disampaikan, di samping dapat mengetahui kedudukan sesuatu hadith yang dikaitkan dengan Nabi SAWAW atau hal-hal yang berkaitan dengan kata-kata dan penegasan Nabi SAWAW tentang perbuatannya berkaitan dengan ibadah, sosial, kekeluargaan, keadilan, peperangan, politik, akhlak dan sebagainya.
Bagi mencapai tahap kesahihan sesuatu hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan Imam-imam yang suci AS sebagai sumber Syari'ah dan asas kepada daya pemikiran dan budaya masyarakat, ulama telah mengujudkan Kajian Ilmu Hadith yang mengandungi perkara-perkara berikut:
1. Ilm al-Rijal
2. Ilm al-Dirayah
Ilm al-Rijal adalah kajian tentang keadaan para perawi berhubung dengan kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadith (al-Jurh wal-Ta'adil), kemampuan daya ingatan mereka dan pengambilan hadith. Adakah perawi tidak diketahui (majhul)? Ia juga mengkaji mazhab dan pemikiran perawi dan pada ketika hidupnya supaya dapat diketahui kesahihan sesuatu hadith yang disampaikannya.
Lantaran itu, Ilm al-Rijal adalah satu kajian tentang rantaian isnad perawi-perawi yang meriwayatkan hadith. Walau bagaimanapun disiplin ilmu yang lain yang seiring dengan Ilm al-Rijal ialah Elm al-Tarajim, yang mengkaji tentang biografi ulama yang perawi-perawi hadith. Disiplin ilmu imi memberikan fakta tambahan kepada Ilm al-Rijal dengan menerangkan latar belakang tokoh-tokoh perawi, misalnya kecenderongan politik, begitu juga biografi dan fakta-fakta lain.
Tetapi, Ilm al-Dirayah adalah disiplin ilmu yang mengkaji tentang nas Hadith, misalnya mengkaji tentang pembahagian hadith, isi kandungan hadith (matan) dan darjah kesahihannya.
Al-Matan: Adalah isi kandungan Hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWA atau Imam AS. Justeru al-matan adalah lafaz Hadith yang mempunyai sesuatu makna. [65]
Maka Ilm al-Rijal dan Ilm al-Dirayah saling melengkapi untuk mencapai tujuan yang sama, yang mengkaji dengan sanad, dan matan Hadith, supaya dapat diketahui kesahihan atau kepalsuan sesuatu Hadith.
Kepentingan Ilm al-Rijal
Ilm al-Rijal: adalah satu kajian tentang perawi-perawi Hadith, peribadi mereka sama ada tsiqah (dipercayai), kemampuan ingatan, keadaan diri mereka, pemikiran, biografi dan sebagainya.
Malahan ulama telah membahaskan tentang kepentingan Ilm al-Rijal ini. Ada di kalangan ulama yang golongan yang dikenali sebagai Akhbariyyun percaya bahawa Ilm al-Rijal tidak diperlukan berasaskan fakta bahawa pengumpulan Hadith dalam beberapa kitab Hadith seperti al-Kafi oleh Kulaini, al-Tahdhib oleh al-Tusi, al-Istibsar dan Man laYahdhuruhu al-Faqih oleh al-Saduq adalah hadith-hadith Sahih kerana usaha yang dilakukan oleh para ulama yang telah mengumpulkannya. Maka tidaklah perlu untuk mengkajinya untuk kali kedua. Ataupun tidaklah perlu lagi untuk mengkaji sanad hadith yang dipakai oleh Fuqaha' disebabkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ulama al-mashhur. Sebagai contohnya adalah tanggapan sahih terhadap Kutub al-Sihah seperti Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain di mana ada di kalangan ulama berpendapat tidak semua hadith-hadith yang terkandung di dalamnya adalah sahih; ia mengandungi hadith-hadith sahih dan tidak sahih. Lantaran itu adalah menjadi kewajipan untuk mengkaji perawi-perawi hadith di samping matannya supaya dapat diketahui kedudukannya sama ada sahih atau tidak, dan tidak bergantung penyusun kitab-kitab Hadith tersebut.
Pendapat ini bergantung kepada asas kajian saintifik dan hujah-hujah lain yang menunjukkan kelemahan dan kurangnya keyakinan terhadap penyusun hadith, yang meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab-kitab hadith tetapi ada hujah lain menyatakan hadith-hadith tersebut terdapat pula dalam kitab-kitab Hadith yang dikatakan sahih.
Fuqaha Sayyid Abul Qasim Khui berkata: "Sebahagian ulama Hadith berpendapat periwayatan hadith-hadith dalam Kutubul Arba'ah adalah sahih tetapi tanggapan ini adalah salah kerana hal ini tidak mungkin kerana terdapat kalangan orang-orang yang terkenal pembohong dan riwayat-riwayat tersebut disampaikan oleh seseorang kepada orang yang lain....."[66]
Oleh yang demikian, asas-asas demikian dipakai juga kepada Kutub al-Sihah seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi.
Syarat-syarat Perawi Yang Diterima Periwayatan Mereka
Ulama Hadith telah menggariskan beberapa syarat berhubung dengan perawi hadith yang diterima riwayat-riwayat mereka:
1. Bulugh (akil baligh). Ulama Hadith dan Usul al-Fiqh telah menetapkan syarat-syarat penerimaan terhadap seorang perawi hadith bahawa beliau hendaklah mencapai baligh. Justeru, riwayat seorang kanak-kanak tidak dapat diterima.
2. Berakal : Perawi hendaklah berakal iaitu tidak gila. Justeru periwayatan hadith dari seorang gila tidak dapat diterima.
3. Syarat lain ialah perawi hendaklah bersifat Adalah (adil) iaitu bebas daripada [fasiq] perangai yang tidak bertentangan dengan kehendak Islam . Allah SWT berfirman:"Wahai orang-orang beriman, jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa berita, maka siasatlah dulu supaya ia tidak membawa akibat buruk kepada sesuatu kaum disebabkan kejahilan kalian....."(al-Hujurat [49]: 6)
Syeikh al-Tusi dan juga Abu Hanifah menyatakan bahawa setiap Muslim adalah 'adil' melainkan sifat kefasiqannya adalah jelas [67].
4. Perawi hendaklah tidak mempunyai sifat yang bertentangan dengan kemuliaannya.
5. Perawi hendaklah mempunyai kemampuan mengingati apa yang diriwayatkannya kerana hal ini akan menjamin Hadith daripada sebarang kesalahan, tokok-tambah, penyelewengan, penipuan dan sebagainya. Dan dia juga hendaklah mengetahui maksud Hadith yang diriwayatkannya dan mempunyai kemampuan untuk meriwayatkan Hadith secara lengkap tanpa sebarang kesalahan.
6. Perawi hendaklah seorang yang tsiqah (dipercayai) dalam periwayatannya, maka ulama menerima hadith-hadith yang diriwayatkannya tanpa mengira latar belakangnya dari segi mazhab, ideologi asalkan dia seorang yang tsiqah dan jujur.
Jurh Dan Ta'adil
Jurh bermaksud wujud sifat-sifat pada perawi yang membinasakan keadilannya seperti pembohongan, penyelewengan, penipuan dan sebagainya yang menyebabkan riwayatnya ditolak.
Dan Ta'adil bermaksud keadaan perawi yang bersifat adil yang menyebabkan riwayatnya diterima. .
Oleh itu ilmu "jurh wal ta'adil" merupakan perkara yang amat penting dalam Ilm al-Rijal kerana matlamat utama seorang pengkaji dalam Ilm al-Rijal adalah mengesahkan kejujuran atau sebaliknya terhadap seorang perawi sama ada riwayatnya diterima atau ditolak.
Kaedah Mengenal pasti Jurh dan Ta'adil
Kaedah untuk mengenalpasti jurh dan Ta'adil tentang seorang perawi ialah dengan meletakkan kedua-dua keadah itu bersama-sama kerana mengenalpasti Jurh dan Ta'adil adalah mengenal pasti keadaan seseorang perawi itu. Oleh yang demikian seorang saksi seorang perawi adalah seorang yang mengetahui sesuatu melalui deria rasa seperti pendengaran dan penglihatan.
Maka tidak ada seseorang pun yang dapat bersaksi dan memastikan "jurh" seorang perawi atau "adalah (keadilan)" seseorang perawi kecuali beliau hidup bersama-sama dengannya dan mengetahui keadaan dirinya dan kelakuannya. Kemudian, dia boleh mengenalpasti kelakuannya sama ada seorang yang fasiq atau adil dan jujur dan ketidakmampuannya meriwayatkan Hadith... dan sebagainya.
Seterusnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada seorang saksi untuk menyatakan jurh dan Ta'adil seorang perawi kepada orang-orang lain. Tetapi, keadaan saksi-saksi itu juga hendaklah seorang yang jujur dan tsiqah supaya pengakuan mereka tentang jurh dan Ta'adil dapat diterima. Maka berasaskan dengan prinsip ini, kita dapat beranggapan bahawa kata-kata ulama seperti Allamah dan Ibn Tawus...dan sebagainya tidak boleh dianggap sebagai saksi kepada jurh dan Ta'adil seorang perawi, tetapi ia hanyalah kajian sainfitik dan kesaksian tentang kepakaran dalam bidang ini sahaja, yang mampu membuat penilaian dan hujah-hujah. Tetapi bertentangan dengan kesaksian seorang yang adil yang hidup bersamanya, maka adalah wajib menerima kesaksiannya kecuali jika beliau melakukan kesalahan dalam mengaitkan kesaksiannya dan hal itu tampak nyata.
Sebagai tambahan, ulama Hadith dan Usul al-Fiqh berkata kesaksian tentang keadilan seorang perawi dapat diterima walaupun tanpa menyatakan secara terperinci. Tetapi kesaksian tentang kekurangan atau kelemahan seorang perawi melalui kaedah jurh tidak dapat diterima tanpa menyatakan secara terperinci alasan-alasan disebalik kesaksian itu. Ini disebabkan perbezaan pendapat tentang makna jurh di kalangan orang ramai. Terdapat di kalangan orang yang beranggapan satu perbuatan adalah fasiq, sedangkan pada ketika lain satu kumpulan orang tidak melihatnya. Oleh yang demikian, adalah penting untuk menyatakan alasan disebalik kesaksian jurh supaya kita dapat mengetahui kesahihan jurh atau disebaliknya. Kecuali jika seorang yang membuat kesaksian tentang sifat fasiq atau sifat adil seorang perawi dan orang yang akan membuat penilaian mempunyai pendapat yang sama tentang makna jurh dan 'adalah', maka dalam contoh itu, kesaksian tanpa penjelasan yang terperinci adalah memadai.
Berdasarkan dalil ini, ulama berpendapat adalah penting mengkaji peribadi seorang perawi jika alasan di sebalik sifat nifaqnya tidak disertakan dalam kesaksian.
Perbezaan Pendapat Di kalangan Ulama Berkenaan Kesahihan Kenyataan Seseorang Perawi
Berikut dijelaskan:
1. Di kalangan ulama berpendapat bahawa riwayat satu orang akan dianggap sebagai hujah kepada jurh seorang perawi atau sifat adilnya. Berdasarkan kepada kepada hujah mereka, riwayat seorang perawi (Khabar al-Ahad) adalah menjadi hujah dalam Syari'ah, maka ia akan menjadi hujah untuk mengetahui perkara tersebut. Maka melalui ini, kita dapat menerima kesaksian hujjiyahnya. (Ini adalah pendapat terkemuka di antara ulama-ulama).
2. Sebilangan ulama menetapkan sebagai syarat sekurang-kurangnya ada dua orang ulama al-Rijal membuat kesaksian sebelum jurh dan Ta'adil seorang perawi diterima. Mereka mengemukakan pandangan berasaskan kenyataan bahawa mengenalpasti jurh dan 'adalah' seorang perawi adalah dengan cara menyaksikan, dan kesaksian dua orang (atau lebih) adalah syarat penerimaan seorang saksi.
3. Kenyataan satu orang berhubung dengan jurh dan Ta'adil seorang perawi akan menyakinkan kita tentang perkara tersebut. Maka mendapatkan kepastian dan keyakinan tentang sesuatu adalah satu dalil yang hendaklah dikekalkan.
4. Segolongan ulama berpandangan kita terpaksa menerima riwayat dari seorang perawi walaupun ia menampakkan keraguan disebabkan halangan-halangan yang tidak membolehkan kita mengetahui keadaan perawi-perawi di samping kekurangan tanda-tanda penting untuk mengetahui dan mengenalpasti perawi-perawi. Ini berasaskan formula hujjiyah keraguan pada ketika wujudnya halangan-halangan untuk mengetahui keadaan perawi-perawi atau tidak cukup Imarah untuk mengenalpastinya.
Pengistilahan Menunjukkan Jurh dan Ta'adil
Bagi menghuraikan proses penilaian terhadap seseorang perawi secara tepat, ulama telah menggariskan beberapa istilah yang menunjukkan jurh dan Ta'adil. Shahid Thani berkata: "Perkataan Ta'adil adalah: Adl (adil), thiqah (boleh dipercayai), hujjah , Hadith Sahih dan apa yang membawa kepada pengertiannya.'[69]
Maka jika ulama menjalankan kajian tentang peribadi seorang perawi dan mendapati beliau mempunyai sifat-sifat yang disebutkan di atas atau apa yang membawa kepada maknanya, ini bermakna mengenalpasti tentang sifat adilnya, tsiqahnya terhadap periwayatan Hadith. Tetapi istilah-istilah yang digunakan oleh ulama al-Rijal untuk menunjukkan kelemahan dan ketidakpercayaan tentang seorang perawi dipanggil istilah jurh, ia adalah: "Daif, Kazhab (bohong), wadhdha (pemalsu) Ghali (golongan sesat) dan lain-lain lagi [70].
Lantaran itu jika ulama al-Rijal meletakkan salah satu daripada ciri-ciri tersebut atau apa yang membawa kepada maknanya, ini bermakna perawi itu tidak boleh dipercayai dn tidak berkemampuan untuk meriwayatkan sebarang Hadith Nabi SAWAW.
Cara-cara Meriwayatkan Sesuatu Riwayat (Hadith)
Kita sudah mengetahui bahawa tentang kesahihan sanad Hadith adalah keseluruhan rantaian perawi-perawi sesuatu Hadith tersebut daripada perawi pertama hinggalah terakhir. Dan terdapat berbagai cara pengumpulan Hadith oleh perawi-perawi dan kemudian meriwayatkannya kepada orang lain. Dalam kitab Diraayah oleh Shahid Thani telah menggariskan beberapa cara mengumpulkan Hadith dan meriwayatkannya, iaitu:
1. Mendengar daripada kata-kata seorang Sheikh (perawi): Iaitu mendengar Hadith secara langsung dari seorang Syeikh (perawi Hadith). Oleh itu seorang yang menyampaikan Hadith akan menggunakan ayat-ayat yang menunjukkan beliau meriwayatkan Hadith iaitu dengan cara mendengarnya daripada seorang Syeikh: sebagai contoh, aku mendengar sipolan dan sipolan berkata atau sipolan dan sipolan memberitahu kepadaku atau sipolan dan sipolan meriwayatkan kepadaku. Dengan cara ini periwayatan sebuah Hadith adalah melalui pendengaran secara langsung daripada seorang Syeikh, kerana terdapat hubungan yang kuat di antara pengetahuan tentang cara-cara dan kaedah memperolehi Hadith dan darjah kesahihannya. Oleh yang demikian ulama beranggapan kaedah ini adalah yang terbaik untuk memastikan kesahihan sesuatu Hadith.
2. Melalui kitab daripada Syeikh (perawi): Kaedah lain meriwayatkan hadith ialah dengan memperolehi hadith daripada kitab atau menghafal daripada sumber lain oleh orang yang lebih mengambil perhatian kepada hafalan Hadith dan kemudian membaca hafalannya di hadapan seorang ahli Hadith, dan kemudian ahli Hadith tersebut mengesahkan kesahihannya. Melalui kesaksian ini, kesahihan Hadith dapat disahkan, dalam keadaan itu penyampai Hadith tersebut akan berkata: "Aku telah membacakannya kepada sipolan dan sipolan atau ia telah dibacakan dihadapan Syeikh tersebut pada ketika aku berada di tempat itu dan beliau telah mengesahkannya."[71]
3. Melalui keizinan: Sheikh hadith tersebut memberikan izin kepada sipolan untuk meriwayatkan sesuatu Hadith daripada sebuah kitab dan menyampaikannya kepada orang-orang lain, atau menyampaikan apa yang dia dengar kepada orang ramai. Sebagai contoh, Syeikh akan berkata kepada perawi: "Aku mengizinkan anda menyampaikan hadith-hadith daripada kitab-kitab yang berkenaan....atau aku mengizinkan anda menyampaikan Hadith yang anda dengar......"[72]
4. Munawalah: Nota atau kitab yang diberikan oleh Syeikh kepada salah seorang muridnya, dan berkata: "Inilah yang aku dengar daripada sipolan dan sipolan, lantaran itu sampaikanlah ia bagi pihakku atau aku mengizinkan anda meriwayatkannya bagi pihakku."[73]. Maka, ia dizinkan kepada murid itu untuk menyampaikan apa yang terkandung dalam kitab tersebut bagi pihak Sheikh tersebut.
5. Kitabah (Tulisan): Kaedah lain mendapatkan Hadith daripada seorang Syeikh ialah melalui tulisan. Syeikh menulis satu riwayat Hadith kepada seseorang yang datang berjumpa dengannya atau yang datang dari jauh daripadanya dan kemudian mengizinkan orang itu meriwayatkan Hadith tersebut kepada orang lain. Oleh itu Syeikh telah memberikan keizinan kepada orang itu menyampaikan apa yang dituliskan untuknya. Jumhur ulama berpendapat sahih periwayatan yang dituliskan sendiri oleh Syeikh Hadith tersebut, walaupun keizinan tidak disertakan dalam tulisan itu, kerana tulisan itu sendiri adalah satu keizinan kepada periwayatan Hadith. Ia umpama kesahihan menyampaikan fatwa oleh seorang Mufti [74], walaupun jika keizinan tidak disertakan dalam tulisan tersebut.
6. E'ilam (pemberitahuan) [75]: Kaedah lain menyampaikan Hadith ialah melalui pemberitahuan, misalnya pemberitahuan oleh Syeikh kepada anak muridnya bahawa kitabnya mengandungi riwayat-riwayat Hadith atau Hadith ini adalah dari riwayat yang disampaikannya atau apa yang dia dengar, tetapi tanpa keizinan kata-kata: "Sampaikanlah bagi pihakku atau aku izinkan kamu meriwayatkannya." Sebilangan ulama mengizinkan periwayatan Hadith dengan kaedah ini, sedangkan yang lain-lain tidak mengizinkannya.
7. Wajadah: Adalah satu keadaan di mana seseorang menemui tulisan Hadith yang ditulis oleh seseorang yang lain tetapi dia tidak mendapatkannya daripada penulis Hadith tersebut, dan tidak mendengar daripadanya atau mendapat izin daripadanya untuk meriwayatkan Hadith kepada orang lain. Dalam keadaan ini, maka pengesahan tentang kitab tersebut kepada penulisnya hendaklah dikenalpasti bagi memastikan kesahihan periwayatan Hadith tersebut. Inilah di antara perkara-perkara asas penting kaedah menyampaikan Hadith secara langsung. Walau bagaimanapun, kita patut mengetahui bahawa riwayat-riwayat Hadith yang sampai kepada kita melalui keadah-kaedah tersebut. Tetapi selepas ilmu pengetahuan berkembang, dan pengumpulan Hadith dalam koleksi kitab-kitab seperti al-Kafi, Bukhari dan lain-lain, maka semua kitab tersebut menjadi sumber langsung kepada kita bagi mendapatkan Hadith-hadith tanpa perlu kepada menghimpunkan Hadith-hadith daripada Sheikh-sheikh Hadith dan mendapatkan izin daripada mereka dan sebagainya.