KHULAFA'RASYIDIN DIANTARA NAS DAN IJTIHAD

sambungan BAB II....
53. Khalifah Umar berhasrat untuk melantik Salim hamba Abu Huzaifah menjadi khalifah sekiranya ia masih hidup. Oleh itu kata-katanya adalah bertentangan dengan kata-katanya yang menyokong Abu Bakar di Saqifah. Para imam mestilah daripada Quraisy kerana Salim adalah seorang hamba dan dia bukanlah daripada Quraisy.[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm. 19]

54. Khalifah Umar menghukum rejam ke atas wanita yang mengandung selama enam bulan kemudian melahirkan anak.Lalu Ali AS membantahnya dan membacakan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf (46):15:"Ibunya mengandungkannya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan" dan firmanNya di dalam Surah Luqman (31):14:"Penyusuannya selama dua tahun."

Oleh itu "mengandung" sekurang-kurangnya ialah enam bulan dan penyusuannya ialah selama dua tahun.Kemudian Umar menarik balik hukumannya dan berkata:"Sekiranya tidak ada Ali, nescaya binasalah Umar."[al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, I, hlm. 288; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, III, hlm. 96;al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba, hlm. 82, dan lain-lain]

55. Khalifah Umar telah mengenakan hukum had ke atas Ja'dah dari Bani Sulaim tanpa saksi yang mencukupi. Dia memadai dengan sepucuk surat yang mengandungi syair mengenai perzinaannya yang dihantar oleh Buraid.[Ibn Sa'd, Tabaqat, III, hlm. 205]Lantaran itu ijtihadnya adalah bertentangan dengan al- Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAWA yang memerlukan empat orang saksi atau pengakuan secara sukarela.

56. Khalifah Umar telah lari di dalam peperangan Uhud, Hunain, dan Khaibar.[al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 46; al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm.37; al-Dhahabi, al- Talkhis, III, hlm. 37 dan lain-lain]

57. Khalifah Umar telah mengambil separuh dari harta kekayaan gabenorgabenornya kerana dia mengesyaki mereka melakukan pecah amanah terhadap Baitul Mal. Persoalan yang timbul, sekiranya harta tersebut adalah hasil dari kecurian dari Baitul Mal, maka ianya wajib dikembalikan kesemuanya, dan bukan dengan cara membahagi dua. Dan mereka pula wajib dipecat daripada jawatan tersebut kerana mereka telah melakukan pecah amanah. Tetapi khalifah Umar tidak memecat kesemua mereka. Dan sekiranya harta tersebut diusahakan oleh mereka melalui jalan yang halal seperti perniagaan atau seumpamanya, maka dia tidak harus mengambil daripada mereka. Kerana tidak halal mengambil harta seorang Muslim melainkan dengan keredhaannya. Malah dia telah mengambilnya daripada mereka secara paksaan.[Ibn Abil Hadid, Syarh Nahj al- Balaghah, III, hlm. 163]

58. Khalifah Umar telah memaafkan gabenornya Muawiyah di Syam dari membahagi dua hartanya. Sedangkan Muawiyah dikenali sebagai seorang yang mengambil harta Baitul Mal Muslimin. Tetapi sebaliknya mempertahankan kedudukannya dengan mengatakan bahawa dia adalah kisra Arab. Sedangkan Nabi SAWA telah memarahinya dan bapanya. Sepatutnya dia tidak melantiknya sebagai gabenor di Syam kerana orang lain lebih layak daripadanya.[al-Tabari, Tarikh, XI, hlm. 357]

59. Khalifah Umar telah memerintahkan rejam wantia yang sedang hamil kerana melakukan zina. Ali AS membantahnya dan berkata:"Sekiranya anda mempunyai kuasa ke atasnya tetapi anda tidak mempunyai kuasa ke atas janinnya."Kemudian Umar berkata:"Setiap orang adalah lebih alim daripadaku."[al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba, hlm. 81]

60. Khalifah Umar telah menjalankan hukum had ke atas Abdul Rahman pada kali kedua kerana meminum arak. Sebenarnya Umru bin al-'As telah menjalankan hukum had keatasnya di Mesir dan disaksikan oleh anaknya, Abdullah bin Umar. Tetapi khalifah Umar tidak mengindahkannya. Kemudian dia memukulnya pada kali kedua:"Abdul Rahman melaung meminta tolong sambil berkata:"Aku sedang sakit, demi Tuhan, anda (Umar) adalah pembunuhku." Dan selepas dia menjalankan had keatasnya dia menahannya pula selama sebulan, kemudian dia meninggal dunia. Sepatutnya dia tidak mengenakan had keatasnya pada kali kedua dan menunggu sehingga dia sembuh dari sakitnya serta tidak menahannya pula.[Ibn Abd Rabbih, al-Aqd al-Farid, III, hlm. 470; al- Khatib, Tarikh Baghdad, VI, hlm. 450; Ibn Abil Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, III, hlm. 127]

61. Khalifah Umar kurang mengetahui ilmu faraidh. Dia berkata:"Sesiapa yang ingin bertanya tentang ilmu faraidh, maka hendaklah dia bertanya kepada Zaid bin Tsabit. Dan sesiapa yang ingin harta, hendaklah dia memohon kepadaku kerana aku adalah penjaganya."[al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 271; Abu Ubaid, Kitab al-Amwal, hlm. 223]

62. Khalifah Umar adalah orang yang pertama mengharamkan nikah mut'ah.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 137] Kenyataan al-Suyuti bererti:
a) Nikah mut'ah adalah halal menurut Islam.
b) Khalifah Umarlah yang mengharamkan nikah mut'ah yang telah dihalalkan pada masa Rasulullah SAWA, khalifah Abu Bakar dan pada masa permulaan zaman khalifah Umar.
c) Umar mempunyai kuasa veto yang boleh memansuhkan atau membatalkan hukum nikah mut'ah sekalipun ianya halal di sisi Allah dan RasulNya. Al-Suyuti seorang Mujaddid Ahlil Sunnah abad ke-6 Hijrah mempercayai bahawa nikah mut'ah adalah halal, kerana pengharamannya adalah dilakukan oleh Umar dan bukan oleh Allah dan RasulNya.Kenyataan al-Suyuti adalah berdasarkan kepada al-Qur'an dan kata-kata Umar sendiri.

Sebenarnya para ulama Ahlul Sunnah sendiri telah mencatat bahawa Umarlah yang telah mengharamkan nikah mut'ah seperti berikut:

a) Al-Baihaqi di dalam al-Sunan, V, hlm. 206, meriwayatkan kata-kata Umar,"Dua mut'ah yang dilakukan pada masa Rasulullah SAWA tetapi aku melarang keduaduanya dan aku akan mengenakan hukuman ke atasnya, iaitu mut'ah perempuan dan mut'ah haji.

b) Al-Raghib di dalam al-Mahadarat, II, hlm. 94 meriwayatkan bahwa Yahya bin Aktam berkata kepada seorang syaikh di Basrah:"Siapakah orang yang anda ikuti tentang harusnya nikah mut'ah."Dia menjawab:"Umar al-Khatab."Dia bertanya lagi,"Bagaimana sedangkan Umarlah orang yang melarangnya."Dia menjawab:"Mengikut riwayat yang sahih bahawa dia menaiki mimbar masjid dan berkata:Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah menghalalkan untuk kalian dua mut'ah tetapi aku aku mengharamkan kedua-duanya (mut'ah perempuan dan mut'ah haji). Maka kami menerima kesaksiannya tetapi kami tidak menerima pengharamannya."

c) Daripada Jabir bin Abdullah, dia berkata:"Kami telah melakukan nikah mut'ah dengan segenggam kurma dan gandum selama beberapa hari pada masa Rasulullah dan Abu Bakar sehingga Umar melarang dan mengharamkannya dalam kes Umru bin Harith.[Muslim, Sahih, I, hlm. 395; Ibn Hajar, Fatih al-Bari, IX, hlm.41; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VIII, hlm. 294]

d) Daripada Urwah bin al-Zubair,"Sesungguhnya Khaulah bt. Hakim berjumpa Umar al-Khattab dan berkata:"Sesungguhnya Rabiah bin Umaiyyah telah melakukan nikah mut'ah dengan seorang perempuan, kemudian perempuan itu mengandung, maka Umar keluar dengan marah dan berkata:"Sekiranya aku telah memberitahukan kalian mengenainya awal-awal lagi nescaya aku merejamnya."Isnad hadith ini adalah tsiqah, dikeluarkan oleh Malik di dalam al-Muwatta', II, hlm. 30;al-Syafi'i, al-Umm, VII, hlm. 219;al-Baihaqi, al-Sunan al- Kubra, VII, hlm. 206]

e) Kata-kata Ali AS,"Sekiranya Umar tidak melarang nikah mut'ah nescaya tidak seorang pun berzina melainkan orang yang celaka."[al-Tabari, Tafsir, V, hlm. 9; Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, III, hlm.200; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, II, hlm. 140]
Kata-kata Ali AS ini menolak dakwaan orang yang mengatakan bahawa Ali telah melarang nikah mut'ah kerana beliau tidak memansuhkan ayat di dalam Surah al-Nisa' (4):24.

f) Daripada Ibn Juraij, daripada 'Ata' dia berkata:"Aku mendengar Ibn Abbas berkata:Semoga Allah merahmati Umar, mut'ah adalah rahmat Tuhan kepada umat Muhammad dan jika ia tidak dilarang (oleh Umar) nescaya seorang itu tidak perlu berzina melainkan orang yang celaka."[al-Jassas, al-Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 179; al-Zamakhshari, al-Fa'iq, I, hlm. 331;al-Qurtubi, Tafsir, V, hlm. 130]

Riwayat Ibn Abbas tersebut menafikan dakwaan orang yang mengatakan Ibn Abbas telah menarik balik kata-katanya mengenai mut'ah. Walau bagaimanapun halalnya mut'ah tidak berpandu kepada pendapat Ibn Abbas tetapi berpandu kepada Surah al-Nisa (4): 24 yang tidak dimansuhkan. Di sini disebutkan nama-nama sahabat dan tabi'in yang telah mengamalkan nikah mut'ah atau mempercayai ia halal seperti berikut:
1.Umran b.al-Hasin.
2. Jabir b. Abdullah.
3. Abdullah b. Mas'ud.
4. Abdullah b. Umar.
5. Muawiyah b. Abi Sufyan.
6. Abu Said al-Khudri.
7. Salman b. Umaiyyah b, Khalf
8. Ma'bad b. Umaiyyah.
9. al-Zubair bin al-Awwam yang mengahwini Asma' bt khalifah Abu Bakar secara mut'ah selama tiga tahun dan melahirkan dua orang anak lelaki bernama Abdullah da Urwah.
10. Khalid b. Muhajir.
11. Umru b. Harith.
12. Ubayy b. Ka'ab.
13. Rabi'ah b. Umaiyyah.
14. Said b. Jubair.
15. Tawwus al-Yamani.
16. 'Ata' Abu Muhammad al-Madani.
17. al-Sudi.
18. Mujahid.
19. Zufar b. Aus al-Madani.
20. Ibn Juraij.
21. Ali bin Abi Talib.
22. Umar b. al-Khattab sebelum dia mengharamkannya dan diakui oleh anaknya Abdullah bin Umar.

Nama-nama tersebut adalah diambil dari buku-buku Hadith Ahlul Sunnah dan lain-lain di mana saya tidak memberi rujukan lengkap kerana kesempitan ruang, lihatlah umpamanya buku-buku sahih bab nikah mut'ah dan lain-lain. Di sini diperturunkan pendapat-pendapat Ahlul Sunnah yang mengatakan nikah mut'ah telah dimansuhkan, kemudian, diharuskan, kemudian dimansuhkan, kemudian diharuskan kembali. Ia mempunyai 15 pendapat yang berbeza-beza seperti berikut:

1. Nikah mut'ah diharuskan pada permulaan Islam, kemudian Rasulullah SAWA menegahnya di dalam Peperangan Khaibar.
2. Ia boleh dilakukan ketika darurat di masa-masa tertentu kemudian diharamkan pada akhir tahun Haji Wida'.
3. Ia diharuskan selama 3 harisahaja.
4. Diharuskan pada tahun al-Autas kemudian diharamkan.
5. Diharuskan pada Haji Wida' kemudian ditegah semula.
6. Diharuskan, kemudian diharamkan pada masa pembukaan Mekah.
7. Ia harus, kemudiannya ditegah dalam Perang Tabuk.
8. Diharuskan pada pembukaan Mekah dan diharamkan pada hari itu juga.
9. Ia dihalalkan pada Umrah al-Qadha'.
10. Ia tidak pernah diharuskan di dalam Islam. Pendapat ini bertentangan dengan al-Qur'an, Sunnah Nabi SAWA, Ahlul Baytnya dan sahabat-sahabat.
11. Ia diharuskan kemudian dilarang pada Perang Khaibar kemudian diizin kembali pada masa pembukaan Mekah kemudian diharamkannya selepas tiga hari.
12. Diharuskan pada permulaan Islam kemudian diharuskan pada Perang Khaibar kemudian diharuskan pada Perang Autas, kemudian diharamkan.
13. Diharuskan pada permulaan Islam pada tahun Autas, pembukaan Mekah dan Umrah al-Qadha' dan diharamkan pada Peperangan Khaibar dan Tabuk.
14. Ia telah diharuskan, kemudian dimansuhkan, kemudian diharuskan, kemudian dimansuhkan, kemudian diharuskan kemudian dimansuhkan.
15. Diharuskan 7 kali, dimansuhkan 7 kali, dimansuhkan pada Peperangan Khaibar, Hunain, 'Umra al-Qadha', tahun pembukaan Mekah, tahun Autas, Peperangan Tabuk dan semasa Haji Wida'.[al-Jassas, Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 183; Muslim, Sahih, I, hlm. 394;Ibn Hajar, Fath al-Bari, IX, hlm. 138; al-Zurqani, Syarh al-Muwatta', hlm. 24]

Lihatlah bagaimana perselisihan pendapat telah berlaku tentang nikah mut'ah di mana mereka sendiri tidak yakin bilakah ia dimansuhkan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun pendapat-pendapat tersebut memberi erti bahawa hukum nikah mut'ah boleh dipermainkan-mainkan kerana ia mengandungi beberapa proses pengharusan dan pengharaman, oleh itu ianya tidak mungkin dilakukan oleh Allah dan RasulNya. Ianya telah dilakukan oleh al-Zubair bin al-Awwam dengan Asma' bt. khalifah Abu Bakar selama tiga tahun dan melahirkan dua orang anak mut'ah. Sebenarnya pengharusan nikah mut'ah itu berasal daripada al-Qur'an, firmanNya (Surah al-Nisa (4):24:"Maka isteri-isteri kamu yang kamu nikmati (mut'ah) di atas mereka, berikanlah kepada mereka maharnya sebagai suatu kewajipan."

Menurut al-Zamakhsyari, ayat ini adalah Muhkamah, iaitu tidak dimansuhkan [al-Kasysyaf,I hlm. 190] iaitu nikah mut'ah adalah halal.
Al-Qurtubi menyatakan, penduduk Mekah banyak melakukan nikah mut'ah[Tafsir,V, hlm. 132]. Fakhruddin al-Razi berkata:"Mereka berselisih pendapat tentang ayat ini, sama ada ia dimansuhkan ataupun tidak, tetapi sebahagian besar berpendapat ayat ini tidak dimansuhkan dan nikah mut'ah adalah harus."[Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 200] Abu Hayyan berkata:"Selepas menukilkan hadith yang mengharuskan nikah mut'ah, sekumpulan daripada Ahlul Bayt dan Tabi'in berpendapat nikah mut'ah adalah halal."Ibn Juraij (w.150H) pula berpendapat bahawa nikah mut'ah adalah harus. Imam Syafi'i menegaskan bahawa Ibn Juraij telah bernikah mut'ah dengan 72 orang perempuan, sementara al-Dhahabi pula menyatakan Ibn Juraij telah bermut'ah dengan 90 orang perempuan.[Tadhib al-Tahdhib, VI, hlm. 408]

Perhatikanlah bahawa Ibn Juraij adalah seorang daripada Tabi'in dan imam masjid Mekah, telah berkahwin secara mut'ah dengan 90 orang perempuan dan dia juga telah meriwayatkan hadith yang banyak di dalam sahih-sahih Ahlul Sunnah seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain. Ini bererti kitab-kitab sahih tersebut telah dikotori (mengikut bahawa lawan) dan ia tidak menjadi sahih lagi sekiranya orang yang melakukan nikah mut'ah itu dianggap penzina.

Ayat tersebut tidak dimansuhkan oleh Surah al-Mukminun ayat 6 dan Surah al- Ma'arij ayat 30, kerana kedua-dua ayat tersebut adalah Makkiyyah dan ayat Makkiyyah tidak boleh memansuhkan ayat Madaniyyah, begitu juga ia tidak boleh dimansuhkan dengan ayat al-Mirath (pusaka) kerana dalam nikah biasa sekalipun mirath tidak boleh berlaku jika si isteri melakukan nusyuz terhadap suaminya atau isterinya seorang kitabiyah. Sebagaimana juga ia tidak boleh dimansuhkan dengan ayat Talaq, kerana nikah mut'ah dapat ditalak (dapat dibatalkan) dengan berakhirnya masa. Ia juga tidak boleh dimansuhkan dengan hadith mengiku jumhur ulama.

Imam Zulfar berpendapat walaupun ditetapkan, tetapi ia tidak membatalkan akad nikah. Imam Malik pula mengatakan nikah mut'ah adalah harus hingga terdapatnya dalil yang memansuhkannya. Imam Muhammad al-Syaibani mengatakan nikah mut'ah adalah makruh. [al-Sarkhasi, al-Mabsut, V, hlm. 160] Demikianlah beberapa pendapat yang menunjukkan nikah mut'ah adalah harus tetapi ia diharamkan oleh khalifah Umar al-Khattab. Adapun syarat-syarat nikah mut'ah menurut Islam adalah seperti berikut:

i. Mahar.
ii. Ajal (tempoh)
iii. Akad yang mengandungi ijab dan kabul dan ianya sah dilakukan secara wakil
iv. Perceraian selepas tamatnya tempoh
v. Iddah
vi. Sabitnya nasab (keturunan)
vii. Tidak sabitnya pusaka di antara suami dan isteri jika ia tidak syaratkan.

Inilah syarat-syarat nikah mut'ah mengikut Ahlul Sunnah dan Syiah dan inilah yang telah dilakukan oleh para sahabat dan tabi'in. Adapun kata-kata bahawa 'nikah mut'ah boleh dilakukan dengan isteri orang' adalah satu pembohongan yang besar dan ianya menyalahi nas. Oleh itu para Imam Ahlul Bayt AS dan para ulama Syiah mengharamkannya. Disebabkan ijab sebarang nikah, sama ada nikah mut'ah ataupun da'im (biasa) adalah dipihak perempuan atau wakilnya, maka perempuan tersebut atau wakilnya mestilah mengetahui bahawa 'dia' bukanlah isteri orang, jika tidak, ia tidak boleh melafazkan ijab, "aku nikahkan diriku akan dikau dengan mas kahwinnya sebanyak satu ribu ringgit selama tiga tahun."Umpamanya lelaki menjawab:"Aku terimalah nikah."Imam Baqir dan Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata bahawa pihak lelaki tidak wajib bertanya adakah siperempuan itu isteri orang atau tidak, kerana sudah pasti mengikut hukum syarak perempuan yang akan berkahwin mestilah bukan isteri orang. Jika didapati ia isteri orang maka nikah mut'ah atau nikah biasa itu adalah tidak sah. Walau bagaimanapun adalah disunatkan seorang itu bertanya keadaan perempuan itu sama ada masih isteri orang atau sebagainya. Mengenai wali Ahlul Sunnah tidak sependapat sama ada wali adalah wajib bagi perempuan yang ingin berkahwin. Abu Hanifah umpamanya menyatakan wali adalah tidak wajib bagi janda dan anak dara yang sudah akil baligh dengan syarat ia berkahwin dengan seorang yang sekufu dengannya.[Malik, al-Muwatta', I, hlm. 183] Abu Yusuf dan al-Syaibani pula berpendapat wali adalah peru tetapi bapa tidak ada hak untuk memaksa anak perempuannya melainkan ia di bawah umur.[Ibn Hazm, al-Muhalla, hlm. 145] Imam Ja'far al-Sadiq AS berpendapat wali tidak wajib dalam nikah kecuali bagi anak dara. Tetapi ia adalah digalakkan di dalam semua keadaan bagi penentuan harta dan keturunan.[al-Tusi, Tahdbib al-Ahkam, VII, hlm. 262] Sebenarnya idea wali nikah menurut Imam Malik adalah dikaitkan dengan khalifah Umar al-Khattab yang diriwayatkan oleh Sa'id bin al-Musayyab, bahawa seorang tidak dibenarkan berkahwin tanpa kebenaran walinya atau keluarganya yang baik atau pemerintah [Sahnun, al-Mudawwannah al-Kubra, IV, hlm. 16]

Mengenai saksi di dalam nikah, Imam Ja'far al-Sadiq AS tidak mewajibkan saksi di dalam nikah mut'ah atau nikah biasa, tetapi ia disunatkan berbuat demikian bagi pengurusan harta dan penentuan nasab keturunan.[al-Tusi, al-Istibsar, III, hlm. 148] Sebenarnya di dalam al-Qur'an tidak terdapat ayat yang mewajibkan wali dan saksi di dalam nikah, umpamanya firman Allah dalam Surah al-Nisa (4):3....."maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi dua, tiga dan empat." Ini bererti Allah tidak mewajibkan saksi dan wali di dalam perkahwinan kerana untuk memberi kemudahan kepada umat manusia tetapi Dia mewajibkan saksi di dalam perceraian, firmanNya dalam Surah al-Talaq (65):2...."Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu." Imam Ja'far al-Sadiq AS mengatakan bahawa dua saksi di dalam talak adalah wajib. Walau bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa saksi adalah digalakkan, lantaran itu hadith "Tidak ada nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi" adalah hadith yang lemah. Itulah nikah mut'ah yang dipercayai oleh mazhab Ja'fari dan ia adalah sama seperti yang dilakukan pada zaman Nabi SAWA dan zaman sahabatnya, dengan penjelasan ini, semoga ianya dapat dibezakan di antara pelacuran dan nikah mut'ah.

Kesimpulannya, nikah mut'ah adalah halal sehingga Hari Kiamat berdasarkan Surah al-Nisa (4):24. Ia adalah ayat muhkamah yang tidak dimansuhkan, hanya khalifah Umar sahaja yang memansuhkan nikah mut'ah pada masa pemerintahannya. Oleh itu ijtihadnya adalah menyalahi nas, dengan itu kata-kata al-Suyuti bahawa khalifah Umar adalah orang yang pertama mengharamkan nikah mut'ah adalah wajar dan menepati nas. Walau bagaimanapun saya sekalikali tidak menggalakkan sesiapa pun untuk melakukannya walau di mana sekalipun.

63. Khalifah Umar mengenakan hada ke atas lelaki Badwi yang mabuk kerana meminum minuman Umar. Lelaki itu berkata:"Sesungguhnya aku minum dari minuman anda."Umar menjawab:"Aku kenakan had ke atas anda kerana mabuk dan bukan kerana minuman(ku)." Kemudian dia menambahkan air ke dalam minuman tersebut lalu dia meminumnya selepas mengenakan had ke atas lelaki tersebut.[Ibn Abd Rabbih, al-Aqd al-Farid, III, hlm. 416; al-Jassas, Ahkam al- Qur'an, II, hlm. 565; al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 326] Dan ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA:"Aku menegah kalian meminum minuman yang sedikit apabila banyaknya memabukkan."[al-Darimi, al-Sunan, II, hlm. 113; al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 301]

64. Khalifah Umar menghalalkan minuman keras al-Tala'(jenis anggur yang diperah) apabila ianya direbus dan dihilangkan dua pertiganya.[al-Baihaqi, al- Sunan VIII, hlm. 300;al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 329;al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal,III, hlm. 109;Malik, al-Muwatta',II, hlm. 180] Oleh itu ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA,"Setiap yang memabukkan adalah haram."[al-Turmidhi, Sahih, I, hlm. 324; al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 300]

65. Khalifah Umar masih meminum minuman keras (arak) pada masa Rasulullah SAWA sehingga turunnya ayat di dalam Surah al-Maidah (5):91,"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." Di dalam keseronokan mabuknya dia membaca beberapa bait syair antaranya: Katakan kepada Allah, adakah Dia menegahku dari minumanku? Katakan kepada Allah, adakah Dia akan menegahku dari makananku? Apabila sampai berita ini kepada Rasulullah SAWA, beliau keluar di dalam keadaan marah lalu memukul Umar. Dan Umar berkata:"Aku mohon dengan Allah dari kemurkaanNya dan kemurkaan RasulNya." Kemudian turunlah ayat di dalam Surah al-Maidah (5):91,"Umar berkata:"Kami telah menghentikannya, kami telah menghentikannya."

Sepatutnya dia telah menghentikan amalan tersebut apabila ayat kedua dalam Surah al-Baqarah (2):219 tentang khamar (arak) diturunkan. Kerana ianya sudah cukup sebagai peringatan kepadanya sekalipun ianya bukanlah pengharaman sepenuhnya. Riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Umar masih berada di dalam majlis arak, tiba-tiba seorang lelaki memberitahukan kepadanya bahawa ayat pengharaman arak secara Qat'i telah diturunkan. Lalu dia berkata:"Kami telah menghentikannya. kami telah menghentikannya!" Sebenarnya majlis arak itu berlaku di kelab Abu Talhah. Ibn Hajr di dalam Fath al-Bari, X, hlm. 30, telah menyenaraikan nama-nama para sahabat yang terlibat di dalam majlis arak di kelab Abu Talhah seperti berikut:

1. Abu Bakar bin Abi Qahafah pada masa itu berumur 58 tahun.
2. Umar bin al-Khattab pada masa itu berumur 45 tahun.
3. Abu Ubaidah al-Jarrah pada masa itu berumur 48 tahun.
4. Abu Talhah Zaid bin Sahal, tuan kelab pada masa itu berumur 44 tahun.
5. Suhail bin Baidha', wafat setahun selepas peristiwa tersebut,kerana sakit tua.
6. Ubayy bin Ka'ab.
7. Abu Dujanah Samak bin Kharsyah.
8. Abu Ayyub al-Ansari.
9. Abu Bakar bin Syaghub.
10. Anas bin Malik sebagai pelayan mereka (di saqi al-Qaum) pada masa itu berumur 18 tahun.[al-Tabari, Tafsir, II, hlm. 203; Abu Daud,al-Sunan, II, hlm. 128; Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 53; al-Nasa'i, al-Sunan, VIII, hlm. 287; al-Jassas, Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 245; al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 278; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, I. hlm. 252; Ibn Hajr, fath al-Bari, X, hlm.30 dan lain-lain]

66. Khalifah Umar telah mengenakan had tanpa menurut hukum syarak. Seorang peminum arak dibawa kepadanya, lalu dia memerintahkan Muti' bin al- Aswad supaya melakukan hukuman had ke atasnya. Kemudian dia melihatnya memukulnya dengan pukulan yang kuat lalu dia berkata kepadanya:"Anda telah membunuh lelaki itu. Berapa kalikah anda telah memukulnya?"Dia menjawab:"Enam puluh kali."Lalu Umar berkata:"Jadikan dua puluh pukulan yang belum dilaksanakan itu sebagai menepati pukulan anda "yang kuat," maka jumlahnya cukup 80."Kedua-dua hukumannya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA yang menghukum peminum arak sebanyak 40 kali sebat.[al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, VIII, hlm. 317; al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 137]

67. Khalifah Umar berkata:"Sesiapa berkata aku seorang yang alim, maka dia adalah jahil dan sesiapa yang mengatakan dia mukmin maka dia adalah kafir."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, I, hlm. 103] Kata-katanya yang pertama bertentangan dengan firman Tuhan di dalam Surah al-Zumar (39): 9:"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orangorang yang tidak mengetahui (orang-orang jahil)?" Dan kedua, ianya bertentangan dengan firmanNya di dalam Surah Ali Imran (3): 52:"Hawariyyun berkata: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, kami beriman (ammana) kepada Allah."

68. Khalifah Umar tidak menggalakkan kaum Muslimin menziarahi Baitul Maqdis kerana khuatir mereka akan membuat Haji seperti di Mekah. Beliau memukul dua lelaki yang melintasi Baitul Maqdis.[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VII, hlm. 157] Ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA yang menggalakkan kaum Muslimin menziarahi atau beribadat pada tiga masjid.

Rasulullah SAWA bersabda:"Pengembaraan diharuskan pada tiga masjid, Masjid Haram, Masjid aku ini dan Masjid al-Aqsa'.[Ahmad bin Hanbal, asl-Musnad, II, hlm. 234; Muslim, Sahih, I, hlm. 392; al-Nasai, al-Sunan, II, hlm. 37]

69. Khalifah Umar telah membentuk majlis syura yang aneh dan menakutkan. Dan ianya mesti ditamatkan dalam masa tiga hari dan dikawal oleh 50 orang tentera yang lengkap dengan senjata. Dia melantik enam orang; Sa'd bin Abu Waqas, Abdul Rahman bun Auf, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, al-Zubair bin al-Awwam dan Uthman bin Affan. Kemudian dia mencaci mereka dengan cacian-cacian yang tidak melayakkan mereka menjadi khalifah. Kemudian dia berkata:"Jika seorang daripada mereka menentang dan lima bersetuju, maka bunuhlah dia. Jika dua menentang dan empat bersetuju maka bunuhlah keduaduanya. Dan jika tiga menentang dan tiga tiga bersetuju maka pilihlah pihak yang ada Abdul Rahman bin Auf.[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm. 24]