Ijtihad dan Keragaman Pemahaman Agama
PENDAHULUAN
Bismillahi r-Rahmani r-Rahim
Perkataan “Sunnah Nabi (S.a.w)” sentiasa difahami sama ada sebagai perkataan Nabi (S.a.w), perbuatan atau taqrirnya. Dan perkataan “Ahlu s- Sunnah Nabi (S.a.w)” adalah orang yang percaya dan mengamal Sunnah Nabi (S.a.w) sama ada dari segi perkataan, perbuatan atau taqrirnya, tanpa menyalahi al-Qur’an”.
Justeru itu, ia memberi implikasi bahawa sesiapa yang mempercayai dan mengamalkan Sunnah Nabi (S.a.w) adalah Ahlu s-Sunnah Nabi (S.a.w), tanpa mengira aliran mazhab yang dianutinya. Sementara perkataan “Ahlu s-Sunnah wa l-Jama‘ah” yang dipimpin oleh Abu I-Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al-Maturidi mempunyai pengertian yang berbeza pula. Lantaran itu, tajuk buku ini JIKA MEREKA AHLU S-SUNNAH NABI (S.A.W), NESCAYA MEREKA TIDAK MENENTANG SUNNAH NABI S.A.W memberi implikasi umum kepada sesiapa saja yang percaya dan mengamalkan Sunnah Nabi (S.a.w).
Metode kajian ini dilakukan berdasarkan kepada al-Qur'an dan Sunnah Nabi (S.a.w) kemudian catatan para ulama kita Ahlu s- Sunnah wa l-Jamaah di dalam buku-buku mereka mengenai sunnah-sunah Khalifah Abu Bakr, Umar dan Uthman yang bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah Nabi (S.a.w) serta akal yang sejahtera. Dan ianya didasarkan kepada buku saya yang berjodol: Khulafa’ Rasyidin Di antara Nas dan Ijtihad, 1993 dengan sedikit penambahan bahan serta huraian yang paling rengkas tentang perbezaan antara Sunnah Nabi (Saw.) dan sunnah para sahabat.
Lantaran itu sekiranya Ahlu s-Sunnah wa l-Jama’ah berbohong di dalam catatan mereka, maka merekalah yang berdosa dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah (swt) dan sekiranya catatan mereka itu betul, kenapa kita menolaknya dan melemparkan kebencian itu kepada orang lain pula?
Buku ini sekali-kali tidak boleh dilihat sebagai merendah atau memandang kecil jasa baik yang dilakukan oleh mereka. Saya menghormati mereka semua, tetapi penghormatan saya pertamanya kepada Allah dan kedua kepada Rasul-Nya adalah mengatasi mereka semua. Kerana Allah SWT adalah sebaik-baik Hakim dan Rasul-Nya pula sebaik-baik rasul yang diutuskan.
Lantaran itu, perbandingan di antara al-Qur’an, Sunnah Nabi (S.A.W) dan sunnah mereka hendaklah dilihat dari perspektif Allah SWT sebagai Pencipta (al-Khaliq) dan Nabi Muhammad (S.a.w) sebagai Nabi yang maksum (al-Ma’sum) sepanjang masa kemudian sunnah-sunnah Khulafa' Rasyidin yang bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah Nabi (S.a.w) serta akal yang sejahtera. Lantaran itu, martabat khulafa’ Rasyidin adalah dibawah martabat Nabi (S.a.w) dan martabat Nabi (S.a.w) adalah di bawah martabat Allah (swt).
Dengan ini tuduhan “mencaci sahabat’ yang menyalahi al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) tidak boleh ditimbulkan lagi sekiranya kita meletak al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) lebih tinggi daripada sahabat Dan segala sunnah-sunah mereka yang bertentangan dengan al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) pula berada di dalam martabat yang rendah dan dianggap sebagai ijtihad atau pendapat mereka sendiri atau sebagai dosa jika ia menyalahi sunnah Nabi (Saw.).
Ijtihad atau pendapat tersebut hendaklah tidak dipaksa ke atas sesiapa pun sehingga dapat mengatasi al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w). Justeru itu, sebarang penghinaan atau tindakan hendaklah tidak dilakukan kepada sesiapa yang ingin mengikuti al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) secara keseluruhannya. Bagi mereka yang mengikuti al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) secara keseluruhannya tidak pula melakukan perkara yang sama terhadap orang yang mengamalkan ijtihad atau pendapat tersebut, jika mereka tidak mampu.
Walau bagaimanapun ijtihad secara umum patut diteruskan selama ia tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w), kerana apa yang telah berlaku di zaman Khulafa' Rasyidin tidak sama dengan apa yang berlaku di zaman kita ini. Malah Islam menggalakkan umatnya supaya berijtihad di setiap masa bagi menyahut seruan globalisasi dan keperluan umat. Lantaran itu, buku ini bertujuan akademik sematamata semoga ianya akan memperjelaskan perbezaan antara hukum al- Qur’an, Sunnah Nabi (S.a.w) dan sunnah atau pendapat Khulafa’ Rasyidin. Di dalam ertikata yang lain, siapakah Ahlu s-Sunnah Nabi (S.a.w)?
Adakah mereka yang telah memansuh, membatal atau menagguh atau mengubah atau menggantikan sebahagian dari hukum al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) dengan pendapat atau ijtihad mereka dan penyokong-peyokong mereka masih dikira Ahlu s-Sunnah Nabi (S.a.w)? Semoga buku ini akan memberi suatu pencerahan kepada insan yang berfikir di kalangan umat Islam di rantau ini. Lantaran itu, mereka tidak harus meninggikan diri dan cepat berpuas hati kerana semata-mata berpegang kepada mazhab Ahlu s-Sunnah wa l-Jama‘ah (mazhab pemerintah) pimpinan Abu l-Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al- Maturidi dari segi Teologi di abad ketiga Hijrah, tanpa menjadikan al- Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w) sebagai asas kebenaran yang mutlak dan menyeluruh.
Dengan ini sifat kemanusiaan akan terserlah kepada orang lain yang bukan sealiran pendapat dengan mereka. Apatah lagi menganggap mereka sebagai sesat atau terkeluar dari agama Islam. Lantas mereka disisih, disiksa, diusir, dipenjara, dibunuh dan sebagainya, semata-mata kerana menyalahi sunnah atau ijtihad atau pendapat khalifah Abu Bakr Umar dan Uthman (sunnah pemerintah) atau akidah Ahlu s-Sunnah wa l-Jama‘ah yang bertentangan dengan al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w). Kerana Agama Islam adalah lebih luas dari fahaman “sunnah atau pendapat Khulafa’ Rasyidin dan mazhab Ahlu s-Sunnah wa l-Jama‘ah itu sendiri.
Oleh itu definisi ajaran sesat adalah wajar jika ia ditujukan kepada mana-mana ajaran yang menyalahi atau bertentangan atau menyeleweng daripada ajaran al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w). Dan bukan sebaliknya. Di samping itu, kita perlu melakukan muhasabah diri kita sendiri dan bertanya: Adakah kita Ahlu s-Sunnah Nabi (S.a.w)? Kerana ‘kebenaran bukan dikenali dengan individu, justeru itu, kenalilah kebenaran dahulu, nescaya anda akan mengenali penganutnya”.
Akhir sekali saya memohon jutaan maaf dari pembaca yang budiman jika terkasar atau sebagainya kerana ia bukanlah yang dimaksudkannya kerana mesej yang sebenar ialah al-Qur’an, Sunnah Nabi (S.a.w) dan sunnah Khulafa’ Rasyidin yang menyalahi al-Qur’an dan Sunnah Nabi (S.a.w). Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurga-Nya dan saya bertawakal kepada Allah (swt) Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.
14hb. Jun, 1996.