alasyairah_almaturidiah

alasyairah_almaturidiah0%

alasyairah_almaturidiah pengarang:
Kategori: Agama & Aliran

alasyairah_almaturidiah

Buku Ini di Buat dan di teliti di Yayasan Alhasanain as dan sudah disesuaikan dengan buku aslinya

pengarang: (http://abatasya.net)
Kategori: Pengunjung: 78
Download: 25

Komentar:

alasyairah_almaturidiah
Pencarian dalam buku
  • Mulai
  • Sebelumnya
  • 20 /
  • Selanjutnya
  • Selesai
  •  
  • Download HTML
  • Download Word
  • Download PDF
  • Pengunjung: 78 / Download: 25
Ukuran Ukuran Ukuran
alasyairah_almaturidiah

alasyairah_almaturidiah

pengarang:
Indonesia

Buku Ini di Buat dan di teliti di Yayasan Alhasanain as dan sudah disesuaikan dengan buku aslinya

AL-ASYA'IRAH & AL-MATURIDIAH

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

(B.A Aqidah & Dakwah, Uni. Islam Madinah)

PENDAHULUAN

Di dalam hadis yang sahih Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Maksudnya: "dan sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 puak dan sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 puak, semuanya di neraka melainkan satu puak sahaja". Ditanya kepada baginda: "Apakah dia satu puak itu wahai Rasulullah?" Jawab baginda: "Apa yang aku berada atasnya hari ini serta para Sahabatku". [Al-Tarmizi, al-Hakim, al-Tabrani –Mukjam al-Kabir-, Ibn Battah (alIbanah al-Kubra) dan lafaz ini di sisi Ibn Battah].

Di dalam hadis yang sangat penting ini, Rasulullah s.a.w memberi peringatan bahawa selepas kewafatan baginda, akan muncul ajaran-ajaran yang mendakwa diri sebagai Islam tetapi menyeleweng daripada kebenaran yang sebenar dan jumlahnya amat banyak iaitu 73 golongan dan hanya satu golongan sahaja yang berada atas kebenaran dan bertepatan dengan dakwaan dakwah yang dibawanya dengan apa yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w kerana mereka ini sahaja yang mengikut petunjuk Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda.

Di zaman kita ini, puak-puak yang mendakwa Islam dan mendakwa ajaran mereka sebenarnya ajaran yang hak amat banyak dan yang paling popular di seluruh pelusuk Dunia Islam dewasa ini adalah: al-Asya'irah dan al-Maturidiah; di mana majoriti pengkut Imam-imam yang tiga (Abu Hanifah, Malik, dan al-Syafii) bernasab kepada salah satu daripada dua firqah ini sedangkan mereka yang berpegang dengan mazhab Hanbali pula terkenal dengan tuduhan ke atas mereka sebagai "Wahhabi".

Kebenaran tidak diukur dengan orang bahkan sebaliknya, orang diukur dengan kebenaran dan kebenaran itu adalah apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda ridwanullahi 'alaihim, maka kita perlu meneliti sejuah mana kebenaran dan ketepatan dakwaan al-Asya'irah dan al-Maturidiah bahawa merekalah firqah (puak) yang terselamat antara 73 puak Umat Muhammad yang wujud dewasa ini.

Maka dalam kajian kecil ini, kami dengan kehendak dan izin ALLAH akan mencuba untuk membentangkan sejauh mana dakwaan ini dan menilainya dengan timbangan yang adil berdasarkan apa yang dibawa oleh Rasul dan apa yang diwarisi daripada Ulama Muktabar di kurun terbaik Umat ini, kurun Salafus Soleh.

PENGENALAN TERHADAP AL-ASYA'IRAH & AL-MATURIDIAH

Al-Asya'irah adalah golongan yang dinisbahkan kepada Abul Hasan Al-Asy'ari manakala al-Maturidiah pula dinisbahkan kepada Abu Mansur al-Maturidi.

Berikut kami bentangkan profil setiap dua orang tokoh tersebut:

Abul Hasan al-Asy'ari:

Nama Penuh: Ali bin Ismail bin Abi Bisyr Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy'ari. Maka beliau merupakan leluhur kepada Sahabat Rasulullah s.a.w, Abu Musa alAsy'ari r.a.

Lahir: Pada tahun 260 Hijrah atau 270 Hijrah

Meninggal: 324 Hijrah.

Mazhab Fiqhi: Syafii

Perjalanan Hidup: Beliau dibesarkan sebagai seorang bermazhab Muktazilah melalui gurunya; Abu Ali bin Abdul Wahab al-Jubbaie sehingga beliau menjadi seorang tokoh dan 'alim dalam ajaran Muktazilah. Kemudian, beliau bertaubat dan meninggalkan mazhab Muktazilah setelah jelas kepada beliau mazhab ini membawa ajaran yang menyeleweng daripada Wahyu yang suci. Al-Imam Ibn Katsir r.h menaqalkan bahawa beliau melalui 3 marhalah dalam hayatnya:

Pertama: Marhalah Muktazilah dan beliau telah bertaubat daripada akidah ini.

Kedua: Marhalah di mana beliau mengisbatkan bagi ALLAH sifat-sifat 'aqliah yang tujuh yang terkenal dalam kalangan pengikutnya sebagai sifat maknawi: mendengar, melihat, hayat, kalam, kudrat, iradat dan lainnya tetapi mentakwilkan sifat khabariah seperti Istiwa', Tangan, dan seumpamanya.

Ketiga: Marhalah Ahlus Sunnah wal Jamaah di mana beliau mengisbatkan sifat-sifat ALLAH dan masalah akidah lainnya sesuai dengan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagaimana beliau sarihkan (jelaskan) dalam kitab-kitab yang terakhir beliau: al-Ibanah, al-Maqalat, dan Risalah Ila Ahli Tsughar. Namun, sandaran marhalah ini kepada Abul Hasan al-Asy'ari r.h adalah tidak benar dan berlawanan dengan apa yang jelas daripada tulisan-tulisan Abul Hasan al-Asy'ari r.h di mana beliau tidak pernah melakukan Takwil kepada mana-mana sifat sama ada 'Aqliah mahupun Khabariah setelah rujuk daripada mazhab al-Muktazilah.

Jika mereka yang meriwayatkan marhalah ini daripada Abul Hasan bersandarkan kepada kitab (Al-Luma') yang dinyatakan oleh Ibn 'Asakir r.h sebagai antara kitab yang beliau karang sejurus merujuk daripada mazhab

Iktizal kemudian diikuti dengan kitab al-Ibanah, sebenarnya tidak ada perlawanan antara (al-Luma') dengan (al-Ibanah) kerana walaupun Abul Hasan tidak membincangkan sifat-sifat Khabariah dalam (al-Luma') tetapi beliau juga tidak menyatakan penafian terhadapnya. Ulama Sirah dan Sejarah juga menyatakan bahawa Abul Hasan setelah rujuk daripada mazhab Muktazilah, beliau mengikut mazhab al-Kullabiah sebagaimana kata al-Imam al-Zahabi r.h dalam (al-Siyar, 11/174) semasa menterjemahkan Abdullah bin Sa'id al-Kullab: "dan pengikut-pengikutnya (dinamakan) al-Kullabiah, telah bertemu dengan sebahagian mereka Abul Hasan al-Asy'ari ketika dia membantah Jahmiah". Kata al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani r.h dlm (Lisanul Mizan, 3/291) dalam Terjemah Abdullah bin Sa'id al-Kullab: "dan atas jalannya (Ibn Kullab) al-Asy'ari mengikut dalam (mengarang) alIbanah".

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h (Majmuk al-Fatawa, 3/228): "adalah aku sentiasa menegaskan perkara ini terhadap al-Hanabilah dan aku jelaskan bahawa al-Asy'ari walaupun asalnya adalah anak murid kepada Muktazilah, dia adalah pada asalnya anak murid al-Jubbaie lalu condong kepada jalan Ibn Kullab dan dia juga belajar usul-usul hadis daripada Abu Zakaria al-Saji di Basrah, kemudian dia datang ke Baghdad lalu belajar dengan para Hanabilah di Baghdad beberapa perkara lagi dan itulah akhir peringkat hayatnya seperti mana yang dinyatakan oleh dia sendiri dan para pengikutnya dalam kitab-kitab mereka".

Maka apa yang jelas daripada peringkat hayat Abul Hasan al-Asy'ari adalah beliau setelah meninggalkan ajaran Muktazilah, beliau mengikut ajaran Kullabiah yang merupakan ajaran Ilmu Kalam yang hampir dengan ajaran Salafiah (Ahlus Sunnah wal Jamaah) dalam menetapkan Sifat-sifat ALLAH dan tidak mentakwilkannya sebagaimana kata para Ulama Sirah dan Sejarah. Kata al-Imam al-Zahabi r.h dalam (Al-Siyar, 11/175):

"sedangkan lelaki ini (Ibn Kullab) adalah Ahli Kalam yang paling hampir dengan Ahlus Sunnah bahkan dia dianggap para pendebat mereka dan adalah dia berpendapat: al-Quran itu berdiri dengan zat (ALLAH) tanpa berkait dengan kudrat dan kehendak (ALLAH) dan ini adalah pendapat yang tidak pernah disebut sesiapa pun sebelumnya sama sekali, dia menyatakan pendapatnya ini untuk melawan mereka yang mengatakan alQuran Makhluk dan dia mengarang dalam masalah Tauhid, menetapkan sifat, dan bahawa ketinggian al-Bari atas MakhlukNya adalah tsabit dengan fitrah dan akal sesuai menurut nas dan demikian juga al-Muhasibi (pengikut Ibn Kullab) dalam kitabnya (Fahmul Quran)".

Adapun persoalan adakah setelah mengikut ajaran Ibn Kullab beliau rujuk lagi kepada mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar? Maka jelas bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari r.h berusaha sedaya mungkin menyelami ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah setelah berada di Baghdad namun beberapa fahaman dan akidah yang beliau anuti semasa mengikut ajaran Kullabiah terus kekal dan dijadikan sebagai manhaj beliau.

Jadi Abul Hasan al-Asy'ari selepas kembali taubat daripada Muktazilah, beliau tidaklah mengikut ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah sepenuhnya, bahkan masih ada beberapa kesalahan dan kekhilafan dalam akidah beliau, namun beliau amat hampir kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menasabkan diri beliau kepada mereka dan tidak ada sesiapa pun yang maksum kecuali Rasulullah s.a.w dan para Anbiya'.

 Abu Mansur al-Maturidi:

Nama Penuh: Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi alSamarqandi dan Maturidi adalah nisbah kepada tempat (Maturid) di negeri Samarqand.

Kelahiran: Tidak dinyatakan dalam terjemahan beliau tarikh lahir

Kewafatan: 333 Hijrah di Samarqand.

Mazhab Fiqhi: Hanafi

Perjalanan Hidup: Berbeza dengan Abul Hasan al-Asy'ari yang memulakan kehidupan sebagai Muktazilah kemudian berpindah kepada manhaj Kullabiah, Abu Mansur al-Maturidi memang seorang yang terkesan dengan aliran alKullabiah.

Ini berdasarkan pendapat-pendapat beliau dalam beberapa masalah yang jelas persamaannya atau manhajnya dengan aliran al-Kullabiah, adapun dari segi menetapkan pengambilan al-Maturidi akidah al-Kullabiah melalui perguruan, tidak dapat dipastikan sama sekali kerana guru-guru Abu Mansur al-Maturidi tidak diketahui keadaan akidah mereka dan tidak dipastikan sama ada dia mengambil ilmu kalam daripada mereka atau hanya ilmu fiqh hanafi. Dari segi zaman dan suasana politik pula menyokong bahawa al-Maturidi terkesan dengan al-Kullabiah kerana beliau hidup di bawah kerajaan AlSamaniah yang memerintah kawasan Khurasan, Samarqand dan sekitarnya di bawah naungan Khilafah Bani Abbas yang bermula dengan zaman alMutawakkil 'ala ALLAH yang menyaksikan kejatuhan Muktazilah dan muncul semula kekuatan Ahlus Sunnah wal Jamaah menyebabkan sambutan terhadap aliran Ahli Kalam yang kelihatan dekat dengan aliran Ahlus Sunnah amat hangat dan satu-satunya aliran Kalam ketika itu yang terkenal dengan persamaan akidah dengan Ahlus Sunnah adalah aliran Abdullah bin Sa'id alKullab (al-Kullabiah).

Nisbah Abu Mansur al-Maturidi kepada mazhab Hanafi pula membuka ruang lebih besar untuk beliau terdedah dengan akidah Ilmu Kalam dan Murjiah dan Muktazilah kerana golongan al-Ahnaf telah pun berpecah dalam akidah mereka kepada:

1- Hanafi Murjiah

2- Hanafi Syi'ah

3- Hanafi Muktazilah

Kata Muhammad Abdul Haq al-Laknawi r.h dalam kitab beliau (Al-Raf'u wat Takmil fil Jarhi wat Takdil, 1/386):

"Secara jumlahnya maka Hanafiah mempunyai beberapa cabang berdasarkan perbezaan akidah, ada antara mereka; Syi'ah, ada yang Muktazilah, dan ada yang Murjiah".

Demikian juga, kesan cucu Imam Abu Hanifah; Ismail bin Hammad bin Abu Hanifah yang menganut ajaran Muktazilah dan menjadi pembesar Muktazilah di zaman Bani 'Abbas dan menisbahkan akidah ini kepada bapa dan datuknya. Ini menunjukkan betapa kaum al-Ahnaf setelah kewafatan Imam mereka dan pembesar mazhab mereka, berlaku perpecahan dalam akidah mereka sedangkan Imam Abu Hanifah r.h adalah Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Namun, masih kekal pengikut Ahnaf yang membawa panji Ahlus Sunnah wal Jamaah seperti Imam Abu Jaafar al-Tahawi r.h di Mesir yang menulis kitab matan akidah beliau yang menjadi salah satu matan akidah utama di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah: (al-Aqidah al-Tahawiah). Tetapi tidak ada catatan sejarah yang menunjukkan Abu Mansur menemui Abu Jaafar dan jarak yang jauh antara Mesir dan Samarqand serta berbeza kerajaan yang memerintah tidak memungkinkan sampainya pengaruh Hanafiah Salafiah ke Samarqand.

Kesimpulannya adalah: al-Imam Abu Mansur al-Maturidi bukanlah daripada pengikut ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar tetapi beliau merupakan salah seorang Ulama Kalam dan turut membina akidahnya atas manhaj al-Kullabiah sama seperti Abul Hasan al-Asy'ari setelah beliau merujuk daripada ajaran Iktizal.

 Tanbih: Terjemah Abu Mansur al-Maturidi amat sedikit dan tidak sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang pengasas mazhab Ahli Kalam yang besar dan mempengaruhi dunia Islam Barat dan Timur. Ini menunjukkan bahawa Aliran Maturidiah tidaklah terkenal seperti mazhab al-Asya'irah sehinggalah selepas kewafatan Abu Mansur dan di kurun-kurun terakhir apabila beberapa kerajaan Islam menjadikan Akidah Maturidiah pegangan rasmi baharulah ajaran Maturidiah muncul sebagai satu kuasa baharu dalam aliran akidah.

Peringkat-peringkat Perkembangan Al-Asya'irah & al-Maturidiah

Peringkat-peringkat Al-Asya'irah:

1- Kullabiah:

Sebagaimana yang telah kita jelaskan terdahulu bahawa Abul Hasan al-Asy'ari r.h selepas beliau meninggalkan ajaran al-Muktazilah, beliau mengikut ajaran Abdullah bin Sa'id al-Qattan al-Kullab.

Maka ajaran al-Asya'irah pada peringkat awal merupakan Ajaran al-Kullabiah yang diasaskan oleh Abdullah bin Sa'id al-Qattan al-Basri al-Kullabi (wafat sekitar selepas 240 H).

Ibn Kullab terkenal dengan bantahan-bantahan terhadap al-Muktazilah namun menggunakan Ilmu Kalam untuk membina akidahnya. Kata al-Zahabi r.h:

Maksudnya: "Pemilik karangan yang banyak dalam membantah Muktazilah dan kadang-kadang dia menyetujui mereka". [al-Siyar,11/174].

Kata Al-Syahrastani al-Asy'ari (wafat 548 H):

"dan adapun al-Salaf yang tidak melakukan Takwil dan Tidak pula melakukan Tasybih antara mereka adalah Malik bin Anas r.h di mana beliau berkata: "alIstiwa' itu diketahui (maknanya), Kaifiatnya Tidak diketahui, beriman dengannya wajib dan bertanya (tentang Kaifiat) adalah Bidaah". Demikian juga seumpama Ahmad bin Hanbal r.h, Sufian al-Tsaury dan Daud bin Ali al-Asfahani.

Sehinggalah datang zaman Abdullah bin Sa'id al-Kullabi, Abul 'Abbas al-Qalanisi, dan al-Haris bin Asad al-Muhasibi, mereka ini adalah daripada kalangan Salaf (atas Manhaj Salaf dalam menetapkan Sifat Tanpa Takwil dan Tasybih) tetapi mereka mengikut Ilmu Kalam dan menguatkan Akidah Salaf dengan hujah-hujah Kalamiah serta dalil-dalil Usuliah, ada antara yang mengarang kitab dan ada yang mengajar sehinggalah berlaku perdebatan antara Abul Hasan al-Asy'ari dengan Ustaznya dalam beberapa masalah daripada masalah (al-Solah) dan (al-Aslah)[1]

lalu keduanya berdebat dan Al-Asy'ari condong kepada golongan ini (al-Kullabiah) lalu dia menguatkan akidah-akidah mereka dengan manhaj Ilmu Kalam …" [AlMilal wan Nihal, 1/93].

Pernyataan ini amat jelas daripada seorang pembesar al-Asya'irah bahawa ajaran mereka merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Kullabiah dan para pembesar al-Asya'irah sendiri menyebut Abdullah bin Sa'id al-Kullabi sebagai "Syeikh" mereka sebagaimana kata al-Syahrastani sendiri:

Maksudnya: "Berkata al-Asy'ariah: Syeikh kami al-Kullabi Abdullah bin Said berpendapat …" (Nihayatul Iqdam, Kaedah ke-13)

Al-Subki (Taj al-Din) berkata dalam Tabaqat al-Syafiiah al-Kubra dalam terjemah Ibn Kullab selepas membentangkan akidah Ibn Kullab dalam masalah Kalam al-Nafsi:

Maksudnya: "Inilah maqalah (mazhab) Ibn Kullab yang diikuti oleh para Ashab kita (al-Asya'irah)". [2/300].

Kata Imam al-Zahabi r.h:

Maksudnya: "dan para pengikutnya dinamakan al-Kullabiah, Abul Hasan alAsy'ari ada bertemu dengan sebahagian mereka ketika dia membantah Jahmiah (yakni setelah keluar dari Muktazilah)". [al-Siyar, 11/174].

Maka, semua bukti menunjukkan mazhab al-Asya'irah merupakan kesinambungan dan sambungan bagi mazhab al-Kullabiah yang diasaskan oleh Ibn Kullab.

Al-Asya'irah yang melazimi Manhaj Ibn Kullab akan terserlah pada mereka:

 Menetapkan Sifat Khabariyyah Zatiyyah Tanpa Takwil

 Menetapkan Kalam al-Nafsi yang tidak berhuruf dan bersuara bagi ALLAH

 Menafikan sama sekali Hulul al-Hawadis[2] pada ALLAH.

Antara tokoh-tokoh al-Asya'irah al-Kullabiah adalah:

o Abu Bakr al-Baqilani, Muhammad bin al-Tayyib al-Qadhi, w.403 H

o Abul Hasan al-Tabari Abdul Aziz bin Muhammad bin Ishaq, w. 380 H

o Ibn 'Asakir, Abul Qasim Ali bin al-Hasan bin Hibatullah, w.571 H

2- Al-Jahmiah:

Al-Asya'irah al-Kullabiah amat menyerlah dalam akidah mereka yang beriman dengan sifat-sifat Zatiah seperti Tangan, Mata, Kaki, dan Sifat al-Uluww serta alIstiwa'.

Kemudian datang selepas itu sekumpulan al-Asya'irah yang memilih jalan alMuktazilah dalam memahami nas-nas Sifat ALLAH Ta'ala lalu mereka melakukan Takwil terhadap Sifat-sifat Khabariah seperti: al-Istiwa', al-Nuzul, Tangan, Mata, Wajah dan lain-lainnya.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang dapat dijangka berlaku kerana Mazhab alAsya'irah dibina atas dasar Ilmu Kalam dan Falsafah yang kedua-duanya adalah "anak kandung" al-Muktazilah maka lambat laun mereka yang mengambil dua jalan ini sebagai sandaran akidah akan kembali kepada ibu asal mereka iaitu: al-Muktazilah.

Antara Ulama al-Asya'irah yang terawal dikesan memasukkan aliran Takwil ke dalam al-Asya'irah adalah: Muhammad bin al-Husain bin Furak (terkenal sebagai: Ibn Furak) wafat pada tahun: 406 H.

Kemudian, Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadi (w.429 H) mengarang kitabnya, Usuluddin di mana dia menzahirkan Takwil terhadap semua sifat-sifat Khabariah dan menyatakan bahawa Hadis Ahad tidak memberikan faedah Ilmu (yakin).

Fahaman Takwil mendapat sambutan hangat dalam kalangan Mutaakhirin alAsya'irah dan mencapai kemuncak yang tertinggi di tangan: Fakhruddin al-Razi Muhammad bin Umar bin Hasan bin Husein al-Taimi al-Bakri Ibn Khatib al-Ray (w.606 H), melalui kitabnya Asas al-Taqdis, al-Matalib al-'Aliyah dan lain-lain.

3- Al-Tafwid

Beberapa para pembesar al-Asya'irah di akhir hayat mereka cuba untuk kembali kepada manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam menetapkan sifat ALLAH Ta'ala atau sekurang-kurangnya kembali kepada manhaj Mutaqaddimin al-Asya'irah (AlKullabiah) namun ada antara mereka yang tersasar lalu terjebak dalam akidah yang dinamakan Tafwid atau disebut (Ahlu Tajhil) yakni menurut mereka; Sifat-sifat Khabriah seperti Istiwa', Nuzul. Yad, Wajh dll ditetapkan bagi ALLAH lafaznya namun makna dan kaifiat diserahkan kepada ALLAH dengan iktiqad setiap lafaz ini mempunyai makna yang menyalahi zahirnya yang hanya diketahui ALLAH.

Tokoh yang dikenali membawa Manhaj Tafwid ini adalah Abul Ma'ali al-Juwaini Imamul Haramain (w.478 H) [Lihat: Tabaqat al-Syafiiah al-Kubara, Taj al-Din alSubki, 5/191].

4- Al-Sufiah

Selain aliran Jahmiah, turut memberi kesan dalam mengubah haluan Manhaj alAsya'irah adalah ajaran Tasawuf Falsafi dan kesan ajaran ini juga boleh dijangka akan menguasai aliran al-Asya'irah kerana kedua-dua aliran: al-Asya'irah dan Tasawuf ini terbit dari satu punca iaitu: Falsafah dan Ilmu Kalam. (rujuk: Al-Tasawuf; al-Mansya' wal Masdar oleh Syeikh Ihsan Ilahi Zahir).

Kemasukan Tasawuf ke dalam al-Asya'irah adalah beriringan dengan masuknya Takwil apabila dibawa oleh Abul Qasim Abdul Karim al-Qusyairi (w.465 H) dan dia merupakan anak murid kepada Ibn Furak.

Al-Qusyairi dan anaknya Abdul Rahim, mempunyai peranan utama dalam menzahirkan Akidah Tajahhum (Jahmiah) dalam aliran al-Asya'irah melalui peristiwa fitnah yang masyhur berlaku antara Al-Asya'irah dan Ahlus Sunnah wal Jamaah (yang diwakili ketika itu oleh al-Hanabilah) di mana al-Asya'irah mula mencela alHanabilah dan menuduh mereka sebagai Mujassimah dan Musyabbihah.

Tuduhan ini sudah dijangka akan terpacul keluar daripada mulut al-Asya'irah kerana sudah menjadi simbol yang jelas mereka yang melazimi jalan Tajahhum dan Ta'thil[3] menamakan mereka yang menetapkan sifat sebagai musyabbihah seperti mana yang dilakukan oleh al-Muktazilah terhadap Ahlus Sunnah wal Jamaah bahkan kepada alAsya'irah al-Kullabiah.

Demikian juga kemasukan Tasawuf ke dalam aliran ini merupakan kelaziman yang hampir pasti berdasarkan hubungannya dengan aliran al-Kullabiah di mana salah seorang Ulama besar al-Kullabiah (al-Haris bin Asad al-Muhasibi) merupakan antara orang terawal yang berbicara berkenaan Tasawuf dan menulis kitab berkenaannya sehingga ada para pengkaji menyenaraikan al-Haris adalah Sufi terawal dalam Islam.

Kemuncak Tasawuf Asya'irah berada di tangan seorang lelaki yang diberi gelaran sebagai "Hujjatul Islam" iaitu al-Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h (w. 505 H) dan karya agung beliau adalah: Kitab Ihya' Ulumiddin.

Apa yang dibawa oleh al-Ghazali dengan nama Tasawuf ini sebenarnya adalah Ilmu Falsafah Yunani Greek yang lebih tinggi sehingga membawa kepada Hulul (bersatu Tuhan dengan Makhluk) sedangkan al-Asya'irah pada dasarnya mengingkari keberadaan Tuhan pada tempat.[4]

Aliran Tasawuf merupakan aliran yang mendapat sambutan meluas dalam kalangan pengikut Asya'irah dewasa ini dan kemuncak Tasawuf al-Asya'irah adalah mereka menjadi para penyembah kubur sebagaimana fenomena ini disaksikan semua terutama di "Bandar suci" al-Asya'irah; Mesir.

Rosaknya Tauhid al-Uluhiyah adalah natijah yang pasti bagi setiap mereka yang menyeleweng daripada kebenaran dalam Tauhid al-Asma' was Sifat kerana punca rosaknya Tauhid al-Uluhiyah/ al-Ibadah seseorang; rasa kurang hormatnya pada ALLAH dan rasa kurang hormat ini timbul dari kegagalan memahami nama-nama dan sifat-sifat ALLAH yang Agung dan Mulia.

Demikian juga penyelewengan dalam mentafsirkan makna (ILAH) di sisi Ulama Kalam membawa kepada kerosakan ini yang kita akan bahaskan insya-ALLAH dalam perbahasan berkenaan pandangan al-Asya'irah terhadap Tauhid al-Uluhiyah nanti.

Perkembangan al-Maturidiah

Al-Maturidiah melalui beberapa peringkat perkembangan yang disebut para pengkaji sebagai berikut (Al-Mausuah al-Muyassarah, WAMY, 1/95, al-Maturidiah Rabibatul Kullabiah, Muhammad bin Abdul Rahman al-Khamis):

1- Pengasasan dan Penubuhan: Peringkat ini merupakan peringkat di zaman Abu Mansur al-Maturidi sehingga kewafatan beliau pada 333 H dan ianya penuh dengan bantahan-bantahan Abu Mansur terhadap al-Muktazilah dengan hujah-hujah Ilmu Kalam yang mana melalui proses ini Abu Mansur membentuk akidahnya.

2- Pembentukan dan Perletakan usul dan kaedah [333 H-500 H]: Ini merupakan peringkat anak-anak murid Abu Mansur mula menyebarkan ajaran beliau dan menulis kitab-kitab yang menjelaskan asas-asas mazhab dan kaedah-kaedahnya. Antara tokoh utama di peringkat ini adalah; Abul Qasim Ishaq al-Hakim al-Samarqandi (w. 342) dan Abdul Karim al-Bazdawi (w.390 H).

Juga muncul pada peringkat kedua ini: Abul Yusr al-Bazdawi (w.493 H) yang mengarang Kitab: Usuluddin, yang merupakan kitab Akidah al-Maturidiah yang menjadi sandaran utama Mazhab.

3- Penulisan dan Karangan [500 – 700 H]: Pada peringkat ini, giat dilakukan penulisan dan penyebaran buku-buku Akidah al-Maturidiah sama ada yang membahaskan secara terperinci mahupun matan-matan yang ringkas. Maka muncul tokoh utama dalam peringkat ini: Abul Mu'in al-Nasafi (w.508 H) dan pada kitabnya: Tabsirah al-Adillah menjadi rujukan dan sandaran utama akidah al-Maturidiah.

Juga tokoh utama pada marhalah ini adalah: Najmuddin Umar al-Nasafi (w.537 H) pengarang al-Aqidah al-Nasafiah yang merupakan matan akidah utama al-Maturidiah.

4- Peringkat Perluasan dan Pengembangan [700-1300 H]: Pada peringkat ini, alMaturidiah menjadi Akidah Rasmi Daulah al-Usmaniah di Turki yang menguasai majority Negara-negara Islam, maka al-Maturidiah menjadi kuasa besar aliran pemikiran Umat Islam dan ini lebih lewat daripada al-Asya'irah yang telah pun menjadi kuasa besar Aliran Pemikiran dunia Islam semenjak zaman al-'Abbasiah.

Tokoh utama pada peringkat ini antaranya: Al-Kamal Bin al-Humam al-Hanafi, pengarang kitab Al-Musayarah fil Aqaid al-Munjiah dan beliau merupakan tokoh besar mazhab al-Hanafiah melalui kitabnya; Fathul Qadir.

Marhalah Tasawuf dan Keruntuhan Tauhid al-Uluhiyah di sisi Al-Maturidiah:

Sebagaimana yang telah menimpa nasib al-Asya'irah, kegemilangan al-Maturidiah dengan akal yang mereka sanjung-sanjungkan berakhir dengan kematian akal mereka lalu mereka menjadi penyembah kubur.

Marhalah kemasukan Tasawuf dalam al-Maturidiah diperanankan oleh 3 madrasah berikut:

1- Deobandiah yang muncul pada 1783 H dan antara kitab utama mereka: alMuhannad 'alal Mufannad oleh Khalil al-Saharanfuri. Madrasah ini disandarkan kepada Jamiah Deobandi yang diasaskan oleh Muhammad Qasim al-Nanatuwi dan terkenal dengan fokus mereka terhadap Ilmu Hadis.

2- Madrasah Berelwiyah: 1272 H, diasaskan oleh Ahmad Reda Khan al-Afghani yang digelar Abdul Mustafa (w.1340 H). Berelwiyah mencapai kemuncak keruntuhan Tauhid al-Uluhiyah apabila menjadi ajaran Penyembah Kubur Tulen.

3- Madrasah al-Kautsariah: Nisbah kepada Zahid al-Kautsari (w.1371 H) yang bermarkaz di Universiti al-Azhar al-Syarif dan madrasah ini terkenal dengan sikap 'panjang lidah' atas para Ulama Salaf seperti al-Imam Ibn Khuzaimah r.h, Imam alDaraqutni r.h, Imam Ishaq bin Rahuwaih r.h, Imam Ibn Battah r.h dan lain-lain Ulama Salaf. Al-Kautsari seolah-olah mengiystiharkan perang ke atas Ulama Salaf dan menzahirkan sejelas-jelasnya bahawa ajaran al-Maturidiah memang tiada kaitan dengan Ulama Salaf disamping terkenal juga dengan syirik kubur dan menyembah orang mati.

Ketiga-tiga Madrasah ini berhadapan dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang dihidupkan semula gerakannya oleh Al-Imam Syeikhul Islam Muhammad bin Abdul Wahab di Jazirah Arabiah, maka tidak hairanlah ketiga-tiga madrasah ini mempunyai pendirian yang sangat dalam kebenciannya terhadap apa yang mereka namakan sebagai: 'Wahhabi'.

Mazhab al-Maturidiah berbeza dengan Mazhab Al-Asya'irah yang bermula sebagai Ahli Kalam yang menetapkan Sifat, kemudian berpindah kepada menafikan sifat, almaturidiah sebaliknya telah pun dipengaruhi unsur-unsur Tajahhum (jahmiah) semenjak zaman pemgasasnya Abu Mansur al-Maturidi.

Hal ini jelas melalui kitab Abu Mansur yang dinamakan Takwil Ahlus Sunnah di mana beliau melakukan takwil terhadap ayat-ayat sifat [Lihat: al-Mausu'ah alMuyassarah.WAMY].

Demikian juga dalam kitab Al-Tauhid oleh Abu Mansur al-Maturidi, beliau tidak menetapkan Sifat al-Istiwa' dengan makna yang warid daripada Salaf, tetapi membolehkan Takwil padanya bahkan yang zahirnya Abu Mansur melakukan Tafwid dalam masalah ini. [Rujuk: Kita al-Tauhid, Abu Mansur al-Maturidi, 1/67].

Bahagian-bahagian al-Asya'irah dan al-Maturidiah

Dimaksudkan dengan perbahasan ini adalah; jenis-jenis manusia yang menisbahkan diri kepada dua aliran ini.

Para pengikut Manhaj al-Asya'irah dan al-Maturidiah terbahagi kepada:

1- Ahli Kalam: Mereka ini merupakan kepala dan ketua kelompok ini yang membentuk mazhabnya, mengasaskan kaedah-kaedahnya, menulis kitab-kitab untuk membela dan menyebarkannya dan pada mereka ini lah berlegarnya mazhab dan merupakan tokoh-tokoh sebenar aliran ini.

Antara mereka adalah:

Al-Asya'irah: Abu Bakr al-Baqilani, Abul Hasan al-Bahili, Fakhru al-Razi, AlGhazali, al-Iji, Ibn Furak, Imam al-Haramain, dan Al-Amidi.

Al-Maturidiah: Abdul Karim al-Bazdawi, Abul Yusr al-Bazdawi, Abu Ma'in alNasafi, Najmuddin al-Nasafi, Zahid al-Kautsari,dan Muhammad Abduh.

2- Ahli Hadis dan Fuqaha': Mereka ini merupakan Ulama yang melibatkan diri dalam bidang Ahli Hadis tetapi mengikut al-Asya'irah atau al-Maturidiah sebagai akidah dan mereka bukanlah dianggap sebagai tokoh utama yang berlegar padanya mazhab walaupun mereka mempunyai peranan besar dalam pengembangan mazhab.

Mereka ini terkenal dengan sikap sederhana dan tidak ta'assub kepada mazhab mereka, maka didapati dalam kalangan mereka ini, ada pendapat mereka yang menyalahi aliran mereka dan mereka menyetujui aliran al-Salafiah dalam menetapkan beberapa akidah.

Antara mereka ini adalah:

Al-Asya'irah: al-Baihaqi, al-Khattabi, Ibn 'Asakir, Abu Bakr Ibn al-Arabi, Al-Qurtubi, dan al-Sayuti.

Al-Maturidiah: Mulla 'Ali al-Qari dan al-Kashmiri.

3- Sufiah: Mereka ini adalah yang paling jauh daripada Islam dan mendekat kepada kekufuran dan syirik seperti; 'Alwi al-Maliki, Habib Al-Jufri, Habib Omar, dan kaum Deobandiah dan Berelwiyah.

Al-Asya'irah juga dapat dibahagikan kepada:

1- Mutaqaddimun: seperti al-Baqilani, al-Bahili, dan Ibn Furak. Al-Mutaqaddimun amat terkenal dengan hampirnya mereka kepada Manhaj Salaf dan kurang sikap Tajahhum (Jahmiah).

2- Al-Mutaakhirun: Yang dikehendaki adalah mereka yang datang selepas Fakhr alRazi, al-Iji dan al-Taftazani sehinggalah di zaman sekarang yang mana mereka ini terkenal denagn sikap Jahmiah yang tebal dan permusuhan dengan Ulama Salaf yang kuat.