• Mulai
  • Sebelumnya
  • 7 /
  • Selanjutnya
  • Selesai
  •  
  • Pengunjung: 23276 / Download: 757
Ukuran Ukuran Ukuran
ASAS-ASAS ILMU HADITS

ASAS-ASAS ILMU HADITS

pengarang:
Indonesia
ASAS-ASAS ILMU HADITS ASAS-ASAS ILMU HADITS

OLEH: AL BALAGH FOUNDATION

Pengenalan
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, dan selawat ke atas Penghulu segala nabi dan rasul, ahlul baitnya yang suci dan sahabat-sahabat yang mengikuti mereka dengan benar dan adil.Di riwayatkan bahawa Nabi SAWAW bersabda: "Semoga Allah menyinari seorang hamba yang mendengar kata-kataku dan memeliharanya, memahaminya dan menyebarkannya
sebagaimana yang dia dengar. Banyak kali seseorang membawa ilmu pengetahuan tanpa menjadi seorang ulama, dan banyak kali seseorang itu membawa ilmu pengetahuan kepada orang lain yang lebih berilmu pengetahuan daripada dirinya sendiri."

Barang siapa yang mengkaji secara teliti Sunnah Nabi SAWAW akan dapat mengetahui dan memahami nilai dan kepentingan ucapan-ucapan dan perisytiharan tersebut. Di samping kebijaksanaan, undang-undang dan limpahan budaya yang membawa kepada perubahan besar dalam hal ini, perubahan dalam daya intelek yang tinggi dan tamadun moden.
Lantaran itu, Sunnah Nabi sebagaimana yang difahami adalah kata-kata dan perbuatan dan juga keakuran Nabi SAWAW dan ia menjadi rujukan kedua dalam Syari'ah Islam selepas Kitab Suci Allah SWT.Maka al-Qur'an yang suci telah mewajibkan umat manusia untuk mengikuti dan beramal dengan ajaran-ajarannya.

Oleh yang demikian memelihara Sunnah di samping menjamin ia daripada sebarang perubahan dan penyelewengan adalah tanggungjawab yang besar demi memelihara ajaran-ajarannya. Pada pandangan ini, Imam-imam suci AS dan ulama-ulama telah berusaha keras dalam memelihara Sunnah daripada penyelewengan dan tafsiran yang salah.

Dan untuk generasi yang seterusnya, demi untuk mengetahui dan memahami Sunnah Nabi SAWAW dan kehidupannya secara praktikal, dan berpegang teguh kepada ideologi Islam di samping mengetahui peraturan dan undang-undang Islam sebagai satu cara hidup, maka adalah penting kepada mereka memberikan lebih usaha dalam penyebaran Sunnah dan mengembangkan kajian berhubung dengan perkara tersebut khususnya berhubung dengan Ilm al-Hadith.

Walaupun, generasi umat Islam masakini, tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang sewajarnya diharapkan sebagai umat Islam kerana kebanyakan pusat-pusat pengajian di dunia seperti di universiti dan kolej tidak mengambil berat tentang perkara ini.

Maka pada pandangan ini, Muasasah al-Balagh telah mengambil langkah untuk mendidik dan membawa pemuda-pemudi Islam kembali kepada Sunnah di samping Ilmu Hadith. Semoga buku ini dengan izin Allah Yang Maha Tinggi memberi manfaat kepada pembaca dan semoga Allah menerima amal-amal kami. Dialah Yang Maha Mendengar dan Lagi Maha Memberi Balasan.

MUASASAH AL-BALAGH

URL:http://www.balagh.com

e-mail:books@balagh.com


Sunnah Nabi SAWAW

Ta'rif Sunnah:
Ta'rif dari segi bahasa: Orang-orang Arab sebelum Islam, telah menggunakan perkataan 'Sunnah,' yang membawa maksud,'cara hidup dan perjalanan (sirah).'Razi menjelaskan 'Sunnah' sebagai perjalanan….[1]

Ia membawa maksud: satu cara hidup yang dipilih atau jalan.

Kisa'i berkata; Ia bermakna sesuatu yang berterusan atau berkesinambungan. Apabila kita berkata tentang Sunnah, ia membawa makna satu perilaku tindakan yang berkesinambungan…[2]

Tetapi apabila Islam datang al-Qur'an menggunakan istilah Sunnah dengan maksud yang khusus dan difahami. Di antara penggunaannya, firman Allah SWT:

"Yang demikian itu adalah menurut "Sunnatullah"(undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kai akan dapat sebarang perubahan bagi "Sunnatullah." [al-Ahzab 33:62]

"Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah".[al-Fatir 35: 43]

Al-Qur'an yang suci di sini menggunakan istilah "Sunnah" sebagai suatu kontrak sosial yang menentukan kegiatan seharian manusia dalam masyarakat.

Al-Qur'an turut mengetengahkan istilah 'Sunnah' dengan maksud-maksud tertentu, umpamanya sebagai istilah saintifik, dan juga budaya. Nabi SAWA menggunakan istilah 'Sunnah' sebagai satu istilah yang merujuk kepada kata-kata eliau, tindakan, penegasan dan syariah, justeru, 'Sunnah' membawa pengertian intelektual di samping syariah yang mempunyai kesan yang besar kepada kehidupan umat Islam.

Dan begitu juga al-Qur'an menggunakan istilah 'Sunnah' sebagai tambahan kepada kata nama Allah, misalnya 'sunnatullah' membawa maksud suatu jalan yang mengikuti undang-undang tabi'i mengikut kehendak Allah SWT dan ia berlaku setiap hari. Dan juga Nabi SAWA menggunakan istilah 'Sunnah' sebagai tambahan kepada peribadinya yang mulia yang membawa maksud segala perbuatan dan kata-katanya. Lantaran itu disebabkan penggunaan kata 'Sunnah' yang kerap digunakan oleh Nabi SAWA, ia merujuk kepada sesuatu maksud yang khusus. Maka dalam pandangan ini, istilah 'Sunnah' secara teknikal wujud dan dengan menyebut 'Sunnah' fikiran kita sudah mengetahui maksudnya itu.

Pengertian Sunnah Dari Segi Istilah
Nabi SAWA, adalah Rasulullah dan pendakwah Allah, juga sebagai orang yang memberikan penjelasan tentang Syariah. Lantaran itu umat Islam amat mengerti tentang peri pentingnya memelihara hadith-hadith Nabi, mempelajarinya dan memahaminya supaya ia menjadi sumber kepada pengambilan hukum Syari'ah. Hal ini disebabkan ia menjadi sumber rujukan yang kedua terpenting selepas Kitab Allah, al-Qur'an yang suci.

Di sini, kita akan menerangkan salah satu pengertiannya yang dikutip dari ahli hadith Fakhruddin Turaihi, beliau berkata, "Sunnah dari segi bahasa membawa maksud jalan atau cara hidup dan kata jamaknya ialah sunnan."

Pada golongan Sina'a (al-Sina'a adalah istilah ulama yang membawa maksud golongan yang amat fasih), ia bermaksud cara hidup Nabi,perbuatan( Fi'liyyah), kata-kata (Qawliyyah) dan keakurannya (Taqririyyah) dari dirinya sendiri atau dari seseorang yang telah diberikan mandat tersebut.[3]

Amadi, seorang ahli fiqh Mazhab Hanbali memberikan pengertian Sunnah sebagai: "Dari segi istilah ia membawa maksud sirah, maka sunnah seseorang adalah apa yang dia lakukan sama ada baik atau buruk."

Tetapi dari segi tekniknya, ia membawa maksud segala tindakan yang disarankan dan dilakukan oleh Nabi SAWAW.

Dan ia juga boleh dikatakan segala yang datang dari Nabi SAWAW daripada hujah-hujah syariah dan ia bukan mukjizat, atau apa-apa yang dalam lingkungan mukjizat, justeru ini adalah perkara yang dimaksudkan itu.

Dan ini meliputi; kata-kata, perbuatan dan keakuran (taqrir) Nabi SAWAW.[4]

Oleh yang demikian, "Sunnah" dari segi bahasa bermaksud jalan hidup, dan dari segi istilah, membawa pengertian kata-kata, tindakan dan keakuran (taqrir) Nabi SAWAW.

Dan kadang-kadang, Sunnah boleh juga disandarkan kepada segala perbuatan yang sunat dan tidak wajib yang dilakukan oleh Nabi SAWAW. Oleh yang demikian, ahli-ahli fiqh menggunakannya secara bertentangan dengan istilah bid'ah. Justeru, jika mereka berkata hal tersebut adalah satu Sunnah, mereka bermaksud sebarang undang-undang yang kembali kepada Usul al-Syariah[5], dan hal tersebut adalah bid'ah membawa pengertian sebarang bentuk penambahan
kepada hal agama yang berasal dari Usul al-Syariah.

Oleh yang demikian, kita selalu menyebut istilah Sunnah, tetapi, ia membawa pengertian yang tidak sama. Kadang-kadang ia membawa maksud kata-kata, perbuatan dan keakuran (taqririyyah) Nabi SAWAW, dan pada contoh yang lain, ia membawa pengertian bahawa Nabi SAWAW melakukan perbuatan sunat dan tidak wajib. Pada keadaan yang lain, ia membawa pengertian segala undang-undang yang berasal dari undang-undang syariah iaitu antitesis kepada sebarang perkara yang tidak berasal dari syariah iaitu apa yang dipanggil bid'ah. Justeru, ia dikatakan sesuatu itu sebagai Sunnah dan pada kebalikannya adalah sesuatu yang dianggap bid'ah.

Jenis-jenis Sunnah Nabi SAWAW
Sejak menerima wahyu daripada Malaikat Jibril di Mekah, Nabi SAWAW memulakan dakwah Islam dan menerangkan peraturan-peraturan dan undang-undang kepada orang ramai di samping beliau SAWAW sendiri mengamalkan apa yang beliau sampaikan. Perkara yang pertama, beliau SAWAW mengajarkan kepada orang Islam selain daripada Tawhid adalah wudhuk dan solat. Maka beliau meneruskan mengajar mereka peraturan-peraturan agama mereka, peraturan sosial, cara-cara berdakwah, juga cara-cara hidup bersama orang-orang bukan Islam, dan persekitaran mereka secara umum. Justeru, melalui penjelasan dan kata-kata beliau dalam soal-soal ibadah, sistem sosial, moral dan akhlak, cara-cara berdakwah dan tingkah laku mereka terhadap orang lain, telah berjaya membentuk sistem hidup yang agung.

Apabila beliau SAWAW berhijrah ke Madinah, ia menjadi sunnah yang amat berharga. Dan apabila beliau tinggal di Madinah, beliau meneruskan penjelasannya tentang syariah dalam hampir setiap khutbah, kata-kata, tulisan dan aktiviti hidupnya setiap hari. Maka perbuatan beliau dalam ibadah, pentadbiran, kehidupan dalam keluarga, sahabat-sahabat dan tindakan terhadap musuh-musuhnya dari kalangan Ahlul Kitab dan golongan kafir, pada masa peperangan atau aman, dan cara beliau SAWA mentadbir urusan umat, arahannya kepada tentera, penjelasannya terhadap peraturan-peraturan yang terkandung dalam al-Qur'an dan lain-lain, (semuanya itu) menunjukkan Sunnahnya dan satu cara hidup Islam.

Nabi SAWAW, di samping menjelaskan tentang syari'ah, berdakwah secara lisan dan amal, mengasaskan umat yang mempunyai sistem sosialnya yang tersendiri dalam urusan jual-beli, sewaan, perwarisan, pernikahan, perceraian, di mana beliau SAWA menerima sebahagian dan menolak yang lain berasaskan undang-undang Syari'ah yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, kadang-kadang beliau SAWAW mengesahkan tindakan sebahagian sahabat-sahabatnya dengan cara tidak menolaknya secara lisan atau amalan kerana ia selaras dengan asas-asas Syari'ah.

Menerusi kaedah ini Rasul SAWAW menjelaskan secara terperinci tentang isi kandungan al-Qur'an dan pengertiannya, selaras dengan tujuan dan matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT agar umat dapat memahami asas-asas wahyu suci tersebut.

Malahan, harta kenabian di kumpulkan dan ditulis dalam apa yang dipanggil kitab-kitab Hadith dan dibahagikan kepada tiga bentuk menurut cara mana ia dilaporkan dari Nabi SAWAW:

1. Kata-kata Kenabian: Ia adalah penjelasan lisan Nabi SAWAW daripada khutbah, perbincangan, petunjuk, soal-jawab dengan sahabat-sahabat, atau tulisan dan surat-surat beliau kepada orang lain yang meminta beliau SAWAW memberikan jawapan tentang beberapa soalan atau ingin mendapatkan penjelasan tentang pengertian ayat-ayat Qur'an. Amatlah diketahui ketika Nabi SAWAW ketika menyeru orang ramai kepada agama Islam, atau ketika menerangkan hal-hal Syari'ah, atau aqidah, bercakap dalam Bahasa Arab, dengan gaya bahasa yang mudah mereka fahami. Ucapan-ucapan beliau SAWAW yang ditujukan kepada mereka dalam pelbagai cara, kadang-kadang dalam kata-kata yang berterus terang dan kadang-kadang dalam bentuk kiasan, persamaan, umum atau khusus, luas atau terhad, arahan dan larangan dan sebagainya. Justeru, semuanya ini memerlukan satu pemahaman yang mendalam dan keadaan-keadaan yang menjadi latar belakang ketika undang-udang Syariah itu dilaksanakan oleh Nabi SAWAW.

2. Perbuatan Nabi SAWAW: Perbuatan Nabi SAWAW telah menjadi satu formula bagi ketetapan peraturan Syariah, nilai-nilai dan cara hidup Islam. Islam adalah satu sistem, juga satu ajaran untuk mencapai kesempurnaan hidup manusia, maka Nabi SAWAW adalah seorang pembina kehidupan dan seorang tokoh kepada segala peraturan Syari'ah dan segala tujuannya dalam bidang politik, ibadah, tatacara pendakwaan hukum, jihad, hubungan sosial dan sebagainya melalui contoh daripada perbuatan dan akhlak baginda SAWAW. Al-Quran yang suci memerintahkan umat supaya wajib mengikuti Nabi SAWAW dan menurut perintahnya SAWAW, kerana beliau SAWAW adalah seorang peribadi yang menjadi contoh teladan dengan setiap kata-kata, perbuatan dan keakuran beliau SAWAW dan juga disebabkan beliau SAWAW seorang yang maksum dalam segala tindakannya. Perintah Allah SWT dalam al-Qur'an, dalam ayat ke-7 Surah al-Hasyr (59); bermaksud, "Apa yang berikan oleh Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya." Dalam Surah Al-Ahzab (33): 21, Allah SWT berfirman, yang bermaksud, "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah." Lantaran itu segala perbuatan Nabi SAWAW menjadi sebahagian daripada Syari'ah, peraturan-peraturan dan nilai-nilai Islam.

Pengertian Kepada Sunnah Perbuatan (Fi'liyyah) Nabi SAWAW
Para ulama yang muktabar telah mengkaji secara terperinci segala perbuatan Nabi SAWAW supaya dapat diketahui dan diistinbatkan segala hukum dan peraturan Islam. Maka dengan itu kita dapat membahagikan perbuatan Nabi SAWAW kepada beberapa bahagian:

1. Perbuatan yang dikaitkan untuk dirinya sahaja, misalnya perkahwinan beliau SAWAW lebih daripada empat orang isteri, yang dilarang kepada orang lain.

2. Perbuatan beliau sebagai manusia seperti orang lain misalnya menggunakan bahasa yang sama seperti orang lain supaya dapat berkomunikasi dengan mereka, dan mereka dapat memahami kandungan perutusan beliau SAWAW.

3. Perbuatan beliau SAWAW sebagai mukallif seperti orang lain dan peraturan tentang perbuatannya itu secara umum sama seperti orang lain.

4. Perbuatan beliau SAWAW sebagai seorang Nabi kepada umat dan memandu mereka ke jalan yang benar.

5. Perbuatan beliau sebagai pemimpin umat Islam. Perbuatan ini boleh menjadi contoh kepada para pemimpin Islam pada
sepanjang zaman misalnya membuat perjanjian atau persetujuan bagi pihak umat Islam, mengisytiharkan perang
dan keamanan dan sebagainya.

Juseru, kesimpulannya dalam kajian kita tentang perbuatan Nabi SAWAW bahawa kedudukan beliau SAWAW sebagai Rasulullah SAWAW, sebagai seorang yang maksum, adalah tidak mungkin baginya melakukan perbuatan yang dilarang. Maka segala yang datang dari beliau SAWAW adalah sama ada sesuatu yang wajib atau harus. Dan apa yang beliau SAWAW tinggalkan adalah sesuatu yang tidak wajib dilakukan dan sebagainya. Justeru, segala perbuatan Nabi SAWAW hendaklah dikaji secara analitik dan maklumat yang luas untuk menjelaskan pengertian perbuatan beliau SAWAW itu supaya dapat diketahui sama ada ia sesuatu yang wajib, sunat, harus dan makruh. Dan adakah ia bermakna bahawa semua apa yang Nabi SAWAW tinggalkan adalah haram atau harus, kerana terdapat dua kemungkinan, peruntukan Syari'ah dalam setiap apa yang Nabi SAWAW tinggalkan, iaitu sama ada sesuatu yang haram atau harus, kerana adalah tidak mungkin bagi beliau SAWAW meninggalkan perkara tersebut apa-apa yang wajib. Lantaran itu, pembahagian ini akan membuka pintu yang luas untuk mengistinbatkan hukum, juga untuk mengetahui kedudukan sesuatu perbuatan itu sama ada ianya
wajib, harus dan haram.

Kadang-kadang, sebagai contoh, kata-kata (qawliyyah) Nabi SAWAW yang akan menerangkan perbuatannya atau keadaan beliau pada ketika perbuatan tersebut dilakukan. Oleh yang demikian kita akan mengetahui sama ada ia bersifat wajib, sunat, harus sesuatu perbuatan tersebut.

Maka, melalui penjelasan lisan atau keadaan, kita dapat memahami larangan dan keharusan sesuatu perbuatan dengan cara beliau menghindarkannya. Dengan menghindarkan perbuatan tersebut oleh Nabi SAWAW, ia membawa pengertian sesuatu perbuatan itu dilarang atau diharuskan.

3. Taqririyyah (keakuran): (Taqririyyah bermaksud sesuatu persetujuan tentang sesuatu perkara)[6]. Dari huraian ini, kita akan memahami bahawa keakuran Nabi SAWAW bermakna bahawa beliau SAWAW bersetuju tentang sesuatu perbuatan dan perkataan yang beliau lihat atau mendengarnya daripada seseorang atau kumpulan dan akur terhadap perbuatan tersebut. Justeru, hal ini menjadi tanda kepada penerimaan dan persetujuan beliau SAWAW, maka ia menjadi sebahagian daripada Sunnah dan Syariah disebabkan jika perbuatan-perbuatan dan kata-kata tersebut bertentangan dengan Syariah, beliau SAWAW akan menerangkan kepada mereka dan melarang mereka melakukannya.

Nabi SAWAW sebagai contoh mendapati orang ramai menerima riwayat yang disampaikan kepada mereka oleh seorang perawi sekiranya orang itu seorang yang tsiqah (dipercayai) dan beliau SAWAW berdiam diri tentang perkara ini tanpa menyatakan keakurannya. Lantaran itu, daripada sikap berdiam diri beliau SAWAW, kita memahami bahawa riwayat tersebut adalah sahih daripada seorang perawi sahaja, maka kita menerimanya sebagai hujah dan kemudian kita menerima riwayat yang dibawa oleh hanya seorang perawi dengan syarat orang ini adalah seorang yang tsiqah. Maka, kita tidak menetapkan syarat untuk menerima hadith Nabi SAWAW atau dari Imam-imam AS adalah dua orang atau lebih. Justeru, jika seseorang atau kumpulan melakukan sesuatu di hadapan Nabi SAWAW atau dia mendengar tentang hal tersebut, tetapi beliau SAWAW tidak mengiyakanya atau mencegahnya, maka perbuatan tersebut adalah harus di sisi syarak. Ini disebabkan diamnya beliau SAWAW, dan tidak melarangnya tentang hal tersebut membuktikan penerimaan dan persetujuan beliau SAWAW tentang hal tersebut. Maka perkara ini menjadi hujah kepada kedudkannya di sisi Syariah, dan menjadi hujah dalam mengistinbatkan hukum Syari'ah.

Ketika mengkaji hadith Nabi SAWAW, kita mendapati semua undang-undang, konsep dan pandangan lahir disebabkan cara kata-kata tersebut digunakan, juga menurut bagaimana bentuk penjelasan yang diucapkan. Dan kaedah-kaedah ini dibahagikan kepada tiga keadaan, iaitu:

A. Nas : Sebutan yang digunakan membawa pengertian tertentu tanpa kemungkinan membawa pengertian yang lain disebabkan nahu, atau disebabkan penemuan bukti bahawa perkataan itu membawa pengertian tertentu, umpamanya hadith Nabi SAWAW: "Apabila seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, maka dia hendaklah tidak menzaliminya, menafikan haknya, atau mengumpatnya, atau menipunya dan juga dia tidak menjauhinya."[7]

B. Mujmal: Mujmal membawa maksud: "Satu perkataan yang tidak membawa pengertian khusus yang tertentu."[8] [Nota: Contohnya al-Qur'an, Surah al-Baqarah:3, "dirikanlah solat." Tetapi cara mengerjakan solat itu tidak diterangkan secara terperinci dalam al-Qur'an] Ia adalah perkataan mengikut peraturan nahu tatabahasa mempunyai lebih daripada satu makna yang sama. Perkataan-perkataan ini dapat ditemui dalam contoh-contoh hadith Nabi SAWAW, yang mempunyai makna yang sama, misalnya, "Mushtarik Lafdhi" yang juga ditemui dalam riwayat-riwayat dan hadith-hadith. Walau bagaimanapun lantaran kita percaya salah satu daripada pengertian-pengertian tersebut adalah yang dikehendaki, dan alasan itu menjadi bukti dalam penerimaan pengertian yang bermacam-macam, tetapi pengertian yang dikehendaki itu tidak dijelaskan supaya kita dapat membezakannya daripada pengertian yang lain, maka cara untuk menentukan pengertian yang sebenarnya itu adalah bergantung kepada pengertian-pengertian yang lain untuk menentukan pengertian yang dikehendaki itu.

C. Dhahir: Kadang-kadang sesuatu perkataan yang diucapkan oleh Nabi SAWAW mempunyai kemampuan membawa dua pengertian yang berbeza, tetapi apabila mendengar atau membaca perkataan tersebut, salah satu daripada pengertian tersebut akan muncul dahulu dalam fikiran kita. Ini mungkin disebabkan oleh sesuatu sebab, supaya pengertian perkataan itu akan dapat ditanggap secara terus terang. Maka manifestasi daripada perkataan yang muncul (Dhuhur) itu adalah menjadi hujah pada pandangan Syari'ah Islam. Ini disebabkan Nabi SAWAW sering menyampaikan kepada orang ramai dan menjelaskan sesuatu perkara kepada mereka mengikut cara mereka berfikir, sebagaimana al-Qur'an turut menerangkan hal ini: "Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka....(Ibrahim [14]: 4).

Berhubung dengan perkara ini para Fuqaha' telah menetapkan satu kaedah saintifik untuk memahami hadith-hadith Nabi SAWAW dan menamakannya sebagai "Hujjiyah Dhuhur" misalnya, apa yang kita fahami daripada kata-kata Nabi SAWAW menurut budaya orang-orang Arab adalah satu hujah dan bukti. Hal ini disebabkan memahami budaya Arab akan dapat membantu kita memahami kata-kata Nabi , dan demikian juga memahami Syari'ah Islam dan ideologinya yang lahir daripada pelbagai bentuk dan tidak boleh difahami melainkan dengan mengkaji budaya orang-orang Arab dan nahu tatabahasa mereka.

1
PELAJARAN 14

Sunnah: Sumber Pemikiran dan Syari'ah Islam
Syari'ah Islam adalah satu kumpulan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT supaya manusia dapat mengatur kehidupan mereka.

Pemikiran Islam: adalah satu kumpulan ilmu pengetahuan dan pengajaran yang diambil daripada ajaran Islam, misalnya dalam bidang ekonomi dan politik, falsafah, prinsip-prinsip perundangan, akhlak, tafsir dan sebagainya dan al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW menjadi dua sumber kepada pemikiran dan perundangan Islam. Malahan al-Qur'an dalam banyak tempat menyajikan dengan terang benderang kedudukan Sunnah dalam perkara ini, firman Allah SWT: "Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)." (An-Najm [53]:3-5)
Firman Allah SWT: "Katakanlah; "Tidaklah patut bagiku menggantinya dari pihak diriku sendiri. Aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku." (Yunus [10]: 15)

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah." (al-Ahzab [33]: 21)

"Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri di antara kamu Kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul...." (an-Nisa [4]: 59)

"Katakanlah: Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (Nur [24]: 54)

"Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka." (Ibrahim [14]: 4)

Justeru, dengan ini al-Qur'an menerangkan dan menjelaskan peranan Sunnah dan apa yang datang daripada Nabi SAWAW sebagai sebagai sebahagian dariapada wahyu Allah SWT (ajaran Islam).

Maka menurut garis panduan yang ditentukan oleh al-Qur'an, pengertian Sunnah menurut para Imam AS adalah sebagai sumber kedua dalam Syariah Islam dan ajaran-ajarannya. Berkenaan dengan hal ini, Imam Ja'far al-Sadiq AS, cicit kepada Nabi SAWAW berkata:

"Tidak ada sesuatu yang tiada melainkan telah diterangkan dalam Kitab Allah dan Sunnah.'[9]

Dan juga diriwayatkan daripada beliau AS, bahawa: "Segala sesuatu kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah, tetapi hadith-hadith yang bercanggah dengan Kitab Allah adalah sesuatu yang diada-adakan (maudhuk)."[10]

Dan juga diriwayatkan daripada Imam Musa al-Kadzim AS ketika menjawab pertanyaan salah seorang pengikutnya; "Adakah segala sesuatu ada dalam Kitab Allah dan Sunnah Nabi?" Beliau AS menjawab: "Sudah tentu, segala sesuatu ada dalam Kitab Allah dan Sunnah Nabi."[11]

Dan juga diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir AS bahawa: "Segala sesuatu melewati sunnah adalah kembali kepada Sunnah." [12]

Walau bagaimanapun, ketika membaca kitab-kitab fiqh dan ahkam, kita mendapati Sunnah menjadi sumber yang lazim digunakan. Hal ini disebabkan al-Qur'an tidak menjelaskan secara terperinci setiap hukum-hukum dan peraturan Syariah kecuali asas-asasnya sahaja, justeru Nabi SAWAW sebagai Rasulullah dan orang yang paling mengetahui al-Qur'an daripada orang lain, mengambil tanggungjawab menjelaskan setiap sudut ajaran dan peraturan-peraturan yang terkandung dalam al-Qur'an.

Sebagai contoh, al-Qur'an menerangkan tentang pengeluaran zakat:
"Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka..." (Al-Taubah [9]: 103)

Apabila ayat ini diturunkan, Nabi SAWAW menjelaskan hukum-hukum tentang zakat dan juga tentang benda-benda yang diwajibkan zakat, jumlah, jangka masa wajib dikeluarkan zakat, hukum-hukum tentang pengurusan berkaitan dengan zakat dan sebagainya.
Dan juga tentang Haji apabila ianya diwajibkan ke atas umat Islam, maka Nabi SAWAW yang menjelaskan kepada umat Islam tatacara mengerjakannya dengan bersabda: "Pelajari Haji kalian daripadaku."

Dan begitu juga ketika Nabi SAWAW menerangkan tentang hukum-hukum puasa, solat, perniagaan, pernikahan, urusan bank, perjanjian-perjanjian, peraturan dalam peperangan, undang-undang tanah, syarikat, sewaan, pinjaman dan sebagainya. Malahan sesiapa yang mengkaji hubungan yang wujud di antara Kitab Allah dan Sunnah akan mendapati kedua sumber itu tidak akan dapat dipisahkan samasekali.

Sebagai contoh, undang-undang yang menjadi pegangan masyarakat adalah asas perlembagaan kepada masyarakat tersebut, tetapi undang-undang awam yang digubal akan dianggap sebagai perincian kepada perlembagaan Undang-undang awam yang digubal itu pada hakikatnya berada dalam kerangka perlembagaan yang menjadi pegangan dalam masyarakat tersebut. Maka menjadi tugas kepada penggubal undang-undang untuk menjelaskan atau memberikan perincian tentang undang-undang tersebut agar selaras dengan perlembagaan yang menjadi asas kepada perundangan dalam masyarakat tersebut.

Walau bagaimanapun, Nabi SAWAW yang menjadi orang yang ditarbiyyah oleh Allah SWT, tidak menggubal undang-undangnya sendiri atau menerangkan setiap hukum-hakam dan undang-undang kehidupan kecuali apa yang telah diajarkan atau diperintah oleh Allah SWT. Maka apa sahaja yang datang daripada beliau SAWAW sebenarnya merupakan perkara yang beliau perolehi daripada Allah SWT. Kesimpulannya, sumber Sunnah adalah:

Sama ada isi kandungannya itu daripada Kitab Allah, ajaran tersebut diwahyukan kepada Nabi SAWAW dan beliau SAWAW amat memahaminya isi kandungannya. Atau beliau SAWA akan diajar oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril AS.

Para ulama Islam telah menerima hukum-hakam dan undang-undang Syariah yang ditetapkan oleh Nabi SAWAW iaitu hasil daripada istinbat Nabi daripada apa yang diwahyukan oleh Allah SWT. Istinbat ini menurut mazhab Sunni sebagai Ijtihad al-Rasul SAWAW. Namun jika kita menerima istilah ini, maka ijtihad Nabi SAWAW tidak sama dengan ijtihad Fuqaha yang mungkin boleh menjurus kepada dua kemungkinan iaitu betul atau salah. Ijtihad Nabi SAWAW adalah benar semata-mata tanpa sebarang keraguan sekalipun iaitu "Hukmu Allah a-Waqi'i." Segala undang-undang yang diistinbatkan oleh Nabi SAWAW adalah pengambilan daripada asas Syariah dan sumbernya telah diwahyukan kepadanya dan beliau SAWAW adalah orang yang paling mengetahui tentang hal tersebut.

Muhaqqiq Hilli telah menyatakan dengan panjang lebar tentang sahnya undang-undang yang diistinbatkan oleh Nabi SAWAW melalui proses "Ijtihad" dan tida melalui proses "Qiyas", dengan berkata: "Kami tidak membenarkannya (Qiyas) walaupun kami tidak mengetahui kejadiannya." Berhubung dengan hal ini (Qiyas), adalah mungkin baginya melakukan kesalahan dalam itjihadnya. Namun demikian, ijtihad Nabi SAWAW adalah diterima berdasarkan kepada: Pertama; dia adalah maksum dari melakukan kesalahan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Kedua, kita diperintahkan patuh kepadanya, maka jika berlaku kesalahan itu datang daripadanya maka kita akan dipaksa mengamalkan dengan kesalahan tersebut. Ketiga, jika hal itu mungkin, maka tidak ada lagi keyakinan dalam perintah dan larangannya yang akan mengakibatkan kita hilang kepercayaan kepadanya."[13]

Apabila kita meneliti akan istilah-istilah Sunnah, kita pasti dapati banyak contoh Nabi SAWAW mengistinbatkan hukum-hukum daripada al-Qur'an. Sebagai contoh Hadith "Raf" yang menjadi satu formula dalam Syariah Islam. Diriwayatkan bahawa Nabi SAWAW bersabda:
"Sembilan perkara dimaafkan daripada umatku: kesilapan, lupa, perkara yang mereka tidak sedari, perkara yang mereka tidak mampu melakukan, apa yang menjadi wajib kepada mereka, perkara yang mereka dipaksa melakukan, keraguan tentang penciptaan melainkan…"

Jika kita mengkaji prinsip undang-undang, kita akan dapati bahawa asasnya adalah diambil daripada Kitab Allah, sama ada secara langsung atau melalui prinsipnya sahaja. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman:
"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Ahzab
[33]: 5)

"Kami tidak akan mengazabkan sebelum Kami mengutus seorang rasul." (al-Israa [17]: 12)

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum sesudah Allah memberikan petunjuk kepada mereka hingga dijelaskanNya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (at-Taubah [33]: 115)

"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (al-Baqarah [2]: 286)

"Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan apa yang Allah berikan kepadanya." (at-Thalaq {65]: 7)

"Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa sedang ia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah [2]: 173)

"Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman, kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman…." (an-Nahl [16]: 106)

Imam Sadiq AS ketika menerangkan bimbingan yang perolehi oleh Nabi SAWAW daripada Ruhul Qudus (Jibril) berkata:
"Nabi yang suci dibimbing oleh Ruhul Qudus, justeru dia tidak mungkin melakukan kesalahan dalam segala perkara daripada bisikan(oleh Iblis)."[14]

Sunnah Sahabah
Istilah Sahabah atau Ashab digunakan oleh umat Islam sebagai satu penghormatan kepada orang-orang Islam yang hidup bersama dan bersahabat dengan Nabi SAWAW. Mazhab-mazhab Islam berbeza pendapat tentang syarat-syarat untuk dikategorikan seseorang itu sebagai sahabat. Ada yang berpendapat setiap orang Islam yang melihat Nabi SAWAW pada masa hidupnya adalah seorang sahabi (sahabat). Ada yang menetapkan syarat bahawa seseorang itu hendaklah hidup bersama-sama Nabi SAWA dalam jangka masa yang panjang sebagai sahabat. Majoriti dari kalangan mereka, berpendapat setiap kumpulan orang Islam yang hidup bersama-sama Nabi SAWAW untuk sesuatu ketika boleh dikategorikan sebagai sahabat. Kerabat terdekat, teman-teman rapatnya, pembantu-pembantunya, juga orang-orang Islam lainnya yang melihatnya walaupun hanya sekali lazimnya termasuk dalam golongan Sahabah. Sahabat-sahabatlah yang meriwayatkan hadith-hadith daripada Nabi Muhammad SAWAW. Hadith-hadith disandarkan kepada mereka melalui golongan Tabi'un, pengikut-pengikut dan teman-teman mereka yang meriwayatkan hadith-hadith. Kesahihan hadith-hadith yang dikumpulkan oleh ulama Islam pada generasi terkemudian bergantung kepada peribadi mereka (sahabat) yang tsiqah (dipercayai).[15]

Semua mazhab Islam bersetuju bahawa Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAWAW merupakan dua sumber kepada Syariah Islam dan ajarannya.

Malahan, keyakinan ini adalah di antara keyakinan yang tidak boleh dipersoalkan lagi dalam agama Islam dan perkara yang menjadi pegangan umat Islam sejak dari zaman Nabi SAWAW.

Tetapi selepas kewafatan Nabi SAWAW dan terjadinya perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa baru di mana nas tidak menyatakannya secara langsung, umat Islam berasa perlu untuk memahami hukum-hakam yang berkaitan dengan hal-hal tersebut.

Umat Islam pada masa itu merujuk kepada ulama di kalangan sahabat. Mereka memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan dan kadang-kadang jawapan yang diberikan adalah betul dan kadang-kadang disebaliknya. Lantaran itu ia dipanggil Madhab Sahabi.

Kadang-kadang mereka mengikuti cara-cara ibadah, amalan politik dan kewangan sahabat-sahabat. Ini dipanggil "Sunnah Para Sahabat."

Tetapi kemudian, umat Islam berpecah kepada Hujjiyah "Madhab Sahabi" dan Sunnah mereka. Kita dapat menyusun asas-asas kepada pembahagian ini sebagai berikut:

1. definisi Sahabat.
2. Ruang lingkup Hujjiyah Sunnah Sahabat dan mazhab mereka
dan menganggapnya sebagai sumber Syariah.
3. Hujjiyah bergantung kepad ilmu pengetahun dan sifat adil,maka dialog dan kontrovesi timbul berkenaan dengan dua idea ini.

Malahan, berkenaan hal ini, terjadi sebuah dialog di antara dua kumpulan ini. Kumpulan yang mengambil Hujjiyah "Sunat Sahabi" dan kumpulan yang berpendapat bahawa perbuatan sahabat bukanlah sumber kepada Syari'ah, apatah lagi jika menjadikan mereka sebagai penghurai kepada Sunnah Nabi SAWAW.

Definisi istilah seorang "Sahabi" bermaksud: Seseorang yang menjadi sahabat kepada seseorang yang lain atau seekor haiwan atau tempat atau pada jangka masa tertentu. Tidak ada perbezaan sama ada persahabatan itu dalam bentuk dirinya atau dengan niat tertentu tetapi lazimnya seorang sahabat itu adalah orang yang paling dekat kepada seseorang itu.

Maka daripda definisi ini, kita memahami bahawa pengertian sahabat lazimnya merujuk kepada seseorang yang hidup lama bersama Nabi SAWAW.

Dan inilah definisi yang diambil oleh mazhab Ahlul Bait AS. Apabila Ibn Hajr Asqalani al-Shafie memberikan definisi Sahabi sebagai berikut: "Seseorang yang berjumpa Nabi SAWAW yang beriman kepadanya dan meninggal dalam keadaan Islam, dan ini termasuklah seseorang yang hidup dalam jangka masa yang lama dengan beliau SAWAW atau sekurang-kurangnya pada jangka masa yang singkat, sama ada beliau meriwayatkan hadith atau tidak, berperang bersamanya SAWAW atau tidak, dan bagi mereka yang melihat beliau SAWAW dan tidak hidup bersama-sama dengannya, dan juga bagi mereka yang tidak melihat beliau SAWAW disebabkan cacat penglihatan."[17]

Ibn Hajr Sharn Burhan meriwayatkan definisi lain daripada Mazari, dia berkata: "Apabila kita berkata Sahabat yang adil kita tidak bermaksud seseorang yang melihat Nabi SAWAW dalam satu hari, atau yang sering menziarahi beliau SAWAW, atau yang menemui beliau SAWAW untuk sesuatu tujuan dan kemudian meninggalkan beliau SAWAW tetapi apa yang kami maksudkan adalah mereka yang hidup bersama beliau SAWAW, memuliakan beliau SAWAW, membantu beliau SAWAW, mengikuti cahaya petunjuk yang diturunkan kepada beliau SAWAW."[18]

Lantaran itu, definisi Mazari ini secocok dengan definisi yang diberikan oleh Ahlul Bait. Bukanlah definisi sahabat itu orang yang sekadar melihat Nabi SAWAW atau menziarahi beliau pada satu masa. Tetapi seorang Sahabai adalah orang yang tinggal bersama beliau SAWAW, membantu beliau SAWAW, hidup bersama beliau pada suatu jangka masa yang panjang, mengamalkan Sunnah, dan mengikuti jalan beliau yang lurus dan diredhai Allah SWT.

Walau bagaimanapun ulama mazhab telah berbeza pendapat tentang definisi Sahabat, seperti juga mereka berselisih pendapat tentang Hujiyyah Sunnah Sahabat. Ulama dari Mazhab Imamiyyah Ahlul Bait iaitu pengikut Imam Ali dan itrah Nabi SAWAW berpendapat kelemahan "Hujiyyah" Sunnah Sahabat dan mazhab yang mengikutinya.

Hal ini disebabkan terdapat banyak percanggahan dalam perbuatan dan amalan Sahabat-sahabat. Setiap seorang daripada mereka mempunyai jalan dan mazhabnya sendiri, dan di kalangan mereka tidak mahu mengikuti Sunnah sesama mereka (seorang sahabat tidak mahu mengikuti Sunnah sahabat yang lain).

Sebagai contoh, Imam Ali AS menolak untuk mengikut jalan yang dibawa oleh Shaikhain iaitu Abu Bakar dan Umar. Ahli sejarah meriwayatkan bahawa selepas kewafatan Umar bin Khattab, Abdul Rahman bin Auf menemui Imam Ali bin Abi Talib AS, berkata: "Kami memerintahkan anda demi Allah, jika kami melantik anda sebagai khalifah, anda hendaklah mengikuti Kitab Allah, Sunnah Nabi dan sunnah Abu Bakar dan Umar. Kemudian Ali AS menjawab: "Aku akan memerintah mengikut Kitab Allah dan Sunnah Nabinya mengikut kemampuanku."[19]

Kemudian Abdul Rahman bin Auf datang menemui beliau AS kali kedua untuk tujuan yang sama tetapi Ali AS menjawab sebagaimana jawapan yang diberikan pada kali pertama. Kemudian dia menemui beliau AS buat kali ketiga dan mengemukakan permintaan yang sama darinya, dan beliau AS menjawab:

"Sudah pasti Kitab Allah dan Sunnah Nabi tidak memerlukan sokongan daripada (pendapat) orang lain. Tolong jauhkan perkara ini daripadaku."[20]

Apabila Ali AS menolak tawaran ini, Uthman menerimanya dan menjadi khalifah, tetapi beliau sendiri tidak juga mengikuti Sunnah Umar.

Imam Ali AS pada ketika beliau AS menjadi khalifah, banyak merubah Sunnah Uthman….dan sebagainya.

Adalah jelas kepada kita semua peristiwa yang menolak Sunnah para sahabat sesama mereka, disebabkan mereka tidak menyakini sesama mereka adalah golongan yang maksum. Bahkan perbuatan seorang Sahabat boleh jadi betul atau salah.

Sesungguhnya sejarah menjadi saksi kepada semua peristiwa yang telah kami kemukakan tadi, khususnya apa yang diriwayatkan kepada kita tentang pertumpahan darah dan peperangan yang dahsyat yang berlaku di antara mereka disebabkan kesalahfahaman yang berlaku di antara Sahabat.

Walau bagaimanapun pada ketika umat Islam bercanggah pendapat tentang hujjiyah Sunnah Sahabi, mereka turut bercanggah pendapat tentang hujjiyah dari mazhab mereka, misalnya tindakan dan fatwa yang datang daripada mereka yang mana sumbernya tidak diketahui. Ada di kalangan ulama dan Imam mazhab berpandangan ia sebagai
hujjah dan di kalangan ulama yang menolaknya.

Di antara mereka yang menolak hujjiyah ialah al-Ghazali, yang berkata: "Kata-kata orang-orang yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan lupa, dan tidak mempunyai sifat maksum tidak boleh menjadi hujjah. Bagaimana mungkin kata-katanya menjadi hujjah sedangkan dia tidak bebas daripada melakukan kesalahan? Bagaimana mungkin dia bebas daripada melakukan kesalahan jika tidak ada hujah yang menyokong dalil tersebut. Bagaimana mungkin diri seseorang itu suci (bebas dari kesalahan) tetapi bercanggah sesama mereka? Bagaimana mungkin dua orang yang suci bertentangan di antara mereka?

Bagaimanakah seorang sahabat menerima keputusan yang menentang sahabat yang lain? Hal ini kerana Abu Bakar dan Umar tidak menentang orang-orang yang bertentangan dengan mereka dalam Ijtihad tetapi mereka menerima setiap orang mempunyai hak untuk mengikut Ijtihadnya sendiri.

Justeru, disebabkan mereka tidak mempunyai sifat maksum, terjadinya pertentangan dan perpecahan di antara mereka, dan perisytiharan mereka membuat penentangan sesama sendiri adalah tiga bukti yang jelas kelemahan hujjiyah Mazhab Sahabi.[21]
Setelah kita membaca pendapat al-Ghazali berkenaan Mazhab Sahabi, marilah kita melihat pandangan al-Amadi, seorang Hanbali dan pandangan-pandangan lain berkenaan perkara tersebut. Beliau berkata:
"Semua bersetuju bahawa pandanga Mazhab Sahabi tentang Ijtihad tidaklah menjadi hujah kepada ulama lain sama ada dia seorang ketua, hakim atau mufti. Tetapi mereka bercanggah pendapat sama ada ia menjadi hujah kepada para pengikut mereka. Ada yang berpendapat ia sebagai hujah sedangkan yang lain seperti golongan Asyai'rah, Mu'tazilah, Ahmad bin Hanbal dan Karkhi bersetuju bahawa ia tidaklah menjadi hujah…dan secara luas diterima bahawa ia mempunyai kelemahan hujjiyyah…"[22]
"Jika sudah diterima bahawa Mazhab Sahabi tidak menjadi hujah yang wajib dikuti, maka sama ada diizinkan kepada orang lain mengikutinya atau tidak; pendapat yang luas diterima ialah tidak sahnya hal tersebut."[23]

Sunnah Ahlul Bait AS
Pengikut Ahlul Bait AS berpendapat Sunnah Imam Ali bin Abi Talib AS, kedua puteranya, Hasan dan Husayn AS dan para Imam daripada keturunan Husayn AS merupakan satu kesinambungan Sunnah Nabi SAWAW dan ucapan mereka, adalah sumber Syari'ah selepas Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAWAW.

Ulama dari Mazhab Ahlul Bait AS telah menetapkan asas ini disebabkan sifat maksum mereka AS sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW. Kedudukan mereka tidak dapat dipisahkan dari al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW dan Nabi SAWAW telah memerintahkan umat supaya taat kepada mereka selepas beliau SAWAW. Di antara hujah-hujah ini ialah firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah hendak mengeluarkan kekotoran daripada kalian wahai Ahlul Bait dan membersikan kalian dengan sebersih-bersihnya." (al-Ahzab [33]; 33)
Berkenaan dengan ayat ini, terdapat banyak riwayat hadith dan tafsir menunjukkan bahawa ayat ini diturunkan kepada Ahlul Bait AS, iaitu Ali, Fatimah, Hasan dan Husayn AS.

Al-Suyuti, dalam kitabnya Dur al-Manthur berkata:
"Tabrani telah meriwayatkannya daripada Umm Salamah bahawa Nabi SAWAW berkata kepada Fatimah: Bawakan suami kamu dan kedua orang puteranya, dan dia (Fatimah) memanggil mereka. Kemudian beliau SAWAW menyelimutkan jubah ke atas mereka dan meletakkan tangannya ke atas mereka: "Wahai Allah, mereka adalah Ahlul Bait Muhammad (Ahl Muhammad) - dan dalam kata-kata lain Al Muhammad - maka anugerahi barkahMu kepada keluarga Muhammad, sebagai Engkau memberikan keberkatan kepada keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Agong dan Maha Suci."

Kemudian Ummu Salamah berkata: "Aku mengangkat jubah itu supaya dapat bersama dengan mereka tetapi dia (Nabi) menjauhkannya daripada tanganku dan berkata: "Kamu berada dalam kebaikan."

Dan Tirmidhi meriwayatkan: "Ayat al-Tathir telah diriwayatkan di rumah Ummu Salamah. Apabila ayat ini diturunkan, Nabi SAWAW memanggil Fatimah, Hasan dan Husayn dan Ali dan menyelimutkan mereka dengan jubah dan bersabda: "Wahai Allah mereka adalah Ahlul Baitku maka bersihkanlah mereka daripada kekotoran dan sucikan mereka dengan sebersih-bersihnya."

Ummu Salamah berkata: "Dan adakah aku bersama mereka wahai Rasulullah? Beliau SAWAW berkata: "Kamu berada di dalam kebaikan."

Dan pandangan mereka ini disokong dengan hadith Nabi SAWAW. Ahmad bin Hanbal dan Abu Ya'la telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Nabi SAWAW telah bersabda pada Haji Wida': "Wahai manusia aku seakan dipanggil (oleh Allah) dan saatnya telah semakin hampir untukku menjawab panggilan, aku tinggalkan kepada kalian dua perkara berat (tsaqalain): Kitab Allah dan itrahku, Ahlul Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui
telah memberitahu kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan berpisah sehinggalah menemuiku di telaga. Maka perhatikan apa yang kalian lakukan kepada mereka selepas peninggalanku."[24]

Imam Ja'far al-Sadiq AS telah menggariskan sumber Syari'ah pada pandangan Imam-Imam Ahlul Bait AS sebagai berikut: "Sura bin Kulaib berkata: "Aku bertanya kepada Abu Abdullah dengan apakah Imam memberikan fatwa? Dia menjawab: "Dengan Kitab Allah." Aku berkata, "jika tidak ada dalam Kitab Allah? Dia berkata: "Dengan Sunnah." Aku mengulangi soalan tersebut dua atau tiga kali dan dia berkata, "tetapi kamu berfikir tidak sedemikian." [25]

Dan telah diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir AS bahawa dia berkata kepada Jabir, salah seorang sahabat Nabi SAWAW: "Wahai Jabir, jika dikatakan kami memberikan fatwa kepada orang ramai dengan pendapat kami sendiri demi kepentingan diri sendiri, maka kami akan menjadi salah satu daripada golongan yang sesat, tetapi kami memberikan fatwa dengan Sunnah Rasulullah SAWAW dan asas ilmu pengetahuan kami adalah kami warisi daripadanya.
Kami menyimpannya seperti mana orang menyimpan emas dan perak." [26]

Lantaran itu, daripada perbincangan ini, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa apa yang datang daripada para Imam AS tidak bercanggah dengan Kitab Allah. Malahan ia adalah penjelasan kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Justeru, ia menjadi asas kepada Syari'ah dan merupakan sumbernya yang penting.

2
PELAJARAN 14

Hadith-hadith Palsu
Tidak dapat dinafikanWahyu Allah SWT turut mengalami penyelewengan dan pemalsuan. Orang-orang Yahudi telah menyelewengkan Kitab Taurat manakala orang-orang Nasara telah menyelewengkan Kitab Injil. Walau bagaimanapun Kitab Suci al-Qur'an merupakan satu-satunya Kitab Suci yang Allah SWT memberikan jaminanNya perlindunganNya bebas daripada sebarang penyelewengan. Firman Allah SWT:

"Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Qur'an) dan bagi Kamilah yang memeliharanya (daripada penyelewengan)." (al-Hijr [15] :9)
"Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkan (di dadamu) dan (membuatmu) membacanya." (al-Qiyamah [75]: 17)

Sesungguhnya Ummah, sejak dari generasi ke satu generasi, telah bertungkus-lumus membaca, menghafal dan mempelajari dan menulis Kitab Agung ini. Malahan Allah SWT telah menjanjikan untuk melindungi dan memelihara Kitab al-Qur'an ini daripada sebarang penyelewengan tetapi hal ini berlainan pula dengan Sunnah Nabi SAWAW. Sunnah Nabi SAWAW merupakan penghuraian kepada pengertian-pengertian al-Qur'an dan ia merupakan sumber kedua dalam Syari'ah Islam. Hal ini disebabkan terdapat golongan pembuat hadith palsu yang mempuyai tujuan kebendaan dan politik telah memainkan peranan dengan memalsukan hadith-hadith sama ada dengan cara menambah bahagian-bahagian yang memberikan keuntungan kepada mereka atau membuang bahagian-bahagian yang bertentangan dengan kepentingan mereka.

Nabi SAWAW telah memberikan amarannya pada Haji Wida' tentang bahayanya perbuatan tersebut. Beliau SAWAW bersabda:

"Sesungguhnya orang-orang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu yang disandarkan kepadaku adalah ramai dan akan bertambah ramai sepeninggalanku, maka barang siapa yang menyandarkan sesuatu yang palsu kepadaku dengan sengaja, tempatnya adalah di neraka. Jika sebarang hadith datang kepadamu, bawakan ia kepada Kitab Allah dan Sunnahku. Sebarang hadith yang selaras dengan Kitab Allah dan Sunnahku, ambillah, dan apa sahaja yang bertentangan dengan Kitab Allah dan Sunnahku, tinggalkanlah." [27]

Pembohongan yang paling berbahaya sekali ialah memalsukan hadith, iaitu menciptakan hadith, menimbulkan pembohongan dan menyandarkannya kepada Nabi SAWAW dan Imam-Imam AS.

Shahid Thani telah mendefinisikan hadith palsu sebagai sesuatu yang dicipta dan diada-adakan; hadith yang paling berbahaya iaitu yang yang lemah, dan meriwayatkannya tidak dizinkan kecuali dengan tujuan untuk menunjukkan kelemahan hadith tersebut." [28]

Terdapat banyak kitab dan penghafal hadith telah menggariskan beribu-biru hadith sebagai Hadith maudhu', khususnya yang berkaitan dengan kelebihan-kelebihan sesetengah orang. Hal ini disebabkan faktor-faktor politik, lebih-lebih lagi pada zaman awal pemerintahan Bani Umaiyyah selepas tahun ke-40 Hijrah.

Factor lain yang membantu meningkatkan bilangan hadith-hadith palsu adalah perbuatan beberapa orang yang mendakwa diri mereka sebagai penyelamat Sunnah telah memalsukan hadith-hadith dengan tujuan supaya orang ramai mengikuti perbuatan tersebut.
Kita akan dapat memahami kepalsuan hadith-hadith tersebut jika kita meneliti bahawa Bukhari telah memilih judul kitabnya sebagai "Sahih" yang mengandungi empat ribu daripada enam ribu hadith. Ahmad bin Hanbal telah memilih Musnadnya daripada tujuh ratus lima puluh ribu hadith sebagaimana yang diterangkan di atas."[29]

Sayyid Murtadha dalam kitabnya "Ghurar wa Durar", Jilid I, hlm. 127 berkenaan golongan "Ghullat" dan apa yang mereka lakukan dalam hubungannya dengan hadith-hadith palsu, dia berkata:

"Diriwayat bahawa apabila Abdul Karim bin Abi Awja' ditangkap oleh Muhammad bin Sulaiman, gabenor Kufah pada zaman Khalifah Mansur, apabila dia hampir dibunuh, dia berkata: "Andainya kalian membunuhku pun, aku telah memasukkan 4,000 hadith-hadith palsu ke dalam hadith-hadith kalian."[30]

Malahan, fitnah yang paling besar dan berbahaya yang menimpa kepada umat Islam adalah hadith-hadith palsu yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan Imam-Imam AS. Hal ini disebabkan tanpa hadith-hadith palsu ini, kita tidak akan menemui perpecahan umat Islam di serata dunia.

Contoh-contoh Hadith-hadith Palsu
Salah satu daripada contoh Hadith palsu ialah, "Sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang di langit. Siapa sahaja yang kamu ikuti, kamu akan mendapat petunjuk", adalah merupakan hadith yang direka untuk membentuk satu pemikiran supaya mengikut Sunnah Sahabat.

Ulama dari kalangan Ilmu Hadith, di antaranya Ibn Qaim Jawziyyah telah menyatakan bahawa Hadith ini adalah hadith palsu[31].

Al-Dhazabi menyatakan Hadith ini adalah hadith yang lemah, dan selepas beliau menerangkan pendapat-pendapat ulama Rijal berkenaan kelemahan dan sifat perawi yang tidak tsiqah iaitu Ja'far bin Abdul Wahid Hashimi. Beliau berkata:
"Dan di antara fitnahnya ialah Hadith 'sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang di langit." [32]

Dan Ibn Taimiyyah berkata: "Para ulama Hadith berpendapat Hadith 'sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang di langit adalah hadith yang lemah lantaran itu tidak perlu ada hujah lain baginya."

Dan contoh laing hadith palsu ialah Hadith: "Aku memerintahkan kalian berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafa' Rasyidin, gigitlah kuat-kuat dengan gigi kalian" [33].

Dengan membuat kajian tentang sanad Hadith, akan jelas kepada kita bahawa Hadith ini adalah palsu dan bukanlah Hadith daripada Nabi SAWAW.

Ulama Rijal berkata: "Hadith ini diriwayatkan daripada Ali bin Hajr daripada Baqiyyah bin Walid daripada Jubair bin Sa'ad daripada Khalid bin Ma'adan daripada Abdul Rahman bin Amru Silmi daripada Hurbah bin Sariyyah, bahawa dia berkata: "Pada suatu hari Nabi SAWAW berkata kepada kami…..kemudian dia memetik Hadith yang disebutkan di atas.

Dengan mengkaji sanad Hadith, kita akan dapati Baqiyyah bin Khalid bukanlah orang yang tsiqah pada pandangan Ulama Rijal. Di sini kami akan menjelaskan apa yang dikatakan oleh ulama berkenaan dengan beliau: Ibn Ayyina diriwayatkan telah berkata: "Jangan kamu mendengar Baqiyyah. (Apa yang diriwayatkan daripadanya bukanlah Sunnah)."

Yahya bin Muin berkata tentang Baqiyyah bin Walid: "Jika dia meriwayatkannya daripada orang yang tsiqah seperti Safwan bin Umar dan lain-lain terimalah, tetapi jika meriwayatkan daripada orang-orang yang tidak kenali, janganlah kalian mengambilnya. Dan jika dia menggunakan nama panggilan tanpa menyatakan nama orang-orang itu, ia langsung tidak ada nilai…."

Dan Abu Mashar berkata: "Hadith Baqiyyah tidak asli. Layanlah ia dengan "Taqiyyah" [34].

Dan Ibn Hajr berkata: "Baihaqi berkata dalam Khilafiyat bahawa semua bersetuju bahawa Baqiyyah adalah orang yang tidak tsiqah" [35].

Berkenaan dengan Abdul Rahman bin Amru Silmi, Ibn Hajr berkata: "Fattan Fasi menyatakan bahawa dia orang yang tidak tsiqah kerana keadaan dirinya tidak diketahui" [36].

Pengumpulan Dan Pembukuan Hadith-hadith
Nabi SAWAW mempunyi beberapa lembaran tulisan yang dipanggil Kuttab al-Wahyi. Ia merupakan himpunan tulisan wahyu yang ditulisa di atas kulit haiwan, daun-daun kurma atau tulang-tulang dan sebagainya. Ia merupakan satu usaha untuk menghafal dan mengajarkannya kepada orang ramai oleh mereka yang menghafalnya daripada sahabat-sahabat Nabi SAWAW.
Tetapi berhubung dengan Hadith Nabi SAWAW, tidak ada orang tertentu yang menyusun dan menghimpunnya pada zaman Nabi SAWAW. Jika tidak sudah tentu ada riwayat yang menunjukkan Nabi SAWAW memerintahkan sahabat-sahabat menulis Hadith misalnya:

"Apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Hakim dan lain-lain daripada Abdullah bin Amru bin Aas: 'Aku berkata wahai Nabi Allah, bolehkan aku menuliskan apa yang aku dengar daripadamu?' Beliau SAWAW menjawab: 'Boleh.' Aku berkata: 'Dalam kemarahan atau ketika tenang?' Beliau SAWAW berkata: 'Boleh,' kerana apa yang aku katakana dalam kedua-dua keadaan itu adalah perkara yang benar"[37].

Abu Hurairah berkata: "Tidak ada seorang sahabat Nabi SAWAW yang meriwayatkan Hadith lebih daripadaku kecuali Abdullah bin Amru kerana dia sering menuliskannya sementara aku tidak. Ini telah diriwayatkan oleh Bukhari"[38].

Tirmidzi juga meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dia berkata: "Seorang lelaki Ansar sedang duduk dekat Nabi SAWAW, mendengar apa yang beliau SAWAW katakan tetapi dia tidak dapat mengingatinya. Kemudian dia mengadu kepada Nabi SAWAW, dan beliau berkata: "Bantulah dengan tangan kananmu dan tulislah [39]".

Dan juga diriwayatkan daripada Nabi SAWAW: "Peliharalah ilmu pengetahuan kalian dengan tulisan."[40]

Dan juga diriwayatkan daripada Rafi' bin Khadij bahawa: 'Aku berkata: "Wahai Nabi Allah, kami mendengar perkara-perkara daripada anda; bolehkah kami menulisnnya?" Beliau SAWAW menjawab: "Silakan. Kalian boleh menulisnya." [41]

Malahan semua ini menunjukkan keizinan Nabi SAWAW dalam hal menulis dan menghimpunkan Hadith. Ada beberapa Hadith lain yang menyeru orang ramai menghafal Hadith dan menyebarkannya di kalangan umat Islam.

Sebagai contoh, beliau SAWAW bersabda:
"Semoga Allah memberikan keberkatan kepada orang yang mendengar kata-kataku, mengingatnya, memahaminya dan memberitahu kepada orang lain apa yang dia dengar, penyebar ilmu pengetahuan tidak semestinya seorang berilmu dan barangkali seseorang akan menyebarkan ilmu kepada orang yang lebih berilmu." [42]

Dan:
"Barang siapa yang menghafal dan memelihara empat puluh hadith di kalangan umatku berkenaan dengan agam mereka dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah di akhirat nanti, Allah akan bangkitkannya pada Hari Pembalasan di kalangan ulama-ulama agama." [43]

Adalah jelas salah satu cara menghafal dan menyebarkan hadith ialah melalui tulisan, maka arahan supaya menghafal Hadith mengandungi maksud memberi keizinan ke arah keperluan untuk melakukan perkara tersebut. Malahan ia menjadi suatu kewajipan sekiranya jaminan keselamatan Sunnah bergantung kepadanya.

Sesungguhnya Nabi SAWAW yang suci telah menulis surat-surat kepada beberapa pemimpin negara dan juga raja-raja pada zamannya begitu juga perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh beliau SAWAW bagi pihak umat Islam masih lagi disimpan dan dipelihara dengan baik.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa beliau berkata:
"Apabila sakit Nabi SAWAW semakin bertambah keras, beliau SAWAW berkata: 'Bawakan aku kertas dan kalan untukku tuliskan sesuatu yang akan mengelakkan kalian daripada kesesatan daripada jalan yang betul selepasku', Umar berkata: 'Nabi sedang dalam keadaan sakit yang tenat. Kita ada Kitab Allah dan cukuplah bagi kita'. Mereka berselisih sesama mereka, dan apabila suara-suara mereka bertambah kuat, Nabi SAWAW berkata: 'Beredarlah kalian dari sisiku, tidak harus bagi kalian berbalah di sisiku.' Ibn Abbas berkata: 'Apakah malangnya melanda umat ini. Perselisihan di kalangan sahabat telah menghalang Nabi SAWAW daripada menuliskan sesuatu." [44]

Daripada kajian berhubung dengan percanggahan di antara Hadith, kita membuat rumusan bahawa pandangan Nabi SAWAW menyokong menghimpun dan menulis Hadith, kerana inilah apa yang dilakukan oleh sebahagian daripada sahabat misalnya Imam Ali AS dan puteranya Hasan AS, memahami daripada kata-kata Nabi SAWAW itu melakukannya. Diriwayatkan daripada Imam Ali AS berkata: "Jika kamu menulis Hadith, tulislah dengan rantaian perawi-perawi yang meriwayatkan Hadith-hadith tersebut." [46]

Walau bagaimanapun pendapat ini bukanlah pendapat mereka sahaja, malahan disokong oleh semu Imam-Imam Ahlul Bait AS dan golongan tabi'en dan generasi selepas Rasul SAWAW dan inilah pandangan ulama; lantaran itu mereka menulis dan menghimpun Hadith-hadith Nabi SAWAW. Jika tidak kerana kegiatan menghimpun dan menulis Hadith, Sunnah Nabi sudah tentu akan lenyap dan umat akan kehilangan perwarisan harta yang amat berharga ini.

Ibn Salah telah menggariskan hal ini dalam salah satu daripada kata-katanya: "Jika tidak kerana penulisan dan pengumpulan Hadith, ia pasti akan lenyap." [47]

Keadaan inilah yang menyebabkan Umar bin Abdul Aziz (RA) mengarahkan supaya Hadith-hadith dikumpulkan pada zaman pemerintahannya (99-101) Hijrah. [48]

Diriwayatkan pada zaman sahabat, bahawa Abu Bakr, Umar dan Uthman diikuti oleh khalifah Bani Umaiyyah, sehingga sejurus pada zaman Umar bin Abdul Aziz, telah melarang penulisan Hadith.

Contoh larangan ini kata-kata Abu Bakr selepas kewafatan Nabi SAWAW. Beliau berkata: "Kalian membawa Hadith-hadith Nabi yang kalian berelisih sesama kalian, dan orang ramai selepas kalian juga akan berselisih tentangnya lebih daripada apa yang kalian perselisihkan, justeru, janganlah kalian berkata sesuatu daripada Nabi SAWAW. Jika ada sesiapa yang bertanya kalian, katakan kepadanya di antara kami dan anda adalah Kitab Allah; ikutilah apa yang halal dan tinggalkan apa yang haram." [49]
Ibn Sa'ad telah menyebutkan dalam kitabnya 'Tabaqat' bahawa:
"Pada zaman Umar bin Khattab, bilangan hadith-hadith bertambah, maka beliau memanggil orang ramai membawakan hadith-hadith tersebut kepadanya. Apabila mereka datang, beliau mengarahkan hadith-hadith tersebut dibakar." [50]

Pada zaman Uthman bin Affan, dalah salah satu daripada khutbahnya beliau mengumumkan larangan penulisan dan periwayatan Hadith kecuali apa yang telah dikumpulkan pada zaman Abu Bakr dan Umar.
Dalam salah satu daripada khutbahnya, beliau berkata: "Tidak diizinkan kepada sesiapa menyampaikan sebarang Hadith yang tidak disampaikan pada zaman Abu Bakr dan Umar." [51]

Seterusnya, Muawiyah ketika beliau menjadi khalifah selepas perjanjian damai dengan Imam Hasan bin Ali AS mengambil peluang ini untuk mengharamkan penulisan Hadith demi untuk menyerang Imam Ali AS dan Ahlul Bait yang suci. Beliau mengisytiharkan larangan periwayatan Hadith-hadith yang menyebut tentang kelebihan-kelebihan Imam Ali AS.

Mada'ini dalam kitabnya 'Ahadath', memetik peristiwa berikut:
"Muawiyah menulis surat kepada gabenor-gabenornya bahawa beliau melarang sesiapa yang menulis tentang kelebihan-kelebihan Imam Ali (Abu Turab) dan keluarganya….."[52]

Maka dengan cara ini, Hadith-hadith Nabi SAWAW melalui zaman larangan dan akhirnya membawa kepada penyisipan Hadith-hadith palsu ke dalam Hadith-hadith Nabi SAWAW.

Bid'ah
Kita telah mengetahui dari segi bahasa dan istilah 'Sunnah', maka kini kita patut mengetahui makna perkataan bid'ah yang menjadi istilah yang sering digunakan oleh orang Islam.

Bid'ah dari segi bahasa bermaksud menokok-tambah kepada sesuatu, memulakan dan menciptakan. Bid'ah: ciptaan baru, apa yang ditokok-tambah dalam agama selepas ianya sempurna.[53]

Maka kita harus mengetahui maksud sebenar istilah Bid'ah. Bid'ah: "Adalah sesuatu ciptaan yang dimasukkan kepada agama yang tidak mempunyai asas dalam Qur'an dan Sunnah Nabi. Ia dipanggil Bid'ah kerana ia sesuatu yang ditokok-tambah….."[54]

Maka, bid'ah adalah sesuatu yang dibawa ke dalam agama yang tidak mempunyai asas sama sekali.

Malahan, Nabi SAWAW telah memberi amaran kepada sebarang bentuk bid'ah ke dalam agama dan dalam salah satu daripada khutbahnya, beliau SAWAW berkata: "Amma ba'd, sesungguhnya ucapan yang paling baik ialah Kitab Allah, dan petunjuk yang terbaik ialah petunjuk Muhammad, perkara yang paling buruk ialah bid'ah dan sebarang bid'ah adalah sesat." [55]
Oleh yang demikian dapatlah kita fahami bahawa Bid'ah adalah bertentangan dengan Sunnah, dan maksud Bid'ah ialah mencipta dan membawa masuk sesuatu ke dalam agama yang tidak mempunyai asas dalam Kitab Suci dan Sunnah Nabi dan menganggapnya sebagai sebagai sebahagian daripada ajaran agama dan Syari'ah.

Bid'ah adalah satu usaha untuk merosakkan agama Islam, dengan membawa masuk buah fikiran dan ideologi baru ke dalamnya dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam.

Adalah diketahui bahawa generasi yang lalu telah memasukkan perkara baru ke dalam agama mereka lalu merosakkannya; Kitab Suci al-Qur'an telah memberi amaran terhadap sebarang Bid'ah dalam bentuk moral dan ideologi seperti berikut:
"Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi mereka sendirilah yang mengada-adakannya untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang yang fasik." (al-Hadid [57]: 27)

Bagi memelihara kesucian Islam dan ideologinya daripada sebarang Bid'ah dan kerosakan, Islam telah mewajibkan ke atas semua umat Islam, secara umum dan kepada para ulama secara khusus supaya memerangi segala bentuk Bid'ah yang mengancam kesucian Islam, sama ada dalam bentuk fikiran atau dalam bentuk amalan dan tatasusila.

Kewajipan ini datang daripada Hadith-hadith Nabi SAWAW dan Imam-Imam yang suci AS. Telah diriwayatkan daripada Ahlul Bait AS bahawa: "Apabila sesuatu Bid'ah timbul di kalangan umatku, adalah menjadi kewajipan ke atas seorang Alim untuk mengisytiharkan ilmunya (tentang perkara tersebut). Dan sesiapa yang menolaknya, maka laknat Allah ke atasnya." [56]

Dalam hubungan ini, Amirul Mu'minin Imam Ali AS memberi amaran kepada orang ramai supaya menentang Bid'ah, katanya:
"Wahai manusia! Asas yang berlakunya keburukan adalah keinginan untuk menokok-tambah terhadap sesuatu yang telah diperintahkan dan jadilah segala perintah tersebut ditokok-tambah. Mereka sebenarnya bercanggah dengan Kitab Allah. Orang ramai saling tolong-menolong terhadapnya walaupun ianya bercanggah dengan agama Allah. Jika kebatilan tidak bercampur-aduk dengan kebenaran , ia tidak akan tersembunyi kepada orang yang mencarinya. Dan jika kebenaran adalah asli dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan, mereka yang membencinya akan mendiamkan diri. Namun, apa yang berlaku ialah sesuatu telah diambil dari sebelah sini dan sana dan kedua-duanya bercampur-aduk! Pada peringkat ini Syaitan menguasai sekutu-sekutunya." [57]

Diriwayatkan daripada Imam-Imam yang suci AS:
"Orang yang menghormati orang yang memasukkan dan menerima Bid'ah (dalam agama) telah sebenarnya berusaha untuk memusnahkan (agama) Islam." [58]

Dan diriwayatkan daripada Zurarah bahawa beliau berkata:

"Aku bertanya Ja'far al-Sadiq AS tentang halal dan haram, beliau menjawab: Apa yang dihalalkan oleh Muhammad kekal halal sehingga Hari Pembalasan, dan seperti itu juga apa yang diharamkan oleh beliau kekal haram sehingga Hari Pembalasan, tidak ada seorangpun yang melakukan sesuatu yang melebihi (sebagaimana wahyu Allah) atau seseorang datang (dengan perintah yang melebihi perintah Allah)."

Dan beliau berkata: Ali AS berkata:
"Tidak ada sesuatu yang baru dimasukkan ke dalam agama tanpa mengenepikan Sunnah."[60]

Selepas pengertian Bid'ah dan Sunnah jelas kepada kita, maka kita membuat kesimpulan bahawa jika seorang Muslim mencipta sesuatu yang baru, ini tidak dinamakan Bid'ah, yang bertentangan dengan Sunnah, ia tidaklah menjadi sesuatu perbuatan yang diharamkan kecuali ia memasukkan perbuatan tersebut ke dalam agama dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama, disamping perbuatan tersebut juga bercanggah dengan al-Qur'an dan Sunnah.

Sebagai contoh, Mawlud Nabi SAWAW bukanlah sesuatu Bid'ah dan haram, walaupun ia sesuatu yang amalan yang baru kerana Nabi SAWAW tidak melakukannya atau tidak juga menjadi amalan sahabat-sahabat Nabi SAWAW yang hidup bersama beliau SAWAW.
Dan juga perbuatan menghias al-Qu'ran dan masjid-masjid juga bukanlah perbuatan yang haram, walaupun Nabi SAWAW tidak pernah melakukannya. Justeru, tanggapan pengertian Bid'ah ialah memasukkan sesuatu ke dalam agama yang pada asalnya tidak wujud, dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama dan Syari'ah.

3
PELAJARAN 14

Hubungan Di antara Sunnah dan al-Qur'an
Terdapat hubungan yang rapat dari sudut undang-undang dan penafsiran di antara Sunnah Nabi dan Kitab Suci al-Qur'an, yang dapat dibuat kesimpulan seperti berikut:

1. Sunnah Nabi SAWAW menghuraikan perkara umum yang dinyatakan dalam al-Qur'an:

Terdapat beberapa ayat Qur'an yang menyatakan secara umum, justeru arahannya adalah umum kepada semua orang di bawah kaedah Sighat Umum, maka dalam hal ini Sunnah Nabi SAWAW bertanggungjawab menetapkan keadaan-keadaan atau syarat-syarat umum tersebut dan mengangkat beberapa orang di kalangan umat daripada tanggungjawab melaksanakan arahan umum tersebut disebabkan beberapa sebab yang dilihat oleh Nabi SAWAW melalui wahyu suci.

2. Sunnah Nabi SAWAW menghadkan perintah mutlak dalam al-Qur'an:

Pertama, kita harus mengetahui maksud mutlaq dan muqayyad (terkait) sebelum kita bercakap tentang tentang kesahihan Sunnah dalam hubungan membataskan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh al-Qur'an.

Justeru perintah mutlaq adalah adalah satu kenyataan yang bebas daripada syarat dan keadaan, seperti syarat masa, tempat dan kuantiti…dan sebagainya. Umpamanya kita berkata: berilah zakat kepada orang miskin. Di sini perkataan miskin digunakan dengan maksud yang mutlak tanpa sebarang had atau syarat; justeru arahan memberikan zakat kepada golongan miskin di sini ditujukan kepada semua orang miskin. Contoh lain seperti, "Pencuri sama ada lelaki dan perempuan hendaklah dipotong tangannya."(al-Maidah [5]: 38)
Dalam ayat ini tidak disebut kadar barang dicuri yang boleh menyebabkan pencuri dipotong tangan. Dalam hal ini Nabi SAWAW yang menjelaskan kadarnya.

Kenyataan yang bersifat terhad (terkait) kepada sesuatu perkara (Muqayyad) adalah kenyataan yang menetapkan sesuatu dengan syarat-syarat di dalam lingkungan Mutlaq. Seperti kata-kata: berikan zakat kepada seorang Mukmin yang miskin, maka perkataan Mukmin adalah had atau syarat kepada kata-kata orang miskin. Lantaran itu dengan syarat ini, arahan memberikan zakat itu ditujukan kepada orang miskin yang Mukmin sahaja.

Selepas definisi ini, kita akan memahami beberapa ayat-ayat Qur'an yang diturunkan secara umum manakala ayat-ayat yang lain diturunkan secara khusus dengan syarat-syarat tertentu.

Adalah jelas, pada pandangan ulama adalah jelas bahawa Sunnah mempunyai hak ke atas huraian tentang penetapan syarat-syarat yang terkandung dalam ayat Qur'an yang bersifat umum.
Di antara contoh-contoh ayat tersebut ialah firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Ulil Amri di kalangan kalian…" (an-Nisa [4]; 59)
Perkataan Ulil Amri dalam ayat ini diturunkan secara umum tanpa sebarang had tertentu. Sekali pandang dalam ayat ini, jelas mewajibkan ketaatan kepada pemimpin sama ada orang itu seorang yang adil atau zalim. Tetapi Nabi SAWAW bertanggungjawab menerangkan al-Qur'an, menghadkan ketaatan kepada seorang pemimpin yang taat kepada hukum-hukum Allah. Di riwayatkan bahawa beliau SAWAW bersabda:
"Ketaatan kepada setiap makhluk merendahkan Penciptanya." [61]

Malahan penetapan tertentu dalam Sunnah Nabi SAWAW hanyalah menghuraikan pelbagai maksud dalam ayat-ayat yang menyeru kepada keadilan, larangan kepada kezaliman, kejahatan dan keburukan.

3.Sunnah menerangkan perkara Mujmal dalam al-Qur'an:

Dalam Qur'an terdapat banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang peraturan-peraturan Syari'ah demikian juga ayat-ayat tentang ideologi yang diturunkan dalam bentuk Mujmal (perintah umum misalnya, "dirikanlah solat....") maka Nabi SAWAW mengambil tanggungjawab menerangkan kepada umatnya dalam bentuk dan kaedah yang berbeza, di antaranya ialah:

a. Penjelasan lisan: Kebanyakan ayat Qur'an yang 'mujmal' dijelaskan oleh Nabi SAWAW melalui kata-kata beliau SAWAW tentang pengertiannya kepada umat Islam.

b. Penjelasan bertulis: Nabi SAWAW sering menerima surat-surat daripada wakil-wakilnya dan pemimpin-pemimpin dunia pada waktu itu. Beliau turut menulis surat-surat perjanjian dengan pemimpin-pemimpin kabilah Arab pada masa itu. Di antara surat-surat perjanjian itu mengandungi penjelasan tentang ayat-ayat Qur'an yang bersifat 'mujmal'.

c. Penjelasan dalam bentuk perbuatan: Nabi SAWAW telah menerangkan tentang ayat-ayat mujmal ini melalui perbuatannya seperti solat, wudhuk, haji dan sebagainya, kerana arahan tentang ibadat ini dalam bentuk 'mujmal' dalam Kitab Allah tanpa sebarang penjelasan, umpamanya cara-cara mengerjakan solat, haji dan sebagainya. Walau bagaimanapun Nabi SAWAW mengambil tanggungjawab menjelaskan pengertian ibadat-ibadat ini secara praktikal.

Ulama telah menjelaskan bahawa perbuatan Nabi SAWAW tidak boleh menjadi huraian kecuali dalam dua cara:

1. Jika diketahui daripada niat dan tujuan beliau untuk menerangkan ayat 'mujmal' tersebut, umpamanya beliau SAWAW berkata: "Solatlah mengikut bagaimana aku bersolat."

2. Jika beliau SAWAW diketahui melakukan sesuatu dengan bertujuan untuk menerangkan ayat Qur'an Qur'an. Maka perbuatan beliau SAWAW akan menjadi penjelasan kepada ayat tersebut.

d. Penjelasan yang bersifat penunjuk: Kadang-kadang Nabi SAWAW akan menerangkan sesuatu 'mujmal' dengan 'Isharah', sebagaimana jelas dalam kata-katanya: "Satu bulan adalah seperti ini,dan seperti ini," menjelaskan dengan sepuluh jarinya, kemudian beliau SAWAW menutup jejarinya pada kali ketiga [62]. Dengan cara ini, beliau SAWAW menjelaskan bulan-bulan dalam system kiraan adalah dua puluh sembilan hari, sebagai tambahan kepada tiga puluh hari yang difahami ramai.

e. Pencegahan: Cara lain Nabi SAWAW menerangkan peraturan-peraturan dan undang-undang dalam al-Qur'an adalah dengan menjauhikan diri daripada melakukan perbuatan dengan sengaja yang berkemungkinan nanti akan di anggap wajib ke atasnya dan umatnya selepas beliau SAWAW melakukannya. Dari sini dibuat kesimpulan bahawa ia merupakan perkara umum. [64].

4. Sunnah Membatalkan al-Qur'an

Istilah "nasakh" diketahui umum di kalangan orang-orang Islam. Ia merupakan pembatalan perintah tentang perkara tertentu dan menggantikan dengan perkara lain mengikut kepentingan umat. Hal ini berlaku dalam al-Qur'an walaupun amat sedikit.

Terdapat di kalangan ulama Islam mengizinkan Sunnah menasakhkan ayat Qur'an sepertimana ayat Qur'an menasakhkan ayat Qur'an. Walau bagaimanapun ulama Islam berpendapat teori ini hanya sebagai teori sahaja dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Tidak ada ayat-ayat Qur'an yang dinasakhkan oleh Sunnah. Mereka membuat kesimpulan bahawa jika bukti diperolehi, ia tidak dapat diterima melainkan dengan bukti yang jelas melalui berbagai kaedah. Hal ini disebabkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh seseorang hanyalah kenyataan yang bersifat kemungkinan; tidak diizinkan untuk bergantung kepadanya untuk membuktikan berlakunya nasakh sebarang ayat-ayat Qur'an kerana ayat-ayat Qur'an adalah sesuatu kenyataan yang bersifat pasti (penuh diyakini) daripada Allah dan dengan ini sesuatu kemungkian tidak boleh memansuhkan sesuatu yang bersifat pasti (keyakinan).

Walau bagaimanapun, kita haruslah mengetahui bahawa ketetapan Sunnah menerangkan tentang ayat-ayat Qur'an berasas tiga prinsip asas:

1. Nabi SAWAW memahami firman Allah SWT, justeru beliau SAWAW mengetahui had-had tertentu yang terkandung dalam ayat-ayat yang bersifat mutlak atau muqayyad.

2. Penjelasan Sunnah terhadap al-Qur'an bergantung kepada asas wahyu sama ada secara ideologi dan syari'ah yang dihuraikan oleh Nabi SAWAW.

3. Penjelasan tentang had-had tertentu tentang ayat-ayat Qur'an berasaskan keputusan Nabi SAWAW sebagai 'Hakim al- Syari'ah.' Hal ini memberikan beliau SAWAW hak untuk menentukan batas tertentu dalam hukum yang terkandung dalam ayat tersebut. Walau bagaimanapun batas-batas tertentu ini berasaskan kepada keadaan yang menjadi latar kepada pembatasan itu.

Lantaran itu, batas-batas tertentu, kawalan dan penjelasan tentang ayat-ayat mujmal dalam al-Qur'an oleh Sunnah adalah berasaskan kepada asas dalam tindakan Nabi SAWAW sebagai pemimpin yang dilantik oleh Allah bagi umat Islam.

Kajian Ilmu Hadith
Kajian Ilmu hadith adalah satu kajian yang berkaitan dengan rantaian perawi hadith dan teks hadith untuk membezakan hadith sahih dan hadith palsu.

Sunnah Nabi SAWAW adalah rujukan kedua kepada sumber dan ajaran Syari'ah. Lantaran itu, semua orang Islam bertanggungjawab mengikuti semua perintah dan ajarannya walaupun ada batas zaman di antara zaman Nabi SAWAW dan genarasi yang mengikutinya, begitu juga kejadian-kejadian yang berlaku pada jangka masa itu yang menjadi batu penghalang di antara orang ramai dan Nabi SAWAW khasnya dalam mengambil hadith-hadith secara langsung daripada beliau SAWAW.

Orang ramai yang tidak mampu mengambil Sunnah secara langsung melainkan melalui riwayat beberapa orang. Dan kaedah menyampaikan hadith pada zaman Nabi SAWAW melalui dua cara:

1. Mengingati apa yang didengar, dilihat atau penegasan daripada beliau SAWAW secara langsung melalui lisannya SAWAW.

2. Penulisan dan pengumpulan hadith-hadith Nabi SAWAW, sama ada perbuatannya, penegasannya dan kemudian periwayatan kepada orang lain yang tidak menerimanya daripada beliau SAWAW secara langsung. Malahan kita tidak boleh berpendapat semua hadith yang sampai kepada kita adalah sahih, tetapi ada di antaranya yang sudah menerima perubahan dan pemalsuan.

Terdapat banyak pemalsuan hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW pada zaman hidupnya dan selepas wafatnya SAWAW. Para pemalsu hadith telah mempergunakan sunnahnya di mana mereka telah memasukkan unsur-unsur pembohongan dan mengaitkannya kepada Nabi SAWAW, merubah kata-katanya yang asal dan menukarkannya kepada perkara-perkara yang mereka sukai sesuai dengan pemikiran dan kepentingan mereka.

Tambahan pula terdapat kemungkinan masalah tidak mengingati terhadap sesuatu hadith (misalnya tidak mengingati sebahagian hadith dan hanya mengingati sebahagian sahaja daripada sesuatu hadith dan sebagainya), kemungkinan hadith-hadith hilang dan sebagainya menyebabkan ulama hadith menggariskan ilmu hadith untuk mengkaji para perawi dan isi kandungan hadith yang disampaikan, di samping dapat mengetahui kedudukan sesuatu hadith yang dikaitkan dengan Nabi SAWAW atau hal-hal yang berkaitan dengan kata-kata dan penegasan Nabi SAWAW tentang perbuatannya berkaitan dengan ibadah, sosial, kekeluargaan, keadilan, peperangan, politik, akhlak dan sebagainya.

Bagi mencapai tahap kesahihan sesuatu hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan Imam-imam yang suci AS sebagai sumber Syari'ah dan asas kepada daya pemikiran dan budaya masyarakat, ulama telah mengujudkan Kajian Ilmu Hadith yang mengandungi perkara-perkara berikut:

1. Ilm al-Rijal

2. Ilm al-Dirayah

Ilm al-Rijal adalah kajian tentang keadaan para perawi berhubung dengan kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadith (al-Jurh wal-Ta'adil), kemampuan daya ingatan mereka dan pengambilan hadith. Adakah perawi tidak diketahui (majhul)? Ia juga mengkaji mazhab dan pemikiran perawi dan pada ketika hidupnya supaya dapat diketahui kesahihan sesuatu hadith yang disampaikannya.

Lantaran itu, Ilm al-Rijal adalah satu kajian tentang rantaian isnad perawi-perawi yang meriwayatkan hadith. Walau bagaimanapun disiplin ilmu yang lain yang seiring dengan Ilm al-Rijal ialah Elm al-Tarajim, yang mengkaji tentang biografi ulama yang perawi-perawi hadith. Disiplin ilmu imi memberikan fakta tambahan kepada Ilm al-Rijal dengan menerangkan latar belakang tokoh-tokoh perawi, misalnya kecenderongan politik, begitu juga biografi dan fakta-fakta lain.

Tetapi, Ilm al-Dirayah adalah disiplin ilmu yang mengkaji tentang nas Hadith, misalnya mengkaji tentang pembahagian hadith, isi kandungan hadith (matan) dan darjah kesahihannya.

Al-Matan: Adalah isi kandungan Hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWA atau Imam AS. Justeru al-matan adalah lafaz Hadith yang mempunyai sesuatu makna. [65]

Maka Ilm al-Rijal dan Ilm al-Dirayah saling melengkapi untuk mencapai tujuan yang sama, yang mengkaji dengan sanad, dan matan Hadith, supaya dapat diketahui kesahihan atau kepalsuan sesuatu Hadith.

Kepentingan Ilm al-Rijal
Ilm al-Rijal: adalah satu kajian tentang perawi-perawi Hadith, peribadi mereka sama ada tsiqah (dipercayai), kemampuan ingatan, keadaan diri mereka, pemikiran, biografi dan sebagainya.

Malahan ulama telah membahaskan tentang kepentingan Ilm al-Rijal ini. Ada di kalangan ulama yang golongan yang dikenali sebagai Akhbariyyun percaya bahawa Ilm al-Rijal tidak diperlukan berasaskan fakta bahawa pengumpulan Hadith dalam beberapa kitab Hadith seperti al-Kafi oleh Kulaini, al-Tahdhib oleh al-Tusi, al-Istibsar dan Man laYahdhuruhu al-Faqih oleh al-Saduq adalah hadith-hadith Sahih kerana usaha yang dilakukan oleh para ulama yang telah mengumpulkannya. Maka tidaklah perlu untuk mengkajinya untuk kali kedua. Ataupun tidaklah perlu lagi untuk mengkaji sanad hadith yang dipakai oleh Fuqaha' disebabkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ulama al-mashhur. Sebagai contohnya adalah tanggapan sahih terhadap Kutub al-Sihah seperti Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain di mana ada di kalangan ulama berpendapat tidak semua hadith-hadith yang terkandung di dalamnya adalah sahih; ia mengandungi hadith-hadith sahih dan tidak sahih. Lantaran itu adalah menjadi kewajipan untuk mengkaji perawi-perawi hadith di samping matannya supaya dapat diketahui kedudukannya sama ada sahih atau tidak, dan tidak bergantung penyusun kitab-kitab Hadith tersebut.

Pendapat ini bergantung kepada asas kajian saintifik dan hujah-hujah lain yang menunjukkan kelemahan dan kurangnya keyakinan terhadap penyusun hadith, yang meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab-kitab hadith tetapi ada hujah lain menyatakan hadith-hadith tersebut terdapat pula dalam kitab-kitab Hadith yang dikatakan sahih.

Fuqaha Sayyid Abul Qasim Khui berkata: "Sebahagian ulama Hadith berpendapat periwayatan hadith-hadith dalam Kutubul Arba'ah adalah sahih tetapi tanggapan ini adalah salah kerana hal ini tidak mungkin kerana terdapat kalangan orang-orang yang terkenal pembohong dan riwayat-riwayat tersebut disampaikan oleh seseorang kepada orang yang lain....."[66]

Oleh yang demikian, asas-asas demikian dipakai juga kepada Kutub al-Sihah seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi.

Syarat-syarat Perawi Yang Diterima Periwayatan Mereka
Ulama Hadith telah menggariskan beberapa syarat berhubung dengan perawi hadith yang diterima riwayat-riwayat mereka:

1. Bulugh (akil baligh). Ulama Hadith dan Usul al-Fiqh telah menetapkan syarat-syarat penerimaan terhadap seorang perawi hadith bahawa beliau hendaklah mencapai baligh. Justeru, riwayat seorang kanak-kanak tidak dapat diterima.

2. Berakal : Perawi hendaklah berakal iaitu tidak gila. Justeru periwayatan hadith dari seorang gila tidak dapat diterima.

3. Syarat lain ialah perawi hendaklah bersifat Adalah (adil) iaitu bebas daripada [fasiq] perangai yang tidak bertentangan dengan kehendak Islam . Allah SWT berfirman:"Wahai orang-orang beriman, jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa berita, maka siasatlah dulu supaya ia tidak membawa akibat buruk kepada sesuatu kaum disebabkan kejahilan kalian....."(al-Hujurat [49]: 6)

Syeikh al-Tusi dan juga Abu Hanifah menyatakan bahawa setiap Muslim adalah 'adil' melainkan sifat kefasiqannya adalah jelas [67].

4. Perawi hendaklah tidak mempunyai sifat yang bertentangan dengan kemuliaannya.

5. Perawi hendaklah mempunyai kemampuan mengingati apa yang diriwayatkannya kerana hal ini akan menjamin Hadith daripada sebarang kesalahan, tokok-tambah, penyelewengan, penipuan dan sebagainya. Dan dia juga hendaklah mengetahui maksud Hadith yang diriwayatkannya dan mempunyai kemampuan untuk meriwayatkan Hadith secara lengkap tanpa sebarang kesalahan.

6. Perawi hendaklah seorang yang tsiqah (dipercayai) dalam periwayatannya, maka ulama menerima hadith-hadith yang diriwayatkannya tanpa mengira latar belakangnya dari segi mazhab, ideologi asalkan dia seorang yang tsiqah dan jujur.

Jurh Dan Ta'adil
Jurh bermaksud wujud sifat-sifat pada perawi yang membinasakan keadilannya seperti pembohongan, penyelewengan, penipuan dan sebagainya yang menyebabkan riwayatnya ditolak.

Dan Ta'adil bermaksud keadaan perawi yang bersifat adil yang menyebabkan riwayatnya diterima. .

Oleh itu ilmu "jurh wal ta'adil" merupakan perkara yang amat penting dalam Ilm al-Rijal kerana matlamat utama seorang pengkaji dalam Ilm al-Rijal adalah mengesahkan kejujuran atau sebaliknya terhadap seorang perawi sama ada riwayatnya diterima atau ditolak.

Kaedah Mengenal pasti Jurh dan Ta'adil
Kaedah untuk mengenalpasti jurh dan Ta'adil tentang seorang perawi ialah dengan meletakkan kedua-dua keadah itu bersama-sama kerana mengenalpasti Jurh dan Ta'adil adalah mengenal pasti keadaan seseorang perawi itu. Oleh yang demikian seorang saksi seorang perawi adalah seorang yang mengetahui sesuatu melalui deria rasa seperti pendengaran dan penglihatan.

Maka tidak ada seseorang pun yang dapat bersaksi dan memastikan "jurh" seorang perawi atau "adalah (keadilan)" seseorang perawi kecuali beliau hidup bersama-sama dengannya dan mengetahui keadaan dirinya dan kelakuannya. Kemudian, dia boleh mengenalpasti kelakuannya sama ada seorang yang fasiq atau adil dan jujur dan ketidakmampuannya meriwayatkan Hadith... dan sebagainya.

Seterusnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada seorang saksi untuk menyatakan jurh dan Ta'adil seorang perawi kepada orang-orang lain. Tetapi, keadaan saksi-saksi itu juga hendaklah seorang yang jujur dan tsiqah supaya pengakuan mereka tentang jurh dan Ta'adil dapat diterima. Maka berasaskan dengan prinsip ini, kita dapat beranggapan bahawa kata-kata ulama seperti Allamah dan Ibn Tawus...dan sebagainya tidak boleh dianggap sebagai saksi kepada jurh dan Ta'adil seorang perawi, tetapi ia hanyalah kajian sainfitik dan kesaksian tentang kepakaran dalam bidang ini sahaja, yang mampu membuat penilaian dan hujah-hujah. Tetapi bertentangan dengan kesaksian seorang yang adil yang hidup bersamanya, maka adalah wajib menerima kesaksiannya kecuali jika beliau melakukan kesalahan dalam mengaitkan kesaksiannya dan hal itu tampak nyata.
Sebagai tambahan, ulama Hadith dan Usul al-Fiqh berkata kesaksian tentang keadilan seorang perawi dapat diterima walaupun tanpa menyatakan secara terperinci. Tetapi kesaksian tentang kekurangan atau kelemahan seorang perawi melalui kaedah jurh tidak dapat diterima tanpa menyatakan secara terperinci alasan-alasan disebalik kesaksian itu. Ini disebabkan perbezaan pendapat tentang makna jurh di kalangan orang ramai. Terdapat di kalangan orang yang beranggapan satu perbuatan adalah fasiq, sedangkan pada ketika lain satu kumpulan orang tidak melihatnya. Oleh yang demikian, adalah penting untuk menyatakan alasan disebalik kesaksian jurh supaya kita dapat mengetahui kesahihan jurh atau disebaliknya. Kecuali jika seorang yang membuat kesaksian tentang sifat fasiq atau sifat adil seorang perawi dan orang yang akan membuat penilaian mempunyai pendapat yang sama tentang makna jurh dan 'adalah', maka dalam contoh itu, kesaksian tanpa penjelasan yang terperinci adalah memadai.

Berdasarkan dalil ini, ulama berpendapat adalah penting mengkaji peribadi seorang perawi jika alasan di sebalik sifat nifaqnya tidak disertakan dalam kesaksian.

Perbezaan Pendapat Di kalangan Ulama Berkenaan Kesahihan Kenyataan Seseorang Perawi
Berikut dijelaskan:
1. Di kalangan ulama berpendapat bahawa riwayat satu orang akan dianggap sebagai hujah kepada jurh seorang perawi atau sifat adilnya. Berdasarkan kepada kepada hujah mereka, riwayat seorang perawi (Khabar al-Ahad) adalah menjadi hujah dalam Syari'ah, maka ia akan menjadi hujah untuk mengetahui perkara tersebut. Maka melalui ini, kita dapat menerima kesaksian hujjiyahnya. (Ini adalah pendapat terkemuka di antara ulama-ulama).

2. Sebilangan ulama menetapkan sebagai syarat sekurang-kurangnya ada dua orang ulama al-Rijal membuat kesaksian sebelum jurh dan Ta'adil seorang perawi diterima. Mereka mengemukakan pandangan berasaskan kenyataan bahawa mengenalpasti jurh dan 'adalah' seorang perawi adalah dengan cara menyaksikan, dan kesaksian dua orang (atau lebih) adalah syarat penerimaan seorang saksi.

3. Kenyataan satu orang berhubung dengan jurh dan Ta'adil seorang perawi akan menyakinkan kita tentang perkara tersebut. Maka mendapatkan kepastian dan keyakinan tentang sesuatu adalah satu dalil yang hendaklah dikekalkan.

4. Segolongan ulama berpandangan kita terpaksa menerima riwayat dari seorang perawi walaupun ia menampakkan keraguan disebabkan halangan-halangan yang tidak membolehkan kita mengetahui keadaan perawi-perawi di samping kekurangan tanda-tanda penting untuk mengetahui dan mengenalpasti perawi-perawi. Ini berasaskan formula hujjiyah keraguan pada ketika wujudnya halangan-halangan untuk mengetahui keadaan perawi-perawi atau tidak cukup Imarah untuk mengenalpastinya.

Pengistilahan Menunjukkan Jurh dan Ta'adil
Bagi menghuraikan proses penilaian terhadap seseorang perawi secara tepat, ulama telah menggariskan beberapa istilah yang menunjukkan jurh dan Ta'adil. Shahid Thani berkata: "Perkataan Ta'adil adalah: Adl (adil), thiqah (boleh dipercayai), hujjah , Hadith Sahih dan apa yang membawa kepada pengertiannya.'[69]

Maka jika ulama menjalankan kajian tentang peribadi seorang perawi dan mendapati beliau mempunyai sifat-sifat yang disebutkan di atas atau apa yang membawa kepada maknanya, ini bermakna mengenalpasti tentang sifat adilnya, tsiqahnya terhadap periwayatan Hadith. Tetapi istilah-istilah yang digunakan oleh ulama al-Rijal untuk menunjukkan kelemahan dan ketidakpercayaan tentang seorang perawi dipanggil istilah jurh, ia adalah: "Daif, Kazhab (bohong), wadhdha (pemalsu) Ghali (golongan sesat) dan lain-lain lagi [70].

Lantaran itu jika ulama al-Rijal meletakkan salah satu daripada ciri-ciri tersebut atau apa yang membawa kepada maknanya, ini bermakna perawi itu tidak boleh dipercayai dn tidak berkemampuan untuk meriwayatkan sebarang Hadith Nabi SAWAW.

Cara-cara Meriwayatkan Sesuatu Riwayat (Hadith)
Kita sudah mengetahui bahawa tentang kesahihan sanad Hadith adalah keseluruhan rantaian perawi-perawi sesuatu Hadith tersebut daripada perawi pertama hinggalah terakhir. Dan terdapat berbagai cara pengumpulan Hadith oleh perawi-perawi dan kemudian meriwayatkannya kepada orang lain. Dalam kitab Diraayah oleh Shahid Thani telah menggariskan beberapa cara mengumpulkan Hadith dan meriwayatkannya, iaitu:

1. Mendengar daripada kata-kata seorang Sheikh (perawi): Iaitu mendengar Hadith secara langsung dari seorang Syeikh (perawi Hadith). Oleh itu seorang yang menyampaikan Hadith akan menggunakan ayat-ayat yang menunjukkan beliau meriwayatkan Hadith iaitu dengan cara mendengarnya daripada seorang Syeikh: sebagai contoh, aku mendengar sipolan dan sipolan berkata atau sipolan dan sipolan memberitahu kepadaku atau sipolan dan sipolan meriwayatkan kepadaku. Dengan cara ini periwayatan sebuah Hadith adalah melalui pendengaran secara langsung daripada seorang Syeikh, kerana terdapat hubungan yang kuat di antara pengetahuan tentang cara-cara dan kaedah memperolehi Hadith dan darjah kesahihannya. Oleh yang demikian ulama beranggapan kaedah ini adalah yang terbaik untuk memastikan kesahihan sesuatu Hadith.

2. Melalui kitab daripada Syeikh (perawi): Kaedah lain meriwayatkan hadith ialah dengan memperolehi hadith daripada kitab atau menghafal daripada sumber lain oleh orang yang lebih mengambil perhatian kepada hafalan Hadith dan kemudian membaca hafalannya di hadapan seorang ahli Hadith, dan kemudian ahli Hadith tersebut mengesahkan kesahihannya. Melalui kesaksian ini, kesahihan Hadith dapat disahkan, dalam keadaan itu penyampai Hadith tersebut akan berkata: "Aku telah membacakannya kepada sipolan dan sipolan atau ia telah dibacakan dihadapan Syeikh tersebut pada ketika aku berada di tempat itu dan beliau telah mengesahkannya."[71]

3. Melalui keizinan: Sheikh hadith tersebut memberikan izin kepada sipolan untuk meriwayatkan sesuatu Hadith daripada sebuah kitab dan menyampaikannya kepada orang-orang lain, atau menyampaikan apa yang dia dengar kepada orang ramai. Sebagai contoh, Syeikh akan berkata kepada perawi: "Aku mengizinkan anda menyampaikan hadith-hadith daripada kitab-kitab yang berkenaan....atau aku mengizinkan anda menyampaikan Hadith yang anda dengar......"[72]
4. Munawalah: Nota atau kitab yang diberikan oleh Syeikh kepada salah seorang muridnya, dan berkata: "Inilah yang aku dengar daripada sipolan dan sipolan, lantaran itu sampaikanlah ia bagi pihakku atau aku mengizinkan anda meriwayatkannya bagi pihakku."[73]. Maka, ia dizinkan kepada murid itu untuk menyampaikan apa yang terkandung dalam kitab tersebut bagi pihak Sheikh tersebut.

5. Kitabah (Tulisan): Kaedah lain mendapatkan Hadith daripada seorang Syeikh ialah melalui tulisan. Syeikh menulis satu riwayat Hadith kepada seseorang yang datang berjumpa dengannya atau yang datang dari jauh daripadanya dan kemudian mengizinkan orang itu meriwayatkan Hadith tersebut kepada orang lain. Oleh itu Syeikh telah memberikan keizinan kepada orang itu menyampaikan apa yang dituliskan untuknya. Jumhur ulama berpendapat sahih periwayatan yang dituliskan sendiri oleh Syeikh Hadith tersebut, walaupun keizinan tidak disertakan dalam tulisan itu, kerana tulisan itu sendiri adalah satu keizinan kepada periwayatan Hadith. Ia umpama kesahihan menyampaikan fatwa oleh seorang Mufti [74], walaupun jika keizinan tidak disertakan dalam tulisan tersebut.

6. E'ilam (pemberitahuan) [75]: Kaedah lain menyampaikan Hadith ialah melalui pemberitahuan, misalnya pemberitahuan oleh Syeikh kepada anak muridnya bahawa kitabnya mengandungi riwayat-riwayat Hadith atau Hadith ini adalah dari riwayat yang disampaikannya atau apa yang dia dengar, tetapi tanpa keizinan kata-kata: "Sampaikanlah bagi pihakku atau aku izinkan kamu meriwayatkannya." Sebilangan ulama mengizinkan periwayatan Hadith dengan kaedah ini, sedangkan yang lain-lain tidak mengizinkannya.

7. Wajadah: Adalah satu keadaan di mana seseorang menemui tulisan Hadith yang ditulis oleh seseorang yang lain tetapi dia tidak mendapatkannya daripada penulis Hadith tersebut, dan tidak mendengar daripadanya atau mendapat izin daripadanya untuk meriwayatkan Hadith kepada orang lain. Dalam keadaan ini, maka pengesahan tentang kitab tersebut kepada penulisnya hendaklah dikenalpasti bagi memastikan kesahihan periwayatan Hadith tersebut. Inilah di antara perkara-perkara asas penting kaedah menyampaikan Hadith secara langsung. Walau bagaimanapun, kita patut mengetahui bahawa riwayat-riwayat Hadith yang sampai kepada kita melalui keadah-kaedah tersebut. Tetapi selepas ilmu pengetahuan berkembang, dan pengumpulan Hadith dalam koleksi kitab-kitab seperti al-Kafi, Bukhari dan lain-lain, maka semua kitab tersebut menjadi sumber langsung kepada kita bagi mendapatkan Hadith-hadith tanpa perlu kepada menghimpunkan Hadith-hadith daripada Sheikh-sheikh Hadith dan mendapatkan izin daripada mereka dan sebagainya.

4
PELAJARAN 14

Persamaan Nama Di kalangan Perawi dan Kaedah Membezakan Mereka
Adalah jelas kepada kita terdapat sebahagian di kalangan perawi mempunyai ciri-ciri kejujuran, dan tsiqah, manakala yang lain-lain memiliki sifat-sifat lemah, pembohong dan seumpamanya, dan yang lain-lain tidak dapat dipastikan kedudukannya. Dan juga terdapat di kalangan mereka tidak diketahui keadaan akhlak mereka. Justeru, di sini kita akan menerangkan bahawa terdapat di kalangan mereka memiliki nama yang sama atau nama timangan yang sama atau nama keluarga yang sama (misalnya Muhammad bin Qais, Muhammad bin Isma'il, Abu Basir dan Ibn Sannan dan lain-lain lagi). Dalam rantaian perawi-perawi, anda akan dapati lebih daripada seorang perawi mempunyai nama Muhammad bin Isma'il, dan begitu juga lebih daripada seorang perawi mempunyai nama Abu Basir dan lebih daripada seorang perawi mempunyai nama Ibn Sannan. Walau bagaimanapun membezakan di antara mereka amat penting supaya kita dapat mengetahui kedudukan di antara mereka sama ada tsiqah ataupun tidak supaya kita mengetahui di kalangan mereka orang-orang yang boleh dipercayai dan riwayat mereka dapat dipegang dan orang-orang yang tidak boleh dipercayai dan riwayat mereka ditolak.

Walau bagaimanapun, kita tidak akan menghadapi masalah ini jika semua perawi yang mempunyai nama yang sama adalah orang-orang yang tsiqah atau lemah atau tidak diketahui kedudukan mereka. Contoh-contoh Praktikal: Di sini kita akan menyatakan beberapa contoh nama-nama yang sama dan nama timangan yang sama di kalangan beberapa perawi dan kaedah untuk membezakan mereka:

Diriwayatkan dalam Majmaul Rijal oleh Baihaqi bahawa:(Abu Basir Yahya bin Abil Qasim, Abu Muhammad, Abu Basir Asadi Abdullah, Abu Muhammad, Abu Basir Muraadi, Laith bin Bakhtari, Abu Yahya. Dan adalah menjadi satu persamaan di kalangan mereka, sebagai contoh jika diriwayatkan daripada Sadiqain (Imam al-Sadiq dan al-Kadzim) atau salah seorang daripada mereka (AS).

Tetapi jika ia diriwayatkan daripada Imam Kadzim (AS), ia hanya bermaksud Yahya bin Abi Qasim[76].

"Ibn Sinan: Muhammad bin Abdullah dua putera Sinan bin Abdul-Rahman Hashimi, dan Muhammad bin Sinan bin Tarif Zahiri. Mereka berbeza dari segi kedudukan dan kelas [77]".

Dan juga diriwayatkan dalam nota kaki Majma' al-Rijal bahawa: Shahid Thani RA dalam kitabnya Dirayat Hadith wa Shara'tiha berkata: "Sebarang Hadith yang disandarkan kepada Abu Ja'far yang mempunyai Muhammad bin Qais sebagai perawi tidak diterima kerana kaitannya dengan orang yang tsiqah dan tidak tsiqah."

Kita tidak mampu membezakan antara mereka melalui seorang perawi, kerana Aasim bin Hamid, Yusuf bin Aqeel dan lain-lain meriwayatkan daripada seorang yang tsiqah tetapi Yahya bin Zakariyyah meriwayatkan hadith daripada seorang yang lemah. Hal ini adalah sangat jelas.[78]

Dan kita sepatutnya tahu bahawa Abu Basir adalah nama timangan kepada tiga perawi misalnya Ibn Sinan juga merupakan nama timangan kepada tiga perawi iaitu Abdullah bin Sinan Hashimi, Muhammad bin Sinan Hashimi dan Muhammad bin Sinan Zahiri.

Kajian Ilm al-Rijal menunjukkan bahawa Muhammad bin Sinan Hashimi adalah perawi yang lemah, riwayatnya tidak diterima. Muhammad bin Sinan Zahiri, juga seorang perawi yang lemah. Oleh yang demikian jika nama Ibn Sinan wujud dalam satu riwayat maka adalah menjadi tanggungjawab kepada pembaca Hadith tersebut untuk menentukan siapakah sebenarnya perawi itu. Jika didapati perawi tersebut adalah Abdullah bin Sinan, maka Hadith tersebut hendaklah diterima.

Tetapi jika didapati dia adalah Muhammad bin Sinan Hashimi atau Muhammad bin Sinan Zahiri, maka Hadith tersebut hendaklah digugurkan dan menolaknya.

Tetapi jika dia tidak dapat membezakan peribadi tersebut, maka menjadi tanggungjawab ke atasnya menolak Hadith tersebut kerana tidak dapat menentukan sama ada perawi seorang yang tsiqah atau tidak.

Maka inilah perkara yang dilakukan terhadap sesuatu Hadith di mana ia adalah sesuatu yang agak sukar menentukan perbezaan tersebut.

Kaedah Menentukan Perbezaan Yang Wujud Dalam Persamaan Nama Di kalangan Perawi
Daripada penjelasan di atas, dapatlah kita memahami bahawa ulama yang mengambil berat tentang kajian Hadith untuk mengenalpasti identiti perawi-perawi yang mempunyai nama atau nama timangan yang sama bergantung kepada beberapa perkara. Perkara yang paling penting adalah mengenalpasti jangkamasa seorang perawi itu hidup, kerana jangkamasa seorang perawi hidup akan dapat mengenalpasti keadaan seorang perawi sebagaimana yang kita dapat lihat dalam kes Ibn Sinan.
Sebagaimana dalam kes Muhammad bin Qais, yang juga merupakan nama-nama yang biasa di antara beberapa perawi, kerana bin Qais yang disebut dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Asim bin Hamid dan Yusuf bin Aqeel adalah perawi yang tsiqah, kerana kedua-dua perawi ini tidak meriwayatkan Hadith daripada seseorang melainkan orang itu adalah tsiqah.

Sewajarnya kita mengetahui bahawa jangka masa hidup seorang perawi yang menyampaikan Hadith dan perawi yang dikaitkan dengan Hadith tersebut daripada nama yang sama tidak semestinya dua orang yang berbeza atau beberapa perawi yang memiliki nama yang sama. Kerana kemungkinan juga seorang perawi meriwayatkan Hadith daripada mereka atau beberapa perawi yang sama meriwayatkan hadith daripada mereka. Oleh yang demikian kita memerlukan petunjuk lain bagi membezakan mereka.

Keadah Mencapai Sunnah
Adalah jelas kepada kita terdapat jangka masa tertentu di antara zaman Sunnah Nabi dan zaman menghimpunkannya. Oleh yang demikian ulama menghadapi masalah untuk membuktikan dan memastikan apa yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan Ahlul Bayt AS dan kaedah untuk mengenalpasti apa yang dinyatakan oleh Nabi SAWAW atau Imam AS.

Mereka membahagikan kaedah mengenalpasti dan mengiktiraf Hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW atau Imam AS kepada dua bahagian iaitu:

1. Turuq Qat'iyyah.
2. Turuq Ghair Qat'iyyah.
1. Turuq Qat'iyyah merujuk kepada perkara berikut:
a. Khabar Mutawatir.
b. Khabar Mahfuf bil Qara'in Qat'iyyah.
c. Ijma'.
d. Sirat Mutasharri'ah.
e. Irtikaz Mutasharri'ah.
f. Bina Uqala' (Sirat Uqla'iyyah).

Berikut ialah keterangan ringkas keadah-keadah tersebut:

a. Khabar Mutawatir (akan diterangkan kemudian).
b. Khabar Mahfuf bil Qara'in Qat'iyyah bermaksud satu periwayatan yang tidak mutawatir sama ada ia Mashhur atau Ghair Mashhur tetapi dengan pentunjuk yang mengesahkan ia datang daripada Imam-imam AS [80].

Lantaran itu, jika sebarang riwayat sampai kepada kita daripada seorang perawi atau beberapa perawi yang mempunyai petunjuk bahawa ia datang daripada Nabi SAWAW atau Imam AS, maka riwayat ini adalah sahih dan mengesahkan Sunnah tertentu.

c. Ijma' adalah satu kaedah yang mengemukakan Dalil Shari'i. Pengertiannya adalah: persetujuan di kalangan para ulama dan pakar secara sepakat dalam hubungannya dengan hukum tertentu ke peringkat hukum Shari'i [81]. Oleh itu, Ijma' bermaksud mendapatkan hukum tertentu di mana semua ulama bersepakat tetapi tanpa mengetahui sumber rujukan mereka dalam hubungannya dengan hukum tersebut. Maka persepakatan ini akan mendedahkan kewujudan hujah daripada Sunnah walaupun kita tidak mengetahuinya.

d. Sirat Mutasharriah: Amalan sahabat yang berpegang kepada Ahkam al-Syari'ah menjadi hukum dalam Sirat Mutasharriah. Jika perbuatan tertentu datang daripada sahabat yang amat berpegang kepada Ahkam al-Shari'ah ,maka perbuatan ini menjadi hukum, ia mendedahkan hujah dan menjadi hujjah. Shahid Sadr telah menerangkan maksud Sirat al-Mutasharriah dn kepentingannya kepada menentukan hukum, berkata: "Satu persamaan dengan Ijma' adalah jalan yang selaras dengan jangka masa para Imam AS yang suci dan zaman yang hampir kepada mereka...."[82]

Kemudian beliau berkata: "Tentang Sirat Mutasharriah, adalah mungkin menganggapnya sebagai petunjuk kepada Dalil Syari' berasaskan kepada fakta bahawa apabila seorang yang berpegang kepada Ahkam al-Syari'ah memilih jalan tertentu, maka sudah pasti datang daripada hukum Syari'i."

Ada kemungkinan bahawa kaedah yang disebutkan itu berasaskan daripada pengabaian tentang persoalan atau pengabaian tentang memahami jawapan kepada persoalan yang ditanya, walau bagaimanapun jika kita beranggapan kesempurnaan kaedah dan kesepakatan Mustasharri'ah, kita akan membuat rumusan bahawa kemungkinan ini adalah lemah.

Seperti yang kami sebutkan sebelum ini, Sirat Mutasharri'ah selaras dengan Ijma', kerana kedua-duanya bergantung kepada asas kemungkinan. Walau bagaimanapun, Ijma' merupakan persepakatan fatwa di kalangan Fuqaha', dan Sirat Mutasharri'ah merupakan amalan Ahkam Syari'ah oleh Mutasharri'ah. [83]

Maka dengan ini dapatlah kita ketahui kaedah Mutasharri'ah daripada sahabat-sahabat Nabi SAWAW menunjukkan amalan Sunnah Nabi SAWAW.Begitu juga dengan fatwa Shari'i yang ditunjukkan oleh Nabi SAWAW melalui perbuatannya, kata-katanya atau penegasannya tetapi Sunnah Nabi SAWAW itu tidaklah sampai kepada kita secara langsung tetapi kita memperolehi daripada Mutasharri'ah daripada sahabat-sahabat beliau SAWAW atau mereka yang hampir dengan zamannya sama ada melakukan atau menjauhi perbuatan tersebut.

Maka tindakan mereka ini menunjukkan Sunnah Nabi SAWAW. Jika amalan-amalan sahabat Nabi SAWAW menunjukkan Sunnah Nabi SAWAW, maka amalan Mutasharri'in daripda kalangan sahabat-sahabat Imam AS dan mereka yang hidup hampir dengan zaman mereka itu juga menunjukkan Sunnah Imam-imam AS.

Sayyid Muhammad Taqi al-Hakim, ketika membahaskan perkara ini berkata: 'Komposisi yang bergantung kepada pendapat umum tidak memerlukan sesuatu di atas fatwa yang melarang sesuatu misalnya sebelum ia menjadi asas pemikiran mereka yang melakukannya."[84]

Dalam hal ini kita melihat Hukum tetapi mengetahui sumbernya, maka ia menjadi pentunjuk kepada Dalil Syari'i yang bergantung kepada Sunnah Nabi SAWAW.

Hubungan Ijma' Dengan Sirat Mutasharri'iah
Shahid Sadr ketika membahaskan hubungan antara Ijma', Sirat Mutasharri'ah dan Irtikaz min Mutasharri'ah berkata: "Ijma' yang dinyatakan itu menunjukkan periwayatan yang tidak bertulis tetapi diamalkan oleh Mutasharri'ah secara umum."[85]

Pada pendapatnya, "Sirat Mutasharri'ah adalah jalan tengah di antara Ijma' dan Dalil Syari'i."

Oleh yang demikian, apabila Fuqaha' menyatukan fatwa tertentu yang tidak diketahui sumbernya, ini menunjukkan keraguan yang telah diyakini yang sesuai dengan amalan Mutasharri'ah yang hidup pada zaman Hadith tersebut [86].

Maka "Sirat Mutasharri'ah" dan hubungannya dengan dua perkara yang dimaksudkan oleh Fuqaha' dengan Ijma' tersebut, kedua-duanya menunjukkan hukum Syariah yang sah.

Maka adalah persepakatan di kalangan ulama telah menerima "Sirat Mutasharri'ah" dan mengeluarkan fatwa mereka berasaskannya. Lantaran itu dengan cara ini fatwa umum bergantung kepada "Sirat Mutasharri'ah". Maka ia menunjukkan Sunnah kerana kedua-dua datang daripadanya.

e. Bina' Uqala' (Sirat Uqala'iyyah): Ini adalah amalan umum oleh orang-orang yang waras fikirannya pada zaman Nabi SAWAW atau para Imam AS. Maka apabila mereka berdiam diri ke atas sesuatu perbuatan tanpa menolaknya, ia menunjukkan penerimaan mereka dan juga kesahihannya. Oleh yang demikian, apabila kita mendapati amalan masyarakat pada zaman Nabi SAWAW atau pada zaman Imam AS, dan tidak ada petunjuk yang menunjukkan larangannya, maka kita akan ia sebagai keakuran dan penerimaan daripadanya SAWAW.

Dengan ini, "Sirat Uqala'iyyah" menjadi salah satu kaedah yang menunjukkan Sunnah Nabi SAWAW.

Pertama, daripada keakuran "Sirat Uqala'iyyah", kita dapat membuat rumusan kesahihan amalan sosial, dan kedua, kita dapat membuat kesimpulan satu formula umum yang akan lebih luas daripada yang diamalkan pada zaman Nabi SAWAW atau Imam AS.

3. Turuq Ghair Qat'iyyah: bermaksud kemampuan menunjukkan Sunnah walaupun bukan secara pasti.[87]. Dan mengandungi dua bahagian:

a. Kaedah yang Menyimpulkan Bukti Hujjiyyah: "Khabar Ahad" (riwayat yang disampaikan oleh seorang perawi sahaja) di mana hujah yang dibenarkan daripada Qur'an, Sunnah, Ijma', Aql, "Sirat Uqala'iyyah", semuanya mengesahkan "Hujjiyah" dan keperluan mengamalkannya walaupun diragukan periwatannya dari Nabi SAWAW atau Imam AS.

2. Keadah Hujjiyah tidak disabitkan oleh bukti yang menyeluruh: Bukti yang paling nyata ialah "Shuhurah." Shururah terdiri daripada tiga perkara untuk mengenalpasti Sunnah Dan jalan yang paling berkuasa untuk mengenalpasti Sunnah ialah Ijma'. Shururah terbahagi kepada perkara berikut:

1. Shururah Riwa'iyyah: Kemasyhuran Periwayatan Hadith tersebut yang berlegar di kalangan perawi-perawi [88]. Jenis Shururah ini boleh bergantung kepada dua perawi yang bertentangan periwayatannya. Dalam keadaan ini, yang paling terkemuka di antara keduanya akan dipilih. Maka Shururah menjadi satu sumber mengenalpasti Sunnah iaitu memberikan perhatian apa yang datang kepada kita melalui Shuhurah dan mengabaikan yang satu lagi.

2. Shururah Amaliyyah: Ia bermaksud kemasyhuran dari segi amalan di kalangan Fuqaha' tentang periwayatan, walaupun sanadnya lemah atau menolaknya walaupun buktinya dapat dipertimbangkan. Penerimaan dan pengamalan tentang riwayat tersebut menunjukkan kesahihan isi kandungannya, begitu juga tentang Sunnah, kerana sudah pasti ada sesuatu perkara di mana golongan Fuqaha' tersebut menerima riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAWAW atau Imam AS. Pada pandangan ini, sesetengah ulama, Shuhurah menekankan kelemahan sanadnya sedangkan sesetengah ulama yang lain menolak pendapat ini. Shuhurah terdiri daripada penerimaan dan amalan dengan riwayat tertentu dengan harapan ia datang daripada Nabi SAWAW atau Imam AS, manakala penolakan sebilangan besar Fuqaha' terhadap riwayat yang mempunyai sanad yang dapat dipertimbangkan akan menunjukkan penolakan mereka terhadap kesahihan riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAWAW atau Imam AS kerana kelemahan yang mereka temui dalam kandungan Hadith tersebut.

3. Shuhurah Fatawa'iyyah: Kemasyhuran sesuatu fatwa di kalangan Fuqaha' tanpa mengetahui sandaran fatwa mereka. Sebilangan ulama berpendapat fatwa seperti ini menunjukkan wujudnya Sunnah yang menjadi pegangan mereka sebelum fatwa tersebut dikeluarkan, walaupun ia tidak sampai kepada kita. Manakala sebilangan ulama yang lain menolaknya.


5
PELAJARAN 14

Pembahagian Hadith
Kita telah mengetahui bahawa Sunnah Nabi adalah sumber Syari'ah Islam dan ajarannya selepas sumber utama iaitu al-Qur'an. Tetapi sesiapa yang membaca sejarah akan mendapati musuh-musuh Islam daripada Yahudi, Munafiq dan Ghullat dan lain-lain telah memalsukan Hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan para Imam AS, menyelewengkan Sunnah dengan mengada-adakan beribu-ribu Hadith, dan begitu juga memalsukan beribu-ribu yang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mereka melakukan hal ini sehingga usaha membezakan antara Hadith yang sahih dan maudhuk memerlukan satu kerja keras dan kajian terhadap peribadi-peribadi perawi dan matan Hadith. Lantaran itu bagi mencapai tujuan ini, ulama telah mengasaskan Ilmu Hadith sebagaimana yang telah kita sebutkan terdahulu untuk mengkaji dokumen dan teks periwatan sebagai satu pengenalan kepada usaha mengenalpasti kesahihan sesuatu Hadith daripada yang tidak Sahih. Mereka membahagikan Hadith dan riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan para Imam AS kepada dua:

1. Sahih.
2. Ghaira Sahih (Tidak Sahih).

Sejarah telah mengesahkan bahawa pembahagian bermula sejak zaman Nabi SAWAW apabila beliau bersabda kepada orang ramai:
"Wahai manusia, terlalu banyak pembohongan yang telah dikaitkan denganku....."

Sahabat dan Tabi'in sebelum pengasasan Ilm Rijal telah membahagikan Hadith Sahih dan Ghair Sahih selepas kewafatan Nabi SAWAW. Mereka tidak menerima sebarang riwayat melainkan selepas dikenalpasti kejujuran perawi. Dan selepas pengasasan Ilm Rijal dan membezakan perawi yang tsiqah daripada yang tidak tsiqah, maka kerja-kerja membahagikan perawi yang tsiqah mengikut ilmu pengetahuan mereka, kemampuan ingatan, akhlak yang baik, mazhab, pemikiran dan sebagainya menjadi lengkap.

Sebagaimana yang dapat kita lihat, terdapat rantaian perawi beberapa Hadith adalah lengkap dan terdapat pula rantaian perawi yang tidak lengkap dan Hadith-hadith pula diriwayatkan daripada sebilangan perawi atau seorang perawi sahaja.

Terdapat riwayat yang disampaikan oleh ramai perawi yang tidak diragukan kejujuran mereka, manakala terdapat riwayat yang hanya diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja.

Malahan, adalah menjadi satu perkara yang biasa, pergantungan ulama kepada seseorang perawi akan berbeza daripada yang lain walaupun perawi itu seorang yang tsiqah, kerana mereka juga akan bergantung kepada riwayat yang disampaikan oleh ramai perawi lain daripada yang diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi walaupun mereka adalah tsiqah. Justeru, kesahihan Hadith adalah juga bergantung kepada bilangan perawi-perawi yang meriwayatkannya.

1. Khabar Mutawatir: Ia adalah riwayat yang disampaikan oleh sebilangan besar perawi yang tidak memungkinkan mereka melakukan pembohongan (Hadith) kerana bilangan mereka yang ramai.

Malahan umat Islam dalam pelbagai mazhab telah bersepakat bahawa Akhbar Mutawatirah menuntut kesahihan yang tinggi, maka adalah menjadi satu kewajipan untuk mengamalkannya.

Khabar Mutawatir terbahagi kepada dua:
a. Tawatir Lafdi: Ia adalah riwayat yang disampaikan secara Muawatir dalam lafaz dan pengertiannya.
b. Tawatir Ma'anawiy: Ia adalah riwayat yang disampaikan secara Mutawatir dalam pengertiannya dan bukan lafaznya. Misalnya telah disampaikan kepada kita dalam bermacam lafaz tetapi semuanya membawa satu pengertian. Misalnya luasnya riwayat dalam pelbagai lafaz yang membawa pengertian tentang sifat keberanian Ali dan sifat murah hati Hatem dan sebagainya.

Riwayat yang seperti ini mungkin sampai kepada kita melalui Hadith Ahad tetapi semuanya membawa satu pengertian, maka pengertian riwayat ini akan digolongkan kepada Mutawatir Ma'anawiy. Dalam hal ini, ia mencapai tahap Tawatur yang menuntut sahihnya sesuatu riwayat.

Muhaqqiq Hilli ketika menerangkan perkara ini menulis: "Tawatur menuntut kesahihan walaupun ia merupakan Khabar Ahad, misalnya sifat murah hati Hatem dan keberanian Ali."[89]

3. Khabar al-Ahad: Ia merupakan riwayat yang perawi-perawi tidak sampai ke tahap Tawatur. Riwayat jenis ini riwayat yang diragukan dan tidak dapat dapat dipastikan kesahihannya. Shahid Sadr dalam salah satu daripada kata-katanya mendefinisikan riwayat jenis ini sebagai riwayat yang sama sekali tidak dapat dipastikan kesahihannya.."[90]

Malahan, satu perbahasan yang besar berlaku di kalangan ulama mengenai penerimaan Khabar Wahid dan hujjiyahnya atau penolakannya dalam Syari'ah. Mereka membahagikan kepada dua: Mereka yang menolak hujjiyahnya kerana tidak dapat dipastikan kesahihan dalam Syari'ah, kerana terdapat kemungkinan berlaku kesalahan dan penyelewengan; dan mereka yang menerimanya berdasarkan pandangan mereka dengan bukti daripada Qur'an dan Sunnah.

Walau bagaimanapun, ulama telah menerimanya, dan juga bergantung kepadanya dalam pengambilan hukum Syari'ah.

Bukti-bukti Penerimaan Khabar Ahad:
Mereka yang percaya kesahihan Khabar Ahad bergantung kepada hujah daripada al-Qur'an dan Sunnah.

Al-Qur'an menyatakan:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq membawa berita, periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatan kamu itu." (al-Hujurat [49]: 6)

Mereka membuat kesimpulan bahawa ayat tersebut mempunyai sebab diturunkan. Ia diturunkan terhadap kata-kata Walid bin Uqabah bin Abi Mu'it, ketika Nabi SAWAW mengutusnya kepada Bani Mustalaq untuk memungut Zakat. Walau bagaimanapun, beliau kembali semula ke Madinah sebelum bertemu Bani Mustalaq dan memberitahu Nabi SAWAW bahawa Bani Mustalaq enggan membayar Zakat dan sedang merancang untuk membunuh Nabi SAWAW. Ketika mendengar perkara ini Nabi SAWAW amat marah dan merancang untuk memerangi mereka. Kemudian ayat tersebut diturunkan kepada Nabi SAWAW, mendedahkan penipuan dan kezaliman Walid. Kita dapat membuat dua kesimpulan kepada ayat ini:

1. Periwayatan seorang yang zalim tidak akan diterima sehinggalah diselidiki dan tentang kesahihannya.
2. Penerimaan periwayatan oleh satu orang jika dia seorang yang tsiqah dan tidak zalim. Maka, Nabi SAWAW menerima riwayat Walid sebelum turunnya al-Qur'an mendedahkan sifat munafiknya. Maka mereka bergantung kepada ayat di berikut: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati." (al-Baqarah [2]: 159)

Ayat ini melaknat orang yang menyembunyikan petunjuk kepada orang ramai. Daripada ayat ini, mereka mengasaskan larangan menyembunyikan apa yang mereka dengar daripada Nabi SAWAW (Hadith). Walau bagaimanapun hal ini tidak dapat dicapai melainkan kita yakin bahawa sesiapa yang berusaha untuk memberi petunjuk kepada orang ramai melalui Hadith sama ada seorang atau lebih.

Maka mereka bergantung kepada Sunnah, misalnya Hadith Nabi SAWAW yang menyatakan: "Allah suka, seorang hamba yang mendengar perkataan dariku, mengingatinya, memahaminya dan menyampaikan apa yang dia dengar. Banyak sekali seorang yang mendapat ilmu pengetahuan walaupun dia bukan seorang terpelajar, dan banyak sekali orang yang menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang yang lebih tahu daripada dirinya."[91]

Maka galakan dan dorongan yang membawa kepada periwayatan Hadith Nabi SAWAW ini kepada orang ramai menunjukkan tanggungjawab menyakini perawi yang meriwayatkan Hadith Nabi SAWAW walaupun ia disampaikan oleh seorang perawi dengan syarat dia bukan seorang yang zalim sebagaimana yang disaksikan dalam ayat di atas tadi.

Dan mereka juga bergantung kepada amalan Nabi SAWAW. Diriwayatkan beliau sering mengirimkan utusan kepada orang ramai sama ada secara seorang diri sebagai wakilnya kepada kabilah tertentu atau orang ramai untuk menyampaikan Islam di mana mereka menyakini semua yang disampaikan oleh utusan itu. Dan sebagai tambahan, sahabat Nabi SAWAW dan para Imam AS menerima riwayat yang mereka dengar daripada seorang perawi yang tsiqah dan Nabi atau Imam tidak menolak sikap mereka itu, maka tindakan Nabi SAWAW dan para Imam AS tidak menolak perbuatan sahabat-sahabat itu menunjukkan penerimaan dan mengesahkan perbuatan sahabat-sahabat tersebut (menerima riwayat dari seorang perawi yang tsiqah).

Di sini, kita patut mengetahui pihak yang menentang penerimaan Khabar Ahad berasaskan hanya kepada pendapat untuk memelihara Sunnah daripada pemalsuan dan penyelewengan, kecuali kaedah ini akan membuka banyak sumber periwayatan dan sumber Syari'ah, dan meninggalkan banyak amalan ibadah dan sosial tanpa sebarang penjelasan.

Mereka menolak beramal dengan Khabar Ahad berasaskan fakta bahawa sandarannya kepada Nabi SAWAW atau Imam AS adalah tidak dapat dipastikan. Bagaimana mungkin kita dapat mengistibatkan hukum Syari'ah dan ajaran Islam daripada asas keraguan dan ketidakpastian di mana al-Qur'an telah melarang kita daripada melakukannya, seperti ayat berikut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu adalah dosa-dosa..." (Al-Hujurat [49]: 12)

Tetapi para ulama telah memberikan jawapan daripada persoalan tersebut, iaitu hujah boleh beramal dengan Khabar Ahad yang menyandarkan kepada Nabi SAWAW atau Imam AS adalah hujah Adillah Qat'iyyah. Maka hujjiyyah dan kesahihannya sebagai sumber perundangan Islam adalah memadai dan dimaafkan.

Pembahagian Khabar Ahad
Khabar Ahad berbeza dari segi kesahihan atau kelemahannya, dan dapat dibahagikan kepada empat jenis:

Ulama Hadith berpendapat orang yang pertama sekali membahagikan Hadith di kalangan mazhab Sunni kepada empat kategori ialah Tirmidhi.

Bagi mazhab Syi'ah (Ahlul Bait) ialah Sayyid Tawus (w.637 H) dan muridnya Allamah Hilli kerana pembahagian ini tidak begitu diketahui sehinggalah abad ke-7 Hijrah, walaupun pembahagian ini menghadapi banyak kontrovesi di kalangan ulama lain dalam mazhab ini.

Mengapakah pembahagian ini dilakukan? Aspek kajian dan ibadah banyak mendapat manfa'at daripada pembahagian ini:

1. Menghapuskan Hadith yang lemah yang tidak boleh digunapakai.
2. Apabila berlaku pertentangan di antara riwayat-riwayat maka
riwayat yang lebih besar akan diberikan keutamaan.

Lantaran itu, Akhbar Ahad dibahagikan mengikut sifat-sifat perawi seperti adil, berakhlak baik, tsiqah atau lemah seperti berikut:

1. Sahih
2. Hasan
3. Muwathaq
4. Dhai'f

Ulama bergantung kepada tiga kagegori di atas dan menggunakannya dalam kerja-kerja mereka tetapi bagi Hadith Dha'if mereka membahagikan pula kepada pelbagai jenis. Yang paling biasa ialah Mursal, Mawdhu' dan Mudallis. Kita akan membincangkan kemudian.

Walau bagaimanapun, jika kita mengkaji dokumen-dokumen periwayatan, kitab-kitab dan pemikiran ulama berkenaan periwayatan Hadith, kita akan dapati bahawa setiap orang daripada mereka telah meriwayatkan Hadith yang disandarkan kepada Nabi SAWAW. Misalnya, Bukhari mempunyai senarai perawi-perawi dalam periwayatan Hadith, begitu juga Muslim, Tirmidhi, Ahmad bin Hanbal, Shafi'i, Abu Hanifah, Kulaini, Saduq, Tawus dan lain-lain lagi daripada kalangan Syi'ah Imamiyyah, di mana mereka bersepakat tentang kejujuran di kalangan sebilangan perawi dan menolak yang lain.

Berhubung dengan pandangan ini, kita menyaksikan Muslim menolak perawi-perawi Bukhari, dan begitu juga sebaliknya, kita menyaksikan Bukhari menolak perawi-perawi daripada Ahmad bin Hanbal. Kita juga menyaksikan syarat-syarat Bukhari menerima Hadith berbeza daripada Ahmad bin Hanbal dan lain-lain. Dan begitu juga berlaku di kalangan ulama Syi'ah.

Berasaskan fakta ini, kita melihat Syaikh Islam ketika memperkatakan tentang Musnad Imam Malik, berkata: "Kitab Malik adalah Sahih pada pandangannya dan daripada orang yang beliau mengambil pendapat tersebut,seperti membuktikan Hadith Mursal dan Munqati dan lain-lain, tidak berasaskan kepada syarat-syarat yang telah kita bincangkan sebelum ini. [92].

Juga ditulis: "Bukhari sendiri selain daripada Muslim, telah meriwayatkan Hadith daripada lebih daripada empat ratus dan tiga puluh orang perawi dan perawi-perawi yang dianggap lemah ialah lapan puluh orang. Muslim sendiri, selain daripada Bukhari meriwayatkan daripada enam ratus dan dua puluh orang, dan perawi-perawi yang lemah di antara mereka ialah seratus dan enam puluh orang." [93]

Perkara ini telah menjelaskan kepada kita mengapa ulama mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan perawi dan Hadith.
Lantaran itu, setiap mazhab menetapkan teori, definisi, dan syarat-syarat kelayakan bagi perawi dan penerimaan Hadith.


6
PELAJARAN 14

Pembahagian Hadith Mengikut Kesinambungan Perhubungan Rantaian (Isnad)

Perawi
Apabila mengkaji dan membahagikan periwayatan yang disampaikan dari generasi ke generasi, ulama telah membahagikan mereka menurut rantaian periwayatan kepada dua:

1. Kesinambungan Perhubungan Rantaian Perawi (Isnad) dalam Hadith Musnad: Hadith ini mempuyai rantaian perawi tanpa ketinggalan satu perawi pun. Rantaian perawi terdiri daripada nama-nama semua perawi daripada orang yang pertama mendengar daripada Nabi SAWAW atau Imam AS atau menyaksikan perbuatan mereka atau penegasan (keakuran) terhadap perbuatan yang lain-lain, sehingga orang yang terakhir meriwayatkan Hadith tersebut.

2. Hadith Mursal: Hadith jenis ini, rantaian perawi tidak dinyatakan atau perawi tidak dinyatakan sama sekali atau hanya sebilangan perawi sahaja yang dinyatakan atau sekurang-kurangnya seorang perawi tidak dinyatakan atau tertinggal atau kabur, misalnya kata-kata: "Mengikut beberapa orang daripada mereka atau beberapa orang sahabat kami; dan lain-lain pernyataan yang kabur yang tidak menyatakan nama perawi. Hadith lain yang dikategorikan sebagai Mursal termasuklah Hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak diketahui akhlaknya atau tidak disebutkan oleh ahli-ahli Ilmu Rijal, walaupun namanya dinyatakan dalam rantaian perawi. Semua Hadith ini dikategorikan sebagai Mursal, yang termasuk dalam Hadith lemah.

Shahid Thani Zain al-Deen Amuli telah mendefinisikan Mursal Hadith sebagai: (Apa yang diriwayatkan oleh Imam-imam Ma'asum tetapi tidak mempunyai penghubung (yang menyampaikan Hadith tersebut) atau mempunyai penghubung yang dia lupa, diabaikan atau kabur. Misalnya, jika dia berkata: "Rasulullah SAWAW bersabda sipolan dan sipolan daripada seorang lelaki atau daripada sahabat-sahabat dan seumpamanya. Dan Mursal Hadtih tidak menjadi hujah kerana kejahilan kita kepada peribadi yang dipadamkan daripada riwayat tersebut." [94]

Justeru, menjadi bukti bahawa Mursal Hadith adalah hadith daif (lemah) di mana ulama tidak beramal dengannya kerana perawi yang tidak disebutkan namanya itu tidak diketahui kedudukannya. Ada di kalangan ulama yang menerima Mursal Hadith dan menganggapnya sebagai hujah jika terdapat di kalangan perawi itu ulama yang terkenal, tsiqah dan bertaqwa. Alasan mereka ialah perawi dari ulama terkenal itu tidak akan meriwayatkan Hadith daripada Nabi SAWAW atau Imam AS sebelum beliau sendiri mengenalpasti kesahihannya, khususnya apabila beliau berkata: "Rasulullah SAWAW telah bersabda atau Imam AS telah berkata." Ini bermakna perawi itu amat yakin Hadith tersebut datang daripada sumber yang benar, jika tidak beliau tidak akan menggunakan perkataan tersebut kerana ia akan menjejaskan kedudukannya sebagai seorang yang tsiqah."

Sebaliknya, ulama lain yang menentang kumpulan ini, menolak pandangan mereka dan tidak mengizinkan beramal dengan Hadith tersebut.

Kami akan membawa contoh-contoh pandangan dua kumpulan ulama berhubung dengan Mursal Hadith. Dinyatakan dalam Rawdatul
Bahiyya, kitab tafsir Lum'atul Dimashqiyya pada bab hutang, bahawa terdapat di kalangan ulama fiqh, memberikan fatwa bahawa hutang yang dipinjam oleh simati atau yang diberikan pinjaman oleh simati, maka bayarannya adalah wajib pada saat kematiannya atau selepas kematiannya. Fatwa ulama fiqh ini berdasarkan riwayat Mursal. Walau bagaimanapun Shahid Awwal dan Thani menolak fatwa tersebut berasaskan pendapat bahawa ia adalah hadith Mursal.

Shahid Awwal berkata: "Ia menjadi wajib pada saat kematian siberhutang dan bukan kepada sipemberi hutang."

Shahid Thani menekankan kata-katanya: "Dikatakan hutang itu menjadi matang (pada ketika kematian sipemberi hutang) berasaskan kepada Mursal Hadith tetapi dengan menggunakan analogi pada saat kematian sipenghutang, dan ia adalah tidak sah."
Mursal Hadith yang dipersoalkan itu adalah riwayat dari Muhammad bin Ya'aqub Kulaini daripada Abu Ali Ash'ari daripada Muhammad bin Abdul Jabbar daripada salah seorang sahabat-sahabat daripada Khallaf bin Hammad daripada Isma'il bin Abi Qurra daripada Abu Basir yang berkata: "Ja'far al-Sadiq (Abu Abdullah) berkata; "Apabila seorang meninggal dunia, kedua-dua hutang yang dipinjamnya atau yang diberikan pinjaman olehnya menjadi matang."[95]

Apa yang menyebabkan Hadith ini Mursal adalah nama orang yang diriwayatkan daripada Muhammad bin Abdul Jabbar tidak dinyatakan apabila beliau berkata, "salah seorang sahabat-sahabatnya" dan orang itu tidak diketahui. Ulama seperti Shahid Awwal dan lain-lain yang menolak Hadith ini berasaskan alasan ini.

Jenis-jenis Mursal: Ulama Hadith selepas mengkaji Mursal Hadith, mendapati ada di antaranya yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang tsiqah sedangkan yang lain-lain tidak. Maka mereka membahagikan Mursal Hadith kepada dua jenis:

1. Mursal Thiqah. Hadith ini disandarkan kepada Imam Ma'sum AS oleh perawi di mana ulama Rijal yakin bahawa beliau tidak akan meriwayatkan Hadith kecuali daripada orang yang dipercayai. Mursal jenis ini dianggap sebagai hujah oleh ulama Usul seperti mana yang dinyatakan di atas.[96]

2. Mursal Ghair Thiqah. Hadith jenis ini disandarkan kepada Imam Ma'sum AS oleh perawi yang tidak diketahui kedudukannya berkaitan apa yang diriwayatkannya. [97] Terdapat di kalangan ulama Usul berpandangan bahawa Mursal Hadith boleh dijadikan hujah jika ulama mu'tabar pada generasi berikutnya beramal dengannya. Hujah mereka berasaskan alasan bahawa ulama mu'tabar tidak akan menerima Hadith-hadith tersebut jika mereka tidak mempunyai bukti-bukti qarinah yang menjadi saksi kepada kesahihan Mursal Hadith tersebut. Di sebaliknya, ulama lain percaya bahawa tindakan ulama mu'tabar tidak boleh menjadi hujah untuk nas yang lemah. Lantaran itu mereka tidak menerima Mursal Hadith sebagai hujah yang dapat diterima.
Apabila ulama Ilmu Rijal memperkenalkan seorang perawi yang bukan hidup sezaman dengannya dan tidak mempunyai rantaian yang sampai kepada seseorang yang hidup sezaman dengan perawi tersebut, maka ia juga dianggap Mursal. Maka terdapat di kalangan ulama menganggap ia sebagai kesaksian yang meragukan. Bagi menyelesaikan masalah ini, satu pandangan yang ilmiah digunakan dan teori kembali kepada pakar dan menganggap pandangan mereka sebagai hujah. Berhubung dengan perkara ini, ulama fiqh bergantung kepada penilaian dan kesaksian ulama Ilm Rijal kerana mereka menganggapnya sebagai pakar walaupun beliau tidak menyatakan rantaian yang membawa kepada perawi tersebut.

Percanggahan Riwayat Dan Teori-teori Untuk Menyelesaikannya
Islam adalah agama yang dibawa oleh Nabi SAWAW untuk membawa rahmat kepada seluruh aspek kehidupan manusia, dan ia mencakupi aspek aqidah, pendidikan, akhlak, moral, undang-undang dan syariah yang mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, dirinya, masyarakatnya atau dengan alam sekeliling, dan haiwan yang mengelilingi mereka. Sunnah adalah sumber kedua kepada Syariah selepas Kitab Allah. Sunnah menjadi pengawal kepada peraturan-peraturan yang terkandung dalam Kitab Allah. Sunnah menjelaskan secara terperinci peraturan-peraturan yang terkandung dalam al-Qur'an. Al-Qur'an menyatakan:

"Dan tidaklah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapanya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh yang sangat kuat." (An-Najm [53] : 3-5)

Justeru itu, sebarang peraturan, undang-undang, aqidah atau konsep yang menguruskan kehidupan manusia yang datang daripada Rasulullah SAWAW membentuk buah fikiran yang menyatukan dan peraturan-peraturan yang lengkap tanpa sebarang perselisihan dan pertentangan. Walau bagaimanapun , terdapat juga banyak ketidakselarasan dan pertentangan yang datang daripada Hadith-hadith yang dikaitkan kepada Nabi SAWAW dan para Imam AS dalam makna dan perkaitannya dengan beberapa ayat-ayat Qur'an. Kita akan dapati satu riwayat yang menyatakan tentang perkara tertentu adalah halal dan riwayat yang lain sebagai haram. Satu riwayat akan menggambarkan satu pemikiran atau konsep dan riwayat yang lain akan bertentangan dengannya.

Hal ini membawa kepada ulama Usul Syariah mengambil langkah kajian yang mendalam berhubung dengan isu pertentangan dalam Hadith, mendedahkan sebab-sebabnya dan langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pengertian "Ta'arudh" (Pertentangan)
Dari segi bahasa, ta'arudh bermaksud tidak selaras atau tidak bersetuju dengan (perkara tersebut) [98]. Dan dari segi istilahnya "ta'arudh" bermaksud tidak bersesuaian tentang apa yang diambil daripada dua hujah [99].

Beberapa syarat telah diasaskan untuk mengesahkan wujud pertentangan di antara dua riwayat, iaitu: Kedua-duanya hendaklah mempunyai hujah yang kuat dalam nas dan hujah, yang boleh membawa kepada wajib beramal kepadanya, jika tidak wujudnya pertentangan dalam riwayat yang lain; salah satu riwayat dapat membatalkan riwayat yang lain dan kedua-duanya tidak dapat mengatur yang lain [100].

Amatlah mustahak untuk menyatakan bahawa terdapat kemungkinan pertentangan dalam hujah zanni (prasangka). Namun tidak ada pertentangan di antara hujah Qat'i atau di antara hujah Qat'i dan Usul Amaliyyah.

Daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar Hadith dan Ilm Rijal, amatlah jelas bahawa sisipan dan pembohongan yang disandarkan kepada Nabi SAWAW dan Imam AS dan Sahabat adalah sebab yang paling besar berlakunya perselisihan-perselisihan dan pertentangan-pertentangan ini. Apa yang telah kita bincangkan sejauh ini adalah pertentangan yang sebenarnya dan dalam kesaksian berhubung dengan periwayatan-periwayatan Hadith.

Pertentangan lain ialah pertentangan secara cetek, iaitu disebabkan apabila diamati secara teliti seseorang akan dapati tidak wujud pertentangan yang sebenarnya di antara riwayat-riwayat tersebut.
Misalnya pertentangan di antara Am dan Khass dan di antara Mutlaq dan Muqayyad. Lantaran itu pertentangan yang wujud dalam riwayat-riwayat Hadith dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Ta'arudh Mustaqir: Ini merupakan pertentangan yang sebenarnya wujud di mana salah satu riwayat dapat membatalkan yang lain dalam pengertian apa yang dapat di ambil daripadanya, maka tidak mungkin dapat disatukan kedua-duanya. Menurut sebilangan ulama, kedua-dua riwayat hendaklah dipadamkan dan prinsip bara'ah (berlepas diri) hendaklah diambil berhubung dengan kedua-dua riwayat ini. Sebilangan ulama yang lain lebih suka kepada teori memilih iaitu beramal mengikut salah satu daripada riwayat yang bertentangan itu kerana terdapat hujah yang memberi izin kepada seorang Mukallaf beramal kepada salah satu daripada riwayat yang dipilihnya sehingga datangnya fatwa yang dapat mempertimbangkan riwayat mana yang lebih kuat dan dengan ini kedudukan riwayat-riwayat tersebut menjadi jelas.

2. Ta'arudh Ghair Mustaqir: Ini adalah pertentangan yang cetek yang wujud di antara dua riwayat yang sebenar dapat diselesaikan dengan menyatukan apa yang dapat diambil daripada kedua-dua riwayat tersebut misalnya dalam riwayat yang menyatakan makna Amm dan riwayat yang lain dengan makna Khas; atau misalnya pertentangan di antara riwayat Mutlaq dan Muqayyad, di mana riwayat yang kedua dipilih daripada riwayat yang pertama. Maka ia bukanlah pertentangan yang sebenarnya tetapi riwayat yang kedua menjelaskan secara terperinci daripada riwayat pertama. Begitu juga jika terdapat riwayat dengan makna Amm bertentangan dengan riwayat dengan makna Khass, maka riwayat kedua dipilih kerana ia menyatakan secara khusus tentang makna Amm yang dinyatakan itu. Atau pertentangan di antara satu riwayat yang melarang sesuatu dan riwayat yang lain mengizinkannya, maka hasilnya ialah fatwa di antara kedua-duanya iaitu Karahah (Makruh) berkaitan dengan perkara tersebut. Maka adalah jelas bahawa tidak wujud pertentangan yang benar-benar berlaku di antara riwayat yang mengizinkan tentang sesuatu dengan yang melarangnya.

Ta'dul Dan Tarjih
Apabila riwayat-riwayat dikaji dan nas dianalisa, isnad dan qarinah dipastikan, didapati terdapat di antaranya memiliki ciri-ciri tertentu yang menyebabkan ia menjadi pilihan berbanding riwayat yang lain. Yang lain tidak mempunyai ciri-ciri yang menyerlah. Berasaskan perkara ini, ulama telah melakukan kajian "Ta'dul dan Tarjih", dan mereka telah membahagikan riwayat-riwayat kepada:

1. Riwayat Muta'adilat: Ini adalah riwayat yang bertentangan dalam apa yang dapat diambil tetapi mempunyai persamaan dalam ciri-ciri yang terdapat dalam nas dan isnad. Salah satu tidak mempunyai ciri-ciri terserlah melebihi yang lain. Oleh yang demikian, ulama Hadith, seperti yang dinyatakan di atas mempunyai dua teori untuk menyelesaikan riwayat-riwayat ini iaitu jika tidak dapat menyatukannya maka sama ada kedua-duanya dipadam atau salah satu menjadi pilihan.

3. Riwayat Rahjihah: Ini adalah riwayat-riwayat yang salah satu boleh menjadi pilihan berbanding riwayat yang bertentangan dengannya disebabkan ciri-ciri tertentu.

Pembahagian Ciri-ciri Yang Tertentu: Ulama Hadith telah membahagikan ciri-ciri ini kepada tiga:

1. Murajihat Sanadiyyah: Ini adalah ciri-ciri tertentu yang terlihat dalam rantaian isnad periwayatan salah satu daripada riwayat yang bertentangan, yang mendatangkan darjah kepercayaan yang tinggi bahawa ia adalah dari Nabi SAWAW atau Imam AS, yang menjadikan riwayat tersebut menjadi pilihan dan beramal dengannya sementara riwayat yang satu lagi diabaikan. Dan ciri-ciri ini adalah:

a. Bilangan perawi yang berbagai dan ramai: Satu riwayat yang datang daripada bilangan perawi yang ramai lebih dipilih (rajih).

b. Terdapat perawi yang terkemuka dalam salah satu daripada riwayat yang bertentangan yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti tsiqah, berilmu, taqwa atau lebih menepati daripada yang lain, maka riwayat ini menjadi pilihan daripada riwayat yang satu lagi.

c. Darjah ketinggian pada nas: Ia merupakan bilangan penghubung yang sedikit di antara perawi Hadith hingga kepada Nabi SAWAW atau Imam AS, di mana riwayat yang sedikit bilangan penghubung yang sedikit menjadi pilihan kerana kadar kesalahan atau kelupaan menjadi sedikit juga. Maka satu riwayat yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat Nabi SAWAW lebih menjadi pilihan daripada yang diriwayatkan oleh seorang tabi'in (orang yang hidup bersama sahabat).

2. Murajihat Matniyyah: Ini adalah ciri-ciri tertentu yang terserlah pada matan Hadith yang tidak didapati pada riwayat yang bertentangan itu, maka ia menyebabkan riwayat ini mempunyai darjah kesahihan yang tinggi bahawa ia datang daripada Nabi SAWAW atau Imam AS. Dan ciri-cirinya adalah:

a. Diketahui bahawa terdapat Hadith yang diriwayatkan dalam bentuk yang asli daripada kata-kata Nabi SAWAW dan kadang-kadang terdapat juga di kalangan perawi yang hanya memberikan pengertiannya sahaja bukan kata-kata asal tersebut. Maka hadith yang pertama tadi menjadi pilihan berbanding hadith kedua kerana kemungkinan perawi tidak mengingati semua perkataan yang diucapkan oleh Nabi SAWAW.

b. Pembinaan nas Hadith mengandungi kefasihan, teratur bersih dan dan sebagainya, kerana riwayat yang lebih fasih menjadi pilihan berbanding riwayat yang lemah dan kurang fasih yang bertentangan dengannya. Ini kerana riwayat yang datang daripada Nabi SAWAW mempunyai darjah kefasihan yang amat tinggi dan teratur dan bersih dan jauh daripada sifat lemah dan tidak teratur.

c. Keakuran tentang apa yang dapat diambil daripada salah satu daripada riwayat dengan banyaknya penjelasan yang memberikan pengertian sama ada dalam bentuk pertanyaan atau kesaksian sumpah, maka riwayat yang demikian menjadi pilihan daripada yang lain. Sebagai contoh, berkenaan riwayat yang menyatakan solat Qasar oleh seseorang yang keluar berpergian selepas sampai masanya. Diriwayatkan bahawa: "Dan jika kamu tidak melakukannya demi Allah, kamu telah menentang Rasulullah." [101] Dengan menganalisa riwayat ini, kita dapati ia membawa beberapa pengertian; kerana kata-kata Imam AS bahawa "Pendekkan (solat kamu)" menunjukkan bahawa mengqasar solat adalah wajib. Kedua, kata-katanya: "Dan jika kamu tidak melakukannya - demi Allah - kamu telah menentang Rasulullah, di mana kata-kata sumpah (demi Allah) telah menunjukkan keakuran kepada apa yang diriwayatkan.

4. Murajihat Kharijiyyah: Ini adalah ciri-ciri lain yang dimiliki oleh satu riwayat dan tidak dimiliki oleh riwayat yang lain yang bertentangan dengannya. Ia dipanggil "Murajjihat Kharijiyyah" kerana ciri-ciri luaran pada sesuatu Hadith di samping nas riwayat tersebut. Yang paling terkemuka ialah:

a. Meriwayatkan hujah yang berbeza yang membantu mengesahkan apa yang dapat diambil daripada riwayat untuk menyokong pengertiannya. Sokongan ini menyebabkan riwayat itu menjadi pilihan berbanding riwayat yang bertentangan.
b. Ulama terdahulu beramal dengan riwayat tersebut, maka ia menjadikannya sebagai pilihan kepada pengertiannya atau mempunyai darjah kebolehpercayaan yang tinggi datang daripada Nabi SAWAW atau Imam AS. Hal ini disebabkan dekatnya ulama terdahulu kepada sumber Hadith membawa kemungkinan yang tinggi bahawa mereka telah menemui qarinah yang menyokong kesahihan riwayat tersebut dan mereka telah memahaminya walaupun bukti tersebut tidak sampai kepada kita.
Selesai membentangkan pandangan ilmiah berkenaan "Ta'adul dan Tarjih", maka adalah perlu dinyatakan bahawa ulama mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza untuk membezakan ciri-ciri tertentu pada riwayat-riwayat yang menjadi pilihan berbanding riwayat-riwayat yang lain dan juga berbeza pendapat untuk bergantung kepada ciri-ciri ini.

Menyatukan Pertentangan
Ulama Usul telah mengasaskan kaedah ilmiah untuk menyelesaikan pertentangan dalam periwayatan Hadith dan ini adalah di antara kajian yang penting berhubung dengan periwayatan dan asas-asas perundangan di mana undang-undang Syari'ah, konsep dan pemikiran Islam diambil dan bergantung kepadanya, misalnya:

1. Peraturan menyatukan riwayat yang bertentangan dan salah satu menjadi pilihan daripada yang lain. Seperti menyatukan pengertian Amm dan Khass, dengan memilih Khass daripada Amm, atau Mutlaq dan Muqayyad, di mana yang kedua menjadi pilihan daripada yang pertama.

Penjelasan ilmiah berkenaan peraturan ini adalah untuk menemukan suatu keadaan kerana ia menunjukkan pengeluaran dua peraturan daripada Pembuat Undang Yang Maha Bijaksana; salah seorang daripadanya dengan pengertian yang Amm dan yang lain dengan pengertian yang Khass atau salah satu menyatakan peraturan bersifat Mutlaq dan yang lain menyatakan Muqayyad. Sememangnya peraturan yang lebih kecil skopnya menjadi petunjuk yang menerangkan tujuan kepada Pembuat Undang-udang Yang Maha Bijaksana(dalam hal peraturan yang mempunyai skop yang lebih luas) dan bukan bertentangan dalam tujuannya. Maka dengan cara ini tujuan Pembuat Undang-undang Yang Maha Bijaksana dapat disampaikan dan sebarang pertentangan dipisahkan.

Sebagai contoh: Sejumlah riwayat melarang riba' secara total seperti mana dalam ayat Qur'an, tetapi kita dapati ada riwayat-riwayat lain mengizinkan seorang Muslim mengenakan riba kepada Kafir Harbi.

Rasulullah SAWAW diriwayatkan bersabda:

"Jangan makan riba atau memfitnah wanita yang suci."[102]

Dan beliau SAWAW bersabda:

"Tidak ada riba' di antara kami dan mereka yang memerangi kami. Kami mengutip beribu dirham untuk seseorang tetapi kami tidak memberikan kepada mereka."[103]

Bagi menyelesaikan pertentangan ini kita dapat memahami bahawa Pembuat Undang-undang Yang Maha Bijaksana tidak akan bertentangan dengan diriNya dalam peraturan. Dia hanya menetapkan peraturan umum, memberikan pengecualian dalam larangan yang berbentuk umum berkaitan dengan riba' dengan mengizinkan umat Islam mengenakan riba' kepada golongan Kafir Harbi.

2. Tarjih: Ia bermaksud pilihan kepada riwayat yang mempunyai ciri-ciri tertentu dalam nas, isnad perawi atau qarinah yang menjadi latar kepada riwayat tersebut dan beramal kepada isi kandungannya.

3. Takhyeer: Ia bermaksud memberikan seorang Mukallaf hak untuk memilih dan beramal mengikut salah satu riwayat yang bertentangan yang disukainya. Ini diizinkan apabila kombinasi atau pemilihan terhadap salah satu riwayat tidak dapat dilakukan.

4. Tasaqut: Terdapat sebilangan ulama berpandangan bahawa riwayat-riwayat yang bertentangan yang tidak dapat disatukan pengertiannya atau tidak mempunyai ciri-ciri kelebihan di antara kedua-duanya hendaklah dipadamkan kedua-duanya (tidak diterima). Dalam hal ini kita hendaklah kembali kepada Usul Amaliyyah seperti Usul Bara'ah dan Usul Ihtiyat dan sebagainya.

Wal-hamdu-lillah-Rabbi-l-'alamin.

Nota kaki:

1. Fakhruddin Razi Mukhtar al-Sihah.
2 Memetik daripada Sayyid Muhammad Taqi al-Hakim Usool
al-Ammah Lil fiqh al-Muqaran , hlm. 121.
3. Majma' al-Bahrain, Kitab al-Noon.
4. Ahkam fi Usool Ahkam vol 1 , hlm. 223, disemak oleh
Dr. Sayyid Jumaili.
5. Ibid.
6 Raghib al-Isfahani, Mu'jam Mufrada: aifad al-Qur'an.
7. Wasa'il ai-Shi'ah, voL 8, hlm. 597.
& Shaikh Mustafa Itimad, Sharh Ma'lim al-Deen, hlm. 239.
9. Kulaini, Usool nun al-Kafi, vol 1, hlm. 59.
10& 11. Ibid.
12 Ibid p. 7.
13. Muhaqiq al-Hilli, Muàrij al-Usool, hlm. 180.
14. Petikan daripada Abdullah Shubbar, Haq al-Yaqeen fi
Ma'rifat Usool al-Deen, vol 1, hlm. 94.
15. Dr. Muhammad Siddiqz Hadith Literature, hlm. 21.
Calcutta University, India
16. Raghib Isfahani, Mu 'jam Mufradad alfad al!-Qur'an.
17. Isabah ft Tamyyiz al-Sahaba, vol 1, bab Pertama, hlm. 7.
18. lbid hlm. 10-11.
19. Ya'qubi, Tarikh al-Ya'qubi, vol 2, hlm. 162
20. Ibid.

7