Situs Al Imamain Al Hasanain Pusat Kajian Pemikiran dan Budaya Islam

Ismah Nabi Muhammad SAWA

0 Pendapat 00.0 / 5

Pengertian Ismah

Dalam al-Qur'an kata ismah digunakan sebanyak 13 kali dalam bermacam-macam bentuk, namun semuanya mengandung satu pengertian iaitu imsak (menahan diri), dan mana' iaitu mencegah. Ibn Faris berkata kata ismah yang benar mempunyai satu akar yang menunjukkan maksud menahan diri (imsak), mana' (mencegah) dan mulazamah (penetapan atau tidak meninggalkan). Dan semua itu mengandung satu pengertian iaitu ismah bermaksud pemeliharaan Allah SWT terhadap hambaNya dari keburukan yang akan menimpanya, dan hamba itu berpegang teguh kepada Allah SWT. Dengan demikian ia tercegah dan terlindungi. Di antara ayat-ayat yang menyebutkan ismah ialah Surah Ali Imran: 103, Surah Yusuf:32, At-Tahrim:6, dan Al-Maidah:67. Al-Mufid menyatakan bahawa ismah dalam bahasa yang aslinya adalah sesuatu yang dipegang teguh oleh manusia, yang dengannya terpelihara dan terhindar dari apa yang tidak diinginkan. Menurut Jamaluddin Miqdad bin Abdullah al-Asadi al-Hilli bahawa ismah adalah sifat kejiwaan yang tetap stabil dan ismah itu memelihara orang yang memiliki sifat itu dari perbuatan dosa dengan ikhtiar dan kemampuannya. dengan sifat ini, ia mengetahui akibat-akibat kemaksitan dan baiknya ketaatan. Kerana, ketika kesucian sampai ke jiwa dan ilmu yang sempurna mengetahui derita akibat kemaksiatan dan kebahagian akibat ketaatan, maka ilmu itu pasti menetapkan ke dalam jiwa, maka ia menjadi sifat yang tetap"(Al-Lawa'mi al-Ilahi, hlm.170). Justeru ismah adalah suatu kekuatan di dalam jiwa yang memelihara manusia dari perbuatan yang menyimpang dari Allah SWT. Ismah bukan sesuatu yang berada di luar zat manusia yang sempurna.

Menurut Almarhum Allamah Thabatabai bahawa ilmu ismah, yakni daya ismah tidak merubah tabiat manusia yang ikhtiari dalam perbuatannya berdasarkan kehendak, dan tidak ada yang merubahnya dengan unsur paksaan. Ilmu adalah bahagian dari dasar-dasar ikhtiar dan dasar kekuatan ilmu tidak mewajibkan kecuali pada kekuatan kehendak, seperti pencari keselamatan. Jika ia yakin ada cairan apa sahaja yang sangat panas dan dapat membunuh orang dengan menjerumuskan ke dalamnya maka dengan ikhtiarnya ia pasti tidak meminumnya. Tiada lain pelaku itu termasuk terpaksa, sama ada ia keluar dari salah satu dari dua alternatif - melakukan dan meninggalkan - dari kemungkinan kepada kemustahilan.

Menurut Syaikh Ja'far Subhani bahawa Nabi yang maksum mampu melakukan kemaksiatan dan dosa, sesuai dengan kemampuan dan kemerdekaan yang ada padanya tetapi kerana ia telah mencapai peringkat taqwa yang tinggi, ilmu yang qath'i terhadap akibat dosa dan kemaksiatkan serta kerana pengaruh timbulnya perasaan mengagungkan Khaliqnya. Dengan demikian ia terpelihara dari perbuatan itu, dan ia tidak melakukan perbuatan walaupun dengan kemampuan dan kekuasaannya sendiri.

Ismah disifatkan sebagai anugerah Ilahiyyah kepada orang yang mampu mengambil manfa'at darinya untuk meninggalkan segala perbuatan yang buruk berdasarkan kebebasan, kemerdekaan dan ikhtiarnya. Allamah Al-Hilli menjelaskan bahawa ismah adalah anugerah Allah SWT yang diberikan kepada hambaNya, yakni anugerah yang mendekatkan pada ketaatan, yang dengannya ia tahu bahawa ia tidak akan melakukan kemaksiatan dengan syarat bahawa hal itu tidak berakhir dengan kepasrahan.

Justeru ismah tidak diberikan kepada seseorang kecuali setelah adanya persediaan sifat-sifat yang baik di dalam jiwa orang yang maksum yang layak menerima anugerah itu. Qabiliyah (persediaan) yang diturunkan secara keturunan dan perwarisan misalnya genetik yang baik dari keturunan yang baik, dan segala sifat-sifat yang baik turut berpindah melaluinya zuriat dan keturunan yang baik juga. Selain dari itu ialah faktor pendidikan yang baik dan ikhtiar yang baik dalam peribadi dan sosial seperti melawan hawa nafsu yang jahat dan sebagainya. Jelas bahawa para Anbiya'dan Imam-imam mempunyai ketiga-tiga faktor itu melebihi orang lain dan jadilah mereka pilihan Allah SWT dalam kurniaan terhadap ismah tersebut.

Almarhum Allamah Thabatabai menyatakan bahawa sesungguhnya Allah SWT menciptakan sebahagian hambaNya atas dasar fitrah yang kukuh dan penciptaan yang seimbang, kemudian mereka tumbuh berkembang dari dasar itu menjadi manusia yang memiliki kecerdasan, kepimpinan, pengetahuan yang benar, jiwa yang suci dan hati yang Islami. Di samping mereka memperolehi kesucian fitrah, keselamatan jiwa dari nikmat keikhlasan sebagaimana yang didapatkan oleh manusia lain, yang demikian itupun melalui usaha dan ikhtiar dalam mencapai kesucian yang tertinggi dan penghindaran dari bermacam-macam kotoran dan kelemahan. Yang jelas mereka itu adalah hamba Allah yang mukhlasin (yang diikhlaskan). Mukhlasin adalah para Nabi dan Imam. Al-Qur'an menetapkan bahawa Allah SWT memilih mereka, yakni mengelompokkan mereka berdasarkan kehendakNya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: " Dan Kami telah memilih mereka dan Kami menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Al-An'am:87)

Menurut Syeikkh Ja'far Subhani terdapat tiga tahap ismah iaitu:
1. Terpelihara dalam pemikiran wahyu, menghafal, dan menyampaikannya kepada manusia.
2. Terpelihara dari perbuatan maksiat dan dosa.
3. Terpelihara dari kesalahan dalam masalah-masalah peribadi dan sosial.

Bukti-bukti Ismah Nabi Muhammad SAWA

Menerusi al-Qur'an, terdapat begitu banyak ayat-ayat yang membuktikan ismah (kemaksuman) Rasulullah SAWA.

Pertama:

Firman Allah SWT dalam surah 33:33 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa-dosa kamu Ahlul Bayt dan membersihkan kamu dengan sebersih-bersih."

Ayat ini membentangkan dengan jelas tentang kebersihan, kesucian serta kekudusan itrah (keluarga Nabi SAWA atau Ahlul Bayt AS dari sebarang cacatcela. Penyucian ini bukanlah dilakukan oleh manusia sendiri, tetapi oleh Allah SWT. Kalau keluarga Nabi SAWA dibersihkan dengan sesuci-sucinya, tentulah Nabi SAWA termasuk juga di dalam pengertiannya, dan turut sama dibersihkan dari perbuatan yang tercela dan seumpamanya.

Kedua:

Firman Allah dalam surah 59:7 yang bermaksud:

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkan dia."

Ini menunjukkan perintah dan larangan Rasul sentiasa diperkenankan Allah SWT. Tentulah seseorang itu boleh memastikan dengan yakin tentang perintah dari orang yang maksum berbanding dengan yang bukan maksum.

Ketiga:

"Firman Allah dalam surah 3:31 yang bermaksud:

"Katakanlah:Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu."

Di sini kecintaan Allah bergantung kepada kecintaan dan ketaatan mereka kepada Nabi SAWA. Kedua-dua cinta ini terangkum sekaligus di dalam ayat tersebut. Kalau seseorang itu mencintai Allah, maka sewajarnya dia menuruti Rasulullah SAWA kerana dengan melaksanakan perbuatan sedemikian, Allah akan mencintai mereka. Perkara seumpama ini tentu tidak dapat dibayangkan, sekiranya Nabi-nabi tidak maksum dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan.

Keempat:

Kemaksuman Nabi SAWA tidak terbatas kepada perbuatan semata-mata, malahan kata-kata beliau juga termasuk di dalam himpunan perintah Alllah SWT. Firman Allah dalam surah 53:3-4, yang bermaksud:

"Tiadalah yang diucapkannya itu, menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepada."

Kelima:

Firman Allah SWT dalam surah 62:2 yang bermaksud:

"Dialah yang mengutuskan kepada kaum umiyyin seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatnya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah."

Nabi Muhammad SAWA dipertanggungjawabkan mengajarkan umatnya mengenal Kitabullah. Ini bererti beliau memahami perintah dan arahan Allah SWT. Justeru itu, baginda berusaha membersih dan memelihara umat manusia serta mengajarkan mereka tentang hikmah. Ini menunjukkan beliau SAWA adalah seorang yang maksum dan bijaksana. Tentulah tidak layak bagi Nabi SAWA memikul tugas ini, andaikata beliau SAWA mengetahui perkara yang tidak dikehendaki Allah SWT tetapi terus juga melakukannya.

Keenam:

Penyaksian tentang akhlak Rasulullah SAWA yang tinggi dan sempurna. Allah SWT dalam surah 68:4 berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnha engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi."

Justeru itu, Nabi SAWA bukanlah seorang yang berdosa dan tidak memiliki akhlak yang rendah kerana ayat ini telah menafikan dakwaan tersebut sebaliknya memuji beliau SAWA.

Walau bagaimanapun, terdapat pula beberapa ayat mengenai Nabi SAWA yang disalahertikan oleh sesetengah golongan. Misalnya firman Allah SWT dalam surah 94:1-4 yang bermaksud:

"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu, dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung (dhalla), lalu dia memberikan petunjuk, dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang berkurangan, lalu Dia memberikan kecukupan."

Istilah "dhalla" dalam ayat tersebut membawa maksud tidak mengetahui berdasarkan firman Allah SWT dalam surah 42:52 yang bermaksud:

"Kamu tidak mengetahui apakah itu al-Kitab dan tidak juga mengetahui tentang iman."

Satu lagi pengertian yang hampir dengan maksud dhalla ialah terlupa (al-dhihab min-ilm) berpandukan firman Allah SWT dalam surah 2:282 yang bermaksud:

"..supaya jika seorang lupa (an-tadilla ihdahu), maka seorang lagi mengingatkannya."

Ini kerana pengertian sedemikian tidak mengandungi sebarang dosa atau kesalahan pada Nabi SAWA. Jika "dhalla" bermaksud sesat, ini tidak bererti Nabi SAWA telah tersesat dari kebenaran. Al-Tibrisi dalam Majma al-Bayan menyatakan bahawa menurut Al-Ridha, ayat ini ditafsirkan sebagai "hilang di kalangan umatmu", iaitu penduduk Mekah pada waktu itu tidak mengetahui hakikat kedudukan Nabi SAWA yang sebenarnya. Lantaran itu, Allah memberikan petunjuk dan mengemukakan bukti-bukti berkenaan diri Nabi SAWA kepada mereka.

Tafsiran tersebut menepati Al-Qur'an surah 53:3 yang bermaksud:

"Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula ragu-ragu."

Di dalam surah Abasa:1-2, dikatakan Rasulullah SAWA bermasam muka.

"Dia bermasam muka dan berpaling kerana telah datang seorang buta kepadanya."

Ayat ini menurut persepakatan ulama ahlul sunnah diturunkan kepada Ibn Ummi Makhtum yang datang menemui Nabi SAWA ketika beliau sedang berada bersama-sama dengan pembesar Bani Umaiyyah, meminta Nabi SAWA mengajarkannya tentang keilmuan Allah tanpa mengetahui bahawa Rasulullah SAWA ketika itu sedang sibuk melayani tetamu itu. Oleh kerana itu Nabi SAWA dikatakan bermuka masam dan berpaling darinya.

Walau bagaimanapun al-Murtadha mengatakan ayat ini pada zahirnya tidak menunjukkan ia dihadapkan kepada Nabi SAWA sebaliknya merupakan suatu penyucian kerana bukan Nabi SAWA yang menjadi sasaran, tetapi orang lain. Ini disebabkan sifat bermasam muka bukanlah salah satu sifat baginda, sama ada terhadap lawan mahupun kaum muslimin umumnya [Al-Tibrisi, Majma' al-Bayan, juzuk 10, hlm.437].

Bukti ini dapat diperkuatkan dengan firman Allah SWT dalam surah 68:4, yang memuji akhlak Rasulullah SAWA:

"Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung."

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman dalam surah 3:159, yang bermaksud:

"Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu bersikap lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu."

Berdasarkan riwayat Imam Ja'far al-Sadiq AS [Al-Tibrisi, Majma' al-Bayan, Juzuk 10, hlm.437; Al-Tabatabai, Al-Mizan, Juzuk 20, hlm.309-310], ayat tersebut diturunkan kepada Nabi SAWA dan ditujukan kepada seorang pembesar Bani Umaiyyah yang berada di sisi Nabi SAWA pada ketika itu. Apabila dia melihat Ibn Ummi Makhtum, perasaan tidak senang mula timbul melalui sikap bermasam muka dan berpaling itu. Beliau juga menjelaskan di dalam riwayat yang lain dengan mengatakan bahawa Rasulullah SAWA sentiasa bersikap lembut terhadap Ibn Ummi Makhtum hingga menyebabkan Ibn Ummi Makhtum melarang Rasulullah SAWA melakukan perbuatan seumpama itu terhadap dirinya.

Al-Qur'an seringkali juga menggunakan gaya dan bentuk: Allah SWT memberitahu kepada Nabi SAWA tetapi sebenarnya dihadapkan kepada orang lain agar mereka mendengarkannya. Di antara ayat-ayat yang termasuk dalam kategori ini, ialah seperti firman Allah SWT dalam surah 10:94 yang bermaksud:

"Jika kamu (Muhammad) berada di dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu."

Perkataan syak atau ragu-ragu menerusi ayat ini dari segi zahirnya ditujukan kepada Nabi SAWA tetapi pada hakikatnya diarahkan kepada umatnya. Ini bermaksud, kalau kamu ragu-ragu bertanyalah. Dalilnya terbukti dalam akhir surah Yunus:104, yang bermaksud:

"Katakanlah: Hai manusia, jika kamu masih dalam keraguan tentang agamamu, maka ketahuilah aku tidak menyembah yang kamu sembah, selain Allah."

Seterusnya di dalam ayat 67 surah al-Anfal dikatakan Nabi SAWA mempunyai kecenderungana terhadap harta dunia:

"Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi, kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah menghendaki akhirat."

Menurut kebanyakan ulama tafsir, ayat ini diturunkan semasa Perang Badar. Ayat ini mengandungi celaan Allah terhadap para sahabat Nabi SAWA dari kalangan mukmin yang mengisyaratkan pengambilan wang tebusan atau ghanimah [Al-Qurtubi, Jami al-Ahkam, Juzuk 4, hlm. 2884 juga lihat Al-Tibrisi, Majma al-Bayan, Juzuk 4, hlm. 557]. Pada ketika itu Umar al-Khattab mahukan tawanan perang dipenggal tetapi Abu Bakar meminta tawanan perang dilepaskan dengan syarat mereka membayar wang tebusan [Al-Suyuti, Asbabul Nuzul, tafsir surah al-Anfal, ayat 67-68]. Nabi SAWA kemudian membuat keputusan bahawa tawanan perang yang tidak mampu membayar wang tebusan dibebaskan. Ada di kalangan sahabat-sahabat Nabi SAWA yang melanggar perintah Nabi SAWA dengan mengutip wang tebusan daripada setiap tawanan perang tersebut [Aqa Mahdi Puya, Tafsir surah al-Anfal ayat, 67-68]. Justeru, turunnya ayat tersebut kepada Nabi SAWA adalah untuk menegur kehendak sahabat-sahabat Nabi SAWA yang cenderung kepada harta duniawi.

Demikian juga dengan firman Allah dalam surah 17:74, yang bermaksud:

"Kalau Kami tidak memperkuatkan hatimu, nescaya kamu sedikit demi sedikit cenderung kepada mereka."

Pada hakikatnya kalimah tersebut dengan jelas membuktikan ismah yang menghalang kebinasaan. Justeru itu, Allah SWT berfirman demikian bertujuan menjelaskan tentang pemeliharaan Allah ke atas Nabi SAWA. Oleh kerana itu Nabi SAWA telah dibendung dari kecenderungan tersebut [Al-Razi, Tafsir al-Kabir, Juzuk 21, hlm. 21].

Demikian juga terdapat sebahagian ayat-ayat al-Qur'an menganjurkan Nabi SAWA supaya memohon keampunan kepada Allah SWT, seperti dalam firmanNya dalam surah 40:55, yang bermaksud:

"Maka bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohon ampunan untuk dosamu."

Menurut Imam Ja'far al-Sadiq AS, dosa-dosa yang disandarkan kepada diri Nabi SAWA berdasarkan perhubungan di antara Nabi SAWA dengan umatnya, kerana kedudukan beliau itu termasuk sebahagian dari umatnya sendiri. Walaupun Nabi SAWA tidak berdosa, tetapi ia dipertanggungjawabkan di atas diri baginda SAWA semata-mata untuk memungkinkan Allah SWT mengampuni mereka bagi pihak Nabi SAWA.

Menurut Al-Tibrisi, ayat ini menggesa Nabi SAWA berdoa dan beristighfar dalam usaha untuk meningkatkan lagi kedudukannya, di samping menjadi suatu sunnah bagi generasi berikutnya [Al-Tibrisi, Majma al-Bayan, Juzuk 8, hlm.568]

Kesimpulan, jelas bahawa ismah Rasulullah SAWA tetap terpelihara dan tidak memungkinkan Nabi SAWA melakukan perkara-perkara yang menimbulkan dosa-dosa.